Team Singapore berjaya meraih lima pingat emas pada 10 Disember, sehari selepas Sukan SEA 2025 di Thailand membuka tirai secara rasmi.
Ini di samping empat perak dan tiga gangsa yang dimenangi atlet merentasi empat sukan, sekali gus memberikan pembukaan yang kuat bagi atlet negara di temasya tersebut.
Pasangan taekwondo, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi dan Nicholas Khaw, membuka tirai pengumpulan emas apabila menewaskan Vietnam 8.67 – 8.44 dalam perlawanan akhir acara regu campuran poomsae (seni) pada tengah hari.
Lebih manis lagi, ia merupakan pingat emas pertama bagi Diyanah dan Khaw sejak mereka bertanding dalam Sukan SEA.
Kemenangan tersebut hadir selepas Team Singapore memenangi pingat pertama pada hari tersebut – iaitu perak – menerusi Nicole Alethea Khaw Mei Shan di acara perseorangan wanita poomsae dengan 7.180 mata.
Ia diikuti dengan Yap Zong Han Darren yang meraih 7.660 mata untuk membawa pulang pingat gangsa di acara perseorangan lelaki poomsae.
Singapura kemudian meneruskan rentak bertenaga dengan dua lagi pingat emas di kayak dan jujitsu.
Gandingan pendayung veteran negara, Stephenie Chen dan Lucas Teo, menjuarai acara kayak berpasangan 500 meter.
Di Pusat Latihan Dayung dan Kanu Tentera Laut Diraja Thailand di Rayong, Chen, 33 tahun, dan Teo, 35 tahun, menamatkan perlumbaan di hadapan lima pasangan dari Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Myanmar.
Chen kemudian bergandingan dengan Brandon Ooi, Georgia Ng dan Alden Ler untuk meraih pingat perak dalam acara kayak berpasukan 500 meter sekitar 45 minit kemudian.
Indonesia menduduki tempat pertama, manakala Thailand meraih gangsa.
Atlet jujitsu negara, Jedd Tan, kemudian meraih pingat emas ketiga negara di kategori Fighting lelaki (77 kilogram).
Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan atlet Thailand, Aunjai Chanwit, dengan 16-9 mata.
Atlet renang Singapura pula melalui perasaan yang berbaur di hari pertama renang apabila mereka meraih enam pingat – dua emas, dua perak dan dua gangsa.
Ia jauh beza dengan dominasi yang sering dipamerkan pasukan renang Singapura.
Seramai tujuh atlet renang menempah tiket ke peringkat akhir untuk bertanding dalam lima acara.
Atlet berpengalaman, Quah Ting Wen, tidak dapat menahan air matanya apabila gagal mempertahankan gelaran 200 meter kuak kupu-kupu wanita.
Walaupun mendahului sepanjang 175 meter perlumbaan, beliau gagal menandingi pecutan terakhir dari perenang Thailand, Kamonchanok Kwanmuang (2 minit 11 saat) dan atlet Vietnam, Thi My Tien Vo (2 minit 12 saat).
Beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan masa 2 minit 13 saat.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas perlawanannya, Ting Wen kecewa dengan keputusan tersebut dan tidak dapat menahan sebak ketika diwawancara.
Beliau berkata:
“Saya telah menyertai banyak acara renang, banyak bercakap dan menangis di depan kamera.
“Apabila saya dipanggil untuk temu bual ini, saya tahu saya mungkin tidak dapat menahan perasaan, acara ini sangat istimewa bagi saya.
“Ia adalah pingat emas pertama saya (di Sukan SEA), dan sejak itu, saya terus mengejar sesuatu yang tinggi tetapi seolah-olah sukar dicapai.
“Untuk acara ini, sukar untuk saya ungkapkan betapa pentingnya ia bagi saya,” katanya.
Singapura kemudian meneruskan rentak mereka dengan garang apabila Mikkel Lee memenangi acara gaya bebas 100 meter lelaki dengan masa peribadi terbaik – 48.65 saat.
Beliau mengatasi rakan senegara, Quah Zheng Wen (49.45 saat) dan atlet Vietnam, Van Nguyen Quoc Tra (50.02 saat).
Sejurus selepas itu, Letitia Sim ikut serta memenangi pingat emas di acara kuak dada 50 meter wanita, mencatatkan rekod Sukan SEA dengan hanya 31.03 saat.
Beliau menewaskan pasangan Thailand, Jenjira Srisa-Ard (31.52 saat) dan Saovanee Boonampha (31.71 saat).
Zheng Wen kemudian memenangi pingat gangsa di acara kuak lentang 100 meter lelaki dengan 56.04 saat.
Beliau tewas di belakang pasangan Indonesia, Jason Donovan Yusof (55.08 saat) dan Farrel Armandio Tangkas (55.89 saat).
Malam renang Singapura dilengkapi dengan pingat perak menerusi srikandi renang Singapura – Gan Ching Hwee, Ashley Yi, Jing Wen dan Quah Ting Wen – di perlumbaan berganti-ganti 4x100 meter gaya bebas wanita.
Dikira sebagai antara yang disukai bagi acara tersebut, mereka gagal menandingi pasukan Filipina yang turut dibintangi ratu renang Filipina, Kayla Sanchez, 24 tahun.
Pasukan wanita bermula agak perlahan apabila Gan berada di belakang Heather White dari Filipina yang mendominasi 100 meter pertama.
Namun, Yi berjaya mengejar lawannya Chloe Kennedy dengan memberikan kelebihan jarak satu kepala.
Perenang ketiga, Ting Wen berada seiring dengan Xiandi Chua, sebelum Sanchez memecut meninggalkan Ting Wen di 50 meter terakhir.
Pasukan renang Singapura telah mendahului carta pingat renang Sukan SEA sejak 2005, dan menamatkan edisi 2023 di Kemboja dengan 22 pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg