Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tahan sejuk, hujan capai impian beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 1964

Jul 25, 2024 | 4:23 PM
Bekas atlet basikal Singapura, Hamid Supa’at, merupakan salah seorang daripada sembilan atlet basikal yang membentuk skuad dalam Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.
Bekas atlet basikal Singapura, Hamid Supa’at, merupakan salah seorang daripada sembilan atlet basikal yang membentuk skuad dalam Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sudah 60 tahun berlalu sejak bekas atlet basikal Singapura, Hamid Supa’at, bersaing dalam Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

Namun, pengalaman berharga beraksi di pentas terbesar sukan itu masih lagi jelas dalam ingatannya.

Hamid, 80 tahun, merupakan salah seorang daripada sembilan atlet basikal yang membentuk skuad Olimpik Malaysia dalam Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

Dua lagi warga Singapura, Kamsari Salam dan Tjow Choon Boon, juga menyertai skuad lumba berbasikal itu.

Malaysia – persekutuan yang baru ditubuhkan termasuk Singapura, Sarawak dan Borneo Utara – adalah antara 20 negara baru menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada 1964.

Walaupun teruja untuk membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik, namun keghairahan itu pantas berganti debaran realiti bertanding di pentas terbesar sukan.

Hamid bukan sahaja harus bersaing dengan atlet hebat dunia, tetapi juga harus berdepan keadaan cuaca yang mencabar.

Pada hari perlumbaan acara jalan raya sejauh 190 kilometer di bahagian Barat Tokyo, cuaca malangnya hujan dan sejuk. Ini bertentangan dengan persiapan selama berbulan-bulan yang dilakukan Hamid di Malaysia di bawah panas terik.

“Kami benar-benar tidak bersedia untuk cuaca sejuk,” kata Hamid, ketika ditemui Berita Harian (BH) di rumahnya di bahagian utara Singapura.

“Sampai keluar asap dari mulut dan pipi pun menjadi merah,” ujarnya lagi.

Bahkan, beliau perlu meletakkan suratkhabar di dalam bajunya supaya dapat memanaskan badannya.

Pengalaman itu sesuatu yang baru untuk Hamid, meskipun beliau sudah menyertai pelbagai perlumbaan jalan raya jarak jauh sejak bergiat dalam sukan itu pada usia 16 tahun.

Beliau turut mempamerkan prestasi baik beberapa bulan sebelum ke Tokyo, dengan memenangi dua pusingan dan dua percubaan masa di Jelajah Malaysia.

Bagaimanapun, pengalaman itu tidak cukup untuk membawanya ke garisan penamat.

Hamid hanya bertahan separuh perlumbaan dan terpaksa mengundur diri.

Tiada rasa kesal, Hamid bersyukur atas peluang untuk berlumba dengan atlet basikal mapan.

“Atlet Eropah semuanya kuat dan mengayuh dengan pantas,” kata pesara itu.

“Jika kami motosikal, mereka adalah mesin 1,000cc, dan kami (atlet Asia) adalah 500cc,” tambahnya.

Sukan Olimpik juga membuka matanya kepada kemodenan bandar Jepun. Ini termasuk bangunan pencakar langit dan kereta api laju.

“Perubahan di Jepun berbanding Singapura jauh berbeza. Saya benar-benar kagum dengan kemajuan di bandar Jepun dan pada ketika itu, ia hanya dalam tahun 60-an,” kongsi Hamid.

Walaupun Hamid pulang tanpa sebarang pingat, pengalaman itu menjadi bukti bahawa impian boleh menjadi kenyataan.

“Ia adalah cita-cita mana-mana atlet untuk sampai ke tahap Sukan Olimpik…

“Pernah seorang teman tanya, ‘Hamid, sampai bila kau nak main basikal?’. ‘Sampai ke Olimpik’, kata-kata itu keluar tanpa sengaja,” imbas Hamid.

Bak kata pujangga, kata-kata itu adalah satu doa.

Bahkan, ibu Hamid tidak percaya bahawa anaknya akan bertanding di Sukan Olimpik.

“Saya beritahu mak saya bahawa saya mungkin akan ke Kuala Lumpur untuk latihan dan kemudian akan ke Tokyo untuk bertanding dalam Sukan Olimpik…

“Jawapannya, ‘Muka kau nak pergi Sukan Olimpik’...Dia tak percaya saya boleh melakukannya. Oleh sebab saya hormat orang tua, saya berdiam sahaja,” kata bapa dua anak dan datuk kepada dua cucu itu.

Beberapa bulan kemudian, wajah yang dikenali tersiar di kaca televisyen.

“Mak saya nampak saya di televisyen semasa majlis pembukaan Sukan Olimpik… ‘Eh Hamid betul-betul ada di Sukan Olimpik. Sudah sampai sana budak ini’,” kata Hamid.

Sekembalinya beliau ke tanah air, Hamid memenangi Pesta Sukan dan Jelajah Singapura, dan juga mengambil bahagian dalam Sukan Seap – yang kini dinamakan Sukan SEA – 1967 dan Sukan Asia 1970.

Memberi nasihatnya kepada atlet Singapura yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos, Hamid berkata: “Usah fikir lawan kita lebih baik daripada kita. Kita mesti ada semangat untuk berjuang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg