Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanpa Saka, satu gol Arsenal cukup untuk atasi Ipswich, loncat ke tangga kedua

Dec 28, 2024 | 4:05 PM
Pemain penyerang, Kai Havertz, menjaringkan gol tunggal kemenangan Arsenal semasa menentang Ipswich Town.
Pemain penyerang, Kai Havertz, menjaringkan gol tunggal kemenangan Arsenal semasa menentang Ipswich Town. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata Bukayo Saka boleh terlepas beraksi selama lebih dua bulan selepas menjalani pembedahan di pahanya.

Pasukan bergelar The Gunners itu memulakan tempoh perlawanan tanpa penyerang azimat itu pada 27 Disember dengan menewaskan Ipswich Town 1-0 di Stadium Emirates.

Ia meloncat ke tangga kedua Liga Perdana England (EPL) dan merapat jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, kepada enam mata.

Liverpool dijadual West Ham United pada 29 Disember.

Dalam perlawanan di padang sendirinya itu, Kai Havertz muncul sebagai penjaring gol tunggal Arsenal yang menguasai perlawanan tetapi gagal menambah jumlah golnya itu.

Kesan ketiadaan Saka mungkin akan dirasai lebih mendalam menjelang beberapa perlawanan penting, tetapi buat masa ini, Arsenal telah muncul sebagai pesaing terdekat kepada Liverpool untuk menjuarai liga.

Saka dijangka tidak dapat beraksi sehingga Mac selepas mengalami kecederaan serius pada pahanya dalam perlawanan dengan Crystal Palace pada hujung minggu lalu.

Arteta cuba mencari huraian dengan menurunkan Gabriel Martinelli sebagai pengganti, dan Gabriel Jesus mengetuai barisan depan.

Namun gandingan dua Gabriel itu jarang mencipta peluang jaringan ketara dan Arsenal terpaksa menanti hingga pertengahan separuh masa pertama untuk menemui sasaran.

Menjawab soalan wartawan di akhir perlawanan, Arteta berkata beliau tidak kecewa kerana gagal menjaringkan lebih banyak gol, tetapi akur pasukannya perlu pertingkat permainan.

“Yang penting, kita perolehi tiga mata dan tidak membenarkan lawan menjaringkan gol,” kata beliau.

Arsenal seri 0-0 dalam perlawanan dengan Everton sebelum ini dan tertekan untuk memenangi perlawanan dengan Ipswich itu.

Tekanan itu reda apabila Havertz menjaringkan gol pada minit ke-23, tetapi meningkat semula selepas Arsenal gagal menambah jaringan.

Keresahan jelas terpampang di wajah penyokong Arsenal apabila kapten, Martin Odegaard, yang baru pulih dari kecederaan masa panjang, rebah selepas diterkam lawan.

Namun beliau berjaya bangkit untuk meneruskan perlawanan.

Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan untuk Arsenal, yang meloncat di atas Nottingham Forest dan Chelsea ke tangga kedua. Ipswich pula kekal di tangga ke-19.

“Saya gembira kami menang tanpa dibolosi gol. Apabila mengambil kira apa yang berlaku musim ini… kecederaan yang menimpa kami, saya rasa kami berada dalam kedudukan yang baik,” kata Arteta.

“Namun kami mahu melangkah ke tangga pertama.”  – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg