Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ten Hag puas hati Man U tundukkan Wigan

Pasukan Erik ten Hag mara ke pusingan keempat
Jan 9, 2024 | 11:14 AM
PUAS HATI MENANG: Pemain tengah yang juga kapten, Bruno Fernandes, menjaringkan gol kedua Manchester United melalui tendangan penalti. United mendapat 33 percubaan dan hanya menjaringkan dua gol. Namun, pengurusnya Erik ten Hag tetap berpuas hati dengan kemenangan itu.
PUAS HATI MENANG: Pemain tengah yang juga kapten, Bruno Fernandes, menjaringkan gol kedua Manchester United melalui tendangan penalti. United mendapat 33 percubaan dan hanya menjaringkan dua gol. Namun, pengurusnya Erik ten Hag tetap berpuas hati dengan kemenangan itu. - Foto REUTERS

WIGAN: Manchester United terbukti terlalu kuat untuk pasukan Liga Satu England, Wigan Athletic, dengan pasukan bimbingan Erik ten Hag itu berjaya mara ke pusingan empat Piala FA.

Dioga Dalot menjaringkan gol bagi United pada minit ke-22, selepas percubaan Marcus Rashford dihalang, untuk meletakkan juara 12 kali piala itu di depan.

Dalam usaha mereka mendapatkan gol selanjutnya, tandukan Ramus Hojland terkena tiang gol, percubaan Rashford diselamatkan oleh penjaga gawang Wigan, Sam Tickle, dan percubaan hebat Alejandro Garnacho juga terkena tiang gol.

Martial Godo terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan sebelum United berjaya menyempurnakan kemenangan mereka pada separuh masa kedua.

Bruno Fernandes diberi tendangan penalti selepas dikasari Liam Shaw, dan menjaringkan penalti itu untuk mendapatkan gol kedua United.

Sementara itu, cabutan pasukan bagi pusingan keempat piala itu diadakan sebelum perlawanan tersebut, dan United akan berdepan dengan Newport County, sebuah pasukan Liga Dua England, atau Eastleigh, pasukan Liga Kebangsaan England.

Newport dan Eastleigh akan bermain satu perlawanan ulangan pada 16 Januari selepas mereka seri 1-1 pada 6 Januari.

United mendapat 33 percubaan dan hanya menjaringkan dua gol. Namun, ten Hag tetap berpuas hati dengan kemenangan itu.

“Yang penting kita menang,” katanya.

“Dengan cara kita main pada separuh masa pertama, bagaimana kita mengawal bola dan menghasilkan peluang, ia memuaskan melihatnya,” tambah beliau.

Perlawanan itu berlangsung di stadium yang dipenuhi buat pertama kali dalam 10 tahun, dengan Wigan, yang hampir terpaksa ditutup pada musim panas sebelum kelab tersebut dibeli oleh ahli perniagaan Mike Danson, mempunyai matlamat menghasilkan kejutan dengan menewaskan United.

Jumlah penyokong yang ada di stadium tersebut, 22,870, merupakan jumlah tertinggi sejak perlawanan Wigan dan Aston Villa pada 19 Mei 2013 – perlawanan terakhir Wigan dalam Liga Perdana England (EPL).

Wigan hampir-hampir menjaringkan gol untuk mendahului United, tetapi percubaan Thelo Aasgard diselamatkan dengan hebat oleh Andre Onana, yang akan menyertai pasukan Cameroon bagi Piala Negara Afrika.

Percubaan itu memberi harapan kepada penyokong Wigan untuik melihat pasukan mereka melakukan kejutan sekali lagi, selepas mereka menewaskan pasukan bimbingan Pep Guardiola, Manchester City, 1-0 dalam pusingan kelima Piala FA pada 2018.

Piala FA merupakan harapan terakhir untuk United mendapatkan trofi musim ini, selepas mereka menghadapi musim yang sukar dengan 14 kekalahan.

Mereka di tempat kelapan di EPL, disingkirkan daripada Piala Carabao, dan kempen Liaga Juara-Juara mereka juga mengecewakan apabila mereka mengakhiri peringkat kumpulan di tempat terbawah kumpulan mereka.

Kepentingan pertandingan ini dipamerkan oleh ten Hag apabila beliau menurunkan pasukan paling kuat mereka untuk menewaskan pasukan Liga Satu itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg