Dengan penyalaan obor hijau khas yang gilang-gemilang di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, pada 9 Disember, secara rasminya Sukan SEA edisi ke-33 telah membuka tirainya.
Pembukaan rasmi itu menandakan permulaan 12 hari pertandingan sukan serantau yang penuh semangat.
Walaupun kemeriahan dan keceriaan jelas terpancar di wajah para atlet dan penonton, suasana pembukaan ini turut dibayangi oleh beberapa isu yang suram.
Acara pembukaan berlangsung sehari selepas peningkatan ketegangan konflik antara Thailand dengan jirannya, Kemboja, satu isu yang memerlukan perhatian diplomatik.
Selain itu, sebahagian besar rakyat Thailand masih dalam tempoh berkabung dan pemulihan akibat kesan dahsyat banjir yang melanda Selatan Thailand sejak akhir November.
Banjir itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang meluas, meninggalkan luka mendalam.
Di sebalik cabaran domestik, semangat kesukanan tetap utuh.
Lebih 13,000 atlet dari negara Asia Tenggara berkumpul di Thailand.
Mereka siap beraksi menunjukkan prestasi terbaik dalam pertarungan sengit bagi merebut 574 pingat emas yang dipertandingkan melalui 50 acara sukan.
Sukan SEA 2025, yang membawa tema, ‘Terus Maju’ atau ‘Ever Forward’, khusus untuk mempromosikan perpaduan, persahabatan, dan kecemerlangan sukan di rantau ini.
Kejohanan dwitahunan itu berlangsung di dua lokasi utama – Bangkok, ibu negara Thailand yang sibuk, dan Chonburi, dari 9 hingga 20 Disember.
Bagi kontinjen Singapura, permulaan kempen dilihat bercampur.
Singapura sudah berjaya meraih dua pingat pertamanya, kedua-duanya merupakan gangsa yang disumbangkan oleh pasukan badminton lelaki dan wanita negara.
Namun, nasib yang sama tidak dapat dinikmati oleh pasukan bola sepaknya.
Kedua-dua pasukan bola sepak, lelaki (Singa Muda) dan wanita (Singa Wanita), tewas dalam perlawanan pembukaan masing-masing.
Walaupun Singa Wanita masih mempunyai peluang realistik untuk layak ke pusingan seterusnya berdasarkan format kejohanan, pasukan Singa Muda kini berhadapan penyingkiran awal.
Meskipun berhadapan dengan pelbagai krisis dan cabaran secara serentak, Thailand, yang sinonim dengan gelaran ‘Negara Seribu Senyuman’, berjaya memastikan senyuman tidak lekang di wajah para penonton di acara pembukaan yang dinanti-nantikan itu.
Acara gilang-gemilang itu diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan kebudayaan yang penuh warna-warni, menampilkan kekayaan warisan Thailand.
Persembahan memukau itu menarik sorakan gemuruh dan tepukan yang padu di stadium megah yang terletak di bahagian timur Bangkok.
Suasana kemeriahan turut terasa di luar stadium, di mana beberapa penonton yang tidak dapat masuk dilihat menyaksikan acara pembukaan itu melalui skrin besar yang disediakan, menunjukkan betapa besarnya sambutan yang diberikan oleh rakyat.
Thailand telah memperuntukkan kira-kira 166 juta baht ($6 juta) bagi menjayakan acara pembukaan dan penutup Sukan SEA 2025.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan bajet 455 juta baht yang dikhaskan Thailand untuk temasya kali ini.
Langkah itu diharap dapat memacu industri pelancongan dan sukan negara tersebut.
Sorakan gemuruh penonton bergema, terutama apabila pertunjukan dron yang memukau membuka tirai acara.
Setelah Raja Thailand Maha Vajiralongkorn dan Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya tiba, sebuah video yang memaparkan sumbangan mendiang Ratu Sirikit dalam bidang sukan ditayangkan.
Penonton kemudian diajak bertafakur seketika bagi memberikan penghormatan terakhir atas pemergiannya.
Acara seterusnya menampilkan persembahan kebudayaan, sukan air yang menggunakan 800,000 liter air, dan sukan mempertahankan diri yang popular di rantau Asean, dipersembahkan oleh kira-kira 700 artis.
Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan SEA, Thailand memperkenalkan aspek kelestarian melalui obor digital yang diberi nama ‘Api Hijau’ untuk upacara penyalaan obor.
Ia merupakan tafsiran semula simbol obor tradisional, yang pada masa yang sama mengurangkan penggunaan api sebenar.
Apabila bekas atlet taekwondo Thailand, juara Olimpik dua kali, Panipak Wongpattanakit, menyalakan obor Sukan SEA dengan api kecil, ia serta-merta mencetuskan pertunjukan digital – memindahkan tenaga daripada api ke obor digital, pancaran laser dan cahaya lampu menyinari padang.
Ia sekali gus menyalakan obor digital besar yang memancarkan cahaya ke langit, sebelum diakhiri dengan pertunjukan dron yang memukau.
Kontinjen perbarisan Singapura yang terdiri daripada 112 orang – merangkumi sekretariat dan atlet Team Singapore daripada bola tampar, jujitsu, hoki ais, badminton dan catur – diketuai oleh atlet jujitsu, Noah Lim, bersama pemain badminton wanita, Yeo Jia Min.
Lim menyifatkan pemilihannya sebagai pembawa bendera Singapura satu pengalaman yang amat membanggakan, sambil menambah:
“Bagi saya, bendera itu melambangkan harapan dan impian kita, serta sokongan semua di tanah air. Saya berasa bangga dan bertanggungjawab mengetuai kontinjen kita dalam acara besar ini.”
Seramai 930 atlet Team Singapore akan bersaing dalam 48 acara sukan, dengan sasaran untuk mengatasi pencapaian 51 emas, 43 perak dan 64 gangsa yang diraih pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Kali terakhir menjadi tuan rumah temasya tersebut pada 2007, Thailand telah melalui 2025 yang mencabar.
Ini termasuk konflik yang sedang berlaku antara Thailand dengan Kemboja, banjir yang berlaku di selatan Thailand, dan pemergian Ratu Sirikit pada Oktober.
Walau demikian, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Encik Thamanat Prompow, berkata Thailand sudah bersedia 100 peratus untuk menganjurkan temasya tersebut.
Dalam satu laporan agensi berita, Bangkok Post, pada 9 Disember, Encik Thamanat, yang juga menguruskan Kementerian Pelancongan dan Sukan, menambah, Kerajaan Thailand telah melakukan yang terbaik sebagai negara tuan rumah.
Apabila beliau ditanya sama ada konflik sempadan dengan Kemboja akan menjejas temasya, beliau berkata kerajaan mengambil berat tentang perkara itu dan sudah mengarahkan langkah keselamatan tambahan untuk atlet Kemboja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg