AUCKLAND: Switzerland membuka kempen Piala Dunia mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua Kumpulan A pada Jumaat di Stadium Forsyth Barr.
Gol penalti daripada pemain sayap, Ramona Bachman, pada minit terakhir separuh masa pertama membuka tirai jaringan untuk Switzerland sebelum penyerang Seraina Piubel menggandakan jaringan pada minit ke-64.
Penyerang Katrina Guillou menyangka beliau telah menjaringkan gol Piala Dunia pertama untuk Filipina pada minit ke-16 tetapi percubaannya dibatalkan akibat ‘offside’.
Switzerland dan New Zealand mempunyai tiga mata masing-masing di Kumpulan A tetapi Switzerland menduduki tangga pertama kerana mempunyai gol perbezaan yang lebih bagus.
Pada Jumaat juga, juara Olimpik 2020 Canada dan Nigeria bertembung dalam perlawanan kedua dalam Kumpulan B yang berakhir 0-0 di Stadium Melbourne Rectangular di depan sekitar 21,000 penyokong.
Pemain tengah Canada, Christine Sinclair hampir menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam pertandingan Piala Dunia. Beliau telah membuat 324 penampilan untuk negaranya dan menjaringkan sebanyak 190 gol untuk Canada setakat ini.
Tetapi penjaga gawang Chiamaka Nnadozie menyelamatkan percubaan penalti pemain berusia 40 tahun itu pada minit ke-50 untuk memastikan Nigeria seri dengan Canada.
Nigeria, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain tengah Ajibola Abiodun dilayangkan kad merah pada saat-saat akhir perlawanan, menduduki tangga ketiga di Kumpulan B.
Tuan rumah bersama Piala Dunia, Australia, menduduki tangga pertama, manakala Canada dan Ireland masing-masing menduduki tangga kedua dan terakhir. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg