Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bukayo Saka sangat bernilai buat Arsenal

Dec 12, 2024 | 3:20 PM
Pemain tengah Arsenal, Bukayo Saka (tengah), menyempurnakan sepakan penalti untuk menjaringkan gol keempat Arsenal melawan Sporting CP pada 26 November. Ia menyaksikan Arsenal menang 5-1.
Pemain tengah Arsenal, Bukayo Saka (tengah), menyempurnakan sepakan penalti untuk menjaringkan gol keempat Arsenal melawan Sporting CP pada 26 November. Ia menyaksikan Arsenal menang 5-1. - Foto AFP

LONDON: Bukayo Saka sekali lagi membuktikan betapa berharga keahliannya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia bagi Arsenal.

Ketangkasannya berjaya membawa Arsenal menang 3-0 dalam Liga Juara-Juara menentang Monaco.

Penyerang England itu berjaya menjaringkan dua gol, sebelum membantu Kai Havertz menjaring gol ketiga.

Dengan itu, anak buah Mikel Arteta mara ke babak selanjutnya.

Walaupun Arsenal mungkin masih jauh dalam merebut kejuaraan Liga Perdana England dengan jurang enam mata berbanding pendahulu Liverpool, Saka berada di landasan tepat untuk menikmati salah satu musim terbaik dalam kerjayanya.

Ini setelah beliau menjaringkan sembilan gol dan membuat 12 hantaran dalam 21 perlawanan sepanjang semua pertandingan.

Musim lalu, Saka menjaringkan 20 gol dan membuat 14 hantaran dalam 47 perlawanan dalam semua pertandingan.

Sejak penampilan sulungnya di Liga Europa ketika masih berusia 17 tahun, Saka yang kini berusia 23 tahun telah menunjukkan perkembangan hebat.

Beliau diberi kepercayaan bermain dalam tujuh perlawanan Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, menjaringkan tujuh gol dan membuat empat hantaran.

Dalam tempoh yang sama, Saka telah menjaringkan gol dan membantu dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara sebanyak lima kali, lebih banyak daripada pemain lain.

Musim ini, Mohamed Salah merupakan satu-satunya pemain Liga Perdana dengan lebih banyak penglibatan gol (28) berbanding Saka (21) dalam semua pertandingan.

Dalam Liga Perdana, penyerang Arsenal itu mempunyai 96 penglibatan gol (52 gol dan 44 bantuan).

Jika beliau menjaringkan 100 gol sebelum akhir April 2025, Saka akan menjadi pemain termuda keempat yang pernah mencapai kejayaan itu di belakang Michael Owen (22 tahun 57 hari); Wayne Rooney (22 tahun 122 hari); dan Robbie Fowler (22 tahun 166 hari).

Bercakap kepada media selepas kemenangan pada 11 Disember, Arteta memuji peranan Saka untuk pasukannya.

“Beliau kelihatan sangat matang,” kata pengurus Arsenal itu.

“Apa yang beliau lakukan dalam permainan pada usianya adalah luar biasa. Sangat rendah hati, seorang insan yang hebat bagi orang sekelilingnya, dan memiliki bakat yang luar biasa.

“Beliau seorang yang istimewa. Dalam peranannya, jiwa kepimpinannya semakin meningkat. Dengan anak-anak muda beliau hebat; dengan seniornya, beliau luar biasa. Beliau disayangi oleh semua dan beliau membawa perubahan di padang.”

Hubungan Saka dengan pemain muda Arsenal jelas apabila beliau berlari terus ke Myles Lewis-Skelly untuk mengucapkan terima kasih kepada pemain pertahanan berusia 18 tahun itu atas sumbangannya kepada gol pembukaan menentang Monaco.

Malah legenda Arsenal, Thierry Henry, yang melatih Saka semasa bekerja di akademi kelab itu, tidak menjangka beliau menjadi sehebat ini.

“Beliau pemain kegemaran saya. Beliau telah berada di sana sejak sekian lama dan beliau sangat baik. Saya tidak pernah menyangka beliau akan mencapai tahap yang kita lihat,” kata Henry di BBC Football Focus.

“Beliau adalah pemain permulaan bagi Arsenal, beliau adalah pemain permulaan bagi England.

“Saya masih ingat ketika beliau mula bermain, beliau bermain sebagai pertahanan sayap dan evolusi permainannya adalah luar biasa kerana beliau begitu rancak, kini menjaringkan gol dan hantaran.”

Perkara yang menakutkan bagi peminat kelab lawan ialah Saka kelihatan seperti akan menjadi jauh lebih baik.

“Setiap keputusan yang beliau buat adalah keputusan yang tepat,” kata bekas pemain bola wanita, Karen Carney kepada TNT Sports.

“Bagi seseorang yang semuda itu menjadi sehebat itu, tak dapat dibayangkan betapa hebatnya beliau dalam masa tiga atau empat tahun.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg