Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada tarian kini berpindah ke padang bola sepak

Sokongan ibu bapa bakar semangat Seri Nurinsyirah Indra Saharen yang terima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! 2025
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
Sokongan ibu bapa merupakan antara faktor penting dalam perkembangan bakat bola sepak penerima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! 2025, Seri Nurinsyirah Indra Saharen (tengah). Ibunya, Cik Aniza Musa (kanan), dan ayahnya, Indra Saharen Ahmad, sering mengingatkan anaknya untuk rendah diri dan terus berusaha pertingkat dirinya, bukan sahaja dari segi bola sepak.
Sokongan ibu bapa merupakan antara faktor penting dalam perkembangan bakat bola sepak penerima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! 2025, Seri Nurinsyirah Indra Saharen (tengah). Ibunya, Cik Aniza Musa (kanan), dan ayahnya, Indra Saharen Ahmad, sering mengingatkan anaknya untuk rendah diri dan terus berusaha pertingkat dirinya, bukan sahaja dari segi bola sepak. - Foto UTR!

Peralihan daripada kegiatan kokurikulum (CCA) tarian, yang dikenali dengan pergerakan lembut dan halus, kepada bola sepak, sukan lasak yang menuntut kekuatan tinggi, mengejutkan ibu bapa pemain pertahanan pasukan Liga Perdana Wanita, Lion City Sailors, Seri Nurinsyirah Indra Saharen.

Setelah hanya melihat abangnya bermain dari tepi padang, keinginan Seri untuk melangkah ke padang sendiri tidak dijangka.

“Saya memberitahu ibu bapa saya bahawa saya ingin menyertai kelab kerana saya terpegun dengan bola sepak,” kata Seri, berusia 16 tahun.

“Saya telah melihat abang saya bermain sejak beliau kecil, dan melihat ibu bapa saya menyokong abang telah mendorong saya untuk bermain juga.”

Walaupun tidak dijangka, ibu bapanya menyambut dan menyokong pilihannya dan bersetuju membenarkan Seri menyertai kelab bola sepak.

“Sejujurnya, kami terkejut kerana Seri tidak mempunyai latihan awal tentang bola sepak,” kata ibu Seri, Cik Aniza Musa, berusia 42 tahun.

“Tetapi apabila Seri meluahkan hasrat beliau untuk menyertai bola sepak, saya berkata, ‘Baiklah, mari cuba’.”

Keputusan mereka untuk menyokong Seri terbukti pilihan yang tepat.

Ini kerana jelas sekali sukan bola sepak bukan sekadar minat bagi anak mereka, malah Seri mempunyai bakat yang luar biasa.

Pada usia 14 tahun pada 2023, beliau telah dinamakan dalam pasukan wanita Bawah 16 tahun (U-16) dan U-19 Singapura - sesuatu yang disifatkan sebagai antara pencapaian paling membanggakan bagi Seri.

Namun, bakat Seri mungkin tidak akan menyerlah tanpa sokongan teguh ibu bapanya.

Bapanya, Encik Indra Saharen Ahmad, 48 tahun, akan selalu membawa Seri ke sesi latihan dan perlawanannya.

Bukan sekadar itu, beliau juga akan menyaksikan perlawanan Seri dan menawarkan maklum balas yang memberi motivasi kepada anaknya.

“Saya memberinya sokongan moral, memotivasikan beliau dan bertindak seperti jurulatih peribadinya dengan memberi maklum balas selepas perlawanan,” kata Encik Indra.

Cik Aniza, guru penjagaan kanak-kanak, memastikan Seri mengimbangi tanggungjawabnya, baik di dalam mahupun di luar padang.

Sebagai seorang pelajar di Sekolah Sukan Singapura (SSS), Seri akui bahawa pada mulanya agak sukar bagi beliau untuk mengimbangi pelajaran dan komitmen bola sepaknya.

Namun, beliau mengambil inisiatif untuk bertemu dengan gurunya pada waktu lapang dan belajar bagaimana mengatur jadualnya dengan lebih baik.

Di dalam sukan di mana ramai yang merebut perhatian menjaringkan gol, Seri mempunyai pendekatan yang berbeza.

Walaupun diberi peluang bermain di posisi lain, beliau peroleh semangat dan kepuasan berfungsi sebagai ‘perisai’ pasukan, melindungi pasukannya daripada serangan pasukan lawan.

“Saya bermain dengan agak kasar dan agresif. Saya sentiasa berusaha merampas bola semula apabila bertahan dan melindungi pasukan saya dengan menghalang dan memintas hantaran lawan,” kata beliau.

“Setiap kali saya dapat memenangi bola semula untuk pasukan saya dilihat sebagai peluang untuk saya memberi impak kepada perlawanan.”

Bakat dan prestasi beliau juga membolehkan beliau menjadi antara penerima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! 2025.

Biasiswa tersebut bertujuan memberi peluang kepada pemain bola sepak muda yang berbakat menjalani latihan dan bertanding di luar negara sambil belajar.

Ini membolehkan mereka memperoleh pengalaman dalam tahap latihan dan persaingan yang lebih tinggi, serta memahami gaya permainan yang berbeza.

Melangkah ke hadapan, Seri berharap agar dapat menimba pengalaman di luar negara dan berhasrat menjadi pemain profesional serta mewakili pasukan kebangsaan utama.

“Saya mahu bermain secara profesional, pergi sejauh yang boleh, dan bermain untuk pasukan pertama kebangsaan,” katanya.

Seri mengakui beliau akan merindui keluarga, kawan-kawan, makanan dan budaya Singapura, tetapi beliau sudah bersedia menyahut cabaran yang akan datang.

Ibu bapanya turut memberi nasihat penuh kasih sayang sebelum Seri berangkat ke luar negara selama tiga tahun.

Cik Aniza, akui ada rasa bimbang untuk melepaskan “baby” nya ke luar negara, tetapi percaya bahawa anaknya akan meraih manfaat yang bermakna di sana.

“Jangan lupa diri sendiri. Sentiasa rendah diri dan jaga diri di negara orang. Hargai pengalaman ini dan jadikan ia memori berharga,” pesan Cik Aniza kepada anaknya.

“Saya memberitahu ibu bapa saya bahawa saya ingin menyertai kelab kerana saya terpegun dengan bola sepak. Saya telah melihat abang saya bermain sejak beliau kecil, dan melihat ibu bapa saya menyokong abang telah mendorong saya untuk bermain juga.”
Seri Nurinsyirah Indra Saharen, pemain pertahanan pasukan Liga Perdana Wanita, Lion City Sailors.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg