MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berdepan dengan cabaran terbesar beliau – untuk meyakinkan peminat dan ahli lembaga United bahawa beliau mempunyai masa depan di Old Trafford.
United baru-baru ini menentang Porto di Liga Europa pada 4 Oktober dan Aston Villa di Liga Perdana England (EPL) pada 6 Oktober – dikatakan perlawanan yang bakal menentukan nasib Ten Hag di kelab itu.
Walaupun United tidak berjaya menang kededua perlawanan tersebut akibat kekecohan yang sering berlaku dalam pasukannya kebelakangan ini, pasukan itu meraih mata seri, 3-3 apabila menentang Porto dan 0-0 dengan Villa.
Pemilik bersama United, Jim Ratcliffe menghadiri perlawanan di Villa Park bersama Dave Brailsford, bersama ahli lembaga United yang lain seperti Dan Ashworth, Omar Berrada dan Jason Wilcox.
Bekas pengurus United, Alex Ferguson juga turut menyaksikan perlawanan tersebut.
Adakah Ten Hag telah mencapai secukupnya untuk kekalkan kepercayaan Ratcliffe dan ahli lembaga United terhadapnya?
Apakah perkara utama yang akan dipertimbangkan oleh mereka?
Keputusan Ten Hag menurunkan pasangan pertahanan berpengalaman, Jonny Evans 36 tahun, dan Harry Maguire, 31 tahun, memaparkan masalah yang dihadapi beliau dalam menjadikan United pasukan yang teguh.
“Walaupun Evans tidak mempunyai kelajuan, apa yang dilakukannya adalah beliau bijak membaca perlawanan. Beliau telah masuk dalam pasukan itu dan bermain dengan baik. Keputusan yang bagus oleh Erik ten Hag,” kata bekas penyerang Ireland, Clinton Morrison kepada pihak media.
Namun ini bermakna Ten Hag tidak memilih pemain pertahanan barunya yang dibeli dari Bayern Munich untuk 45 juta paun ($76 juta), Matthijs de Ligt, dan Lisandro Martinez untuk memulakan perlawanan.
Mereka berdua sepatutnya menjadi pasangan pertahanan idaman untuk masa depan United.
Gawang yang tidak dibolosi semasa perlawanan menentang Villa merupakan salah satu pencapaian yang patut diraikan memandangkan pertahanannya yang mudah dibolos musim ini.
Sejak Ten Hag dilantik sebagai pengurus pada 2022, tidak ada pasukan EPL yang dibolosi tiga atau lebih jaringan dalam satu perlawanan untuk semua pertandingan lebih dari jumlah United, iaitu 24 kali.
Dalam 62 perlawanan sejak permulaan musim lalu, United dibolosi dua kali dalam 31 perlawanan, jumlah terbanyak berbanding dengan pasukan EPL lain.
Jikalau Ten Hag ingin kekal menjadi pengurus United, beliau perlu pertingkatkan keteguhan barisan pertahanannya.
Jikalau prestasi pertahanan United menjadi sebab mereka berada di tangga ke-14 EPL, prestasi penyerangnya tidak membantu keadaan.
United hanya menjaringkan lima gol dalam tujuh perlawanan EPL pertama mereka musim ini.
Hanya Southampton, yang menduduki tempat ke-19 EPL, mempunyai kurang jaringan daripada United, dengan empat jaringan.
Perlu imbas kembali ke musim 1972-73 untuk menyaksikan prestasi yang lebih teruk, di mana United hanya punyai empat gol dalam tujuh perlawanan EPL pertama mereka.
Kegagalan United untuk menang bermakna mereka mempunyai jumlah mata yang terendah dalam sejarah mereka selepas tujuh perlawanan EPL.
Ini merupakan permulaan yang paling teruk sejak 1989-90 di mana mereka mengakhiri musim tersebut di tangga ke-13.
Pemain-pemain yang ditandatangani Ten Hag hanya memulakan perlawanan sebagai pemain gantian, yang bernilai lebih dari 300 juta paun, juga memberikan gambaran yang negatif tentang strategi pengambilan United di bawah Ten Hag.
United kini telah bermain lima perlawanan tanpa kemenangan, kali pertama perkara ini berlaku dalam lima tahun.
Walaupun persembahan mereka menentang Villa menunjukkan kemajuan, keputusan ini tetap bermakna mereka hanya mempunyai dua kemenangan EPL musim ini.
Senarai perlawanan United selepas rehat antarabangsa bermula dengan perlawanan di stadium sendiri menentang Brentford.
Ini sebelum menentang pasukan bimbingan Jose Mourinho, Fenerbahce dalam Liga Europa, West Ham United di stadium lawan, kemudian Leicester City di stadium sendiri untuk EPL.
Jika Ten Hag bertahan – dan beliau masih kelihatan yakin selepas keputusannya menentang Villa – keputusan yang lebih positif mesti diperolehi beliau secara serta-merta. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg