Minat Juraimi Jumali terhadap sukan luncur ombak bermula secara tidak dijangka semasa menyertai satu pertandingan papan selaju di Bali pada 2004.
Ketika itu, beliau baru berusia 17 tahun dan tertarik melihat kehebatan peluncur ombak.
Keghairahan itu mendorongnya untuk mencuba sendiri sukan tersebut.
Bagi Juraimi, meluncur ombak tidak begitu jauh bezanya daripada papan selaju – sukan yang telah diceburinya sejak berumur 11 tahun.
Apa yang lebih memikatnya ialah kelincahan dan cabaran semula jadi yang diperlukan dengan ombak yang sentiasa berubah-ubah, berbanding dengan struktur tetap di taman papan selaju.
Sejak itu, Juraimi telah meluncur ombak selama lebih dua dekad, sambil mengimbangi minatnya dengan kerja bebas dan perjalanan yang dibiayai sendiri.
Beliau sering berlatih bersendirian ketika melancong ke Bali dan melakukan latihan darat di rumah.
Walaupun ombak di Singapura sangat terhad selain beliau tidak mendapat penajaan, Juraimi tetap komited.
“Semuanya saya kena tanggung sendiri,” katanya dengan tenang.
Bagi dirinya, disiplin diri datang ekoran rasa cinta pada sukan itu dan bukan kerana pingat atau populariti.
Tetapi tujuan utamanya adalah untuk menimba pengalaman dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikut jejaknya.
Usaha tampak sudah mula membuahkan hasil.
Bagi Kejohanan Luncur Ombak Asia ASF 2025 di Mahabalipuram, India, yang berlangsung dari 3 hingga 12 Ogos, terdapat dua peluncur ombak muda, Aydin Kailani dan Muhammad Hayyan, yang masih di bangku sekolah menengah.
Kededua peluncur ombak itu menceritakan kegembiraan yang dirasai apabila meluncur ombak.
“Saya menikmati kegiatan meluncur ombak kerana rasa adrenalinanya.
“Apabila saya meluncur ombak, saya rasa kebal dan seperti tidak ada apa-apa yang boleh menjejas saya,” kata Hayyan, 13 tahun, pelajar Sekolah Menengah Bedok Green.
Bagi Aydin pula, pertandingan tersebut merupakan kali kedua bagi dirinya.
Beliau mengimbas kembali pengalamannya bertanding pada 2024.
“Tahun lalu (2024) merupakan kali pertama saya bersaing di kejohanan utama, dan saya tidak pamerkan prestasi terbaik saya.
“Kali ini, saya fokus pada latihan dan pemakanan saya. Saya sentiasa ingatkan diri untuk jangan terlalu tertekan,” kata Aydin, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Hillgrove.
Beliau turut memberi nasihat kepada rakan sepasukannya Hayyan yang akan bertanding di kejohanan utama buat kali pertama.
“Saya rasa Hayyan hanya perlu meluncur ombak seperti biasa. Jangan anggapnya sebagai satu pertandingan, hanya melihatnya sebagai sesi meluncur ombak yang santai,” nasihat Aydin kepada Hayyan.
Sebagai pelajar, kededua Aydin dan Hayyan mengakui mereka rasa keletihan mengimbangi sekolah dan latihan.
Pengurus pasukan, Haridzal Arshad, turut memberi nasihat kepada Aydin dan Hayyan.
Menurut Haridzal, bagi Aydin, beliau mendorong peluncur muda itu agar belajar daripada kesilapannya dan meningkatkan prestasinya berbanding pertandingan lalu.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan anak muda itu supaya kekal tenang.
“Jangan terlalu beri tekanan pada diri sendiri, jangan fikir tentang kekalahan sahaja, tetapi lihatnya sebagai proses belajar daripada kesilapan dan sentiasa tingkatkan diri,” kata pengurus pasukan berusia 46 tahun itu.
Bagi Hayyan pula, beliau hanya menyuruh peluncur itu menikmati pengalamannya semasa pertandingan tersebut.
“Kita hanya perlu menikmati pengalaman di sana.
“Ia merupakan pendedahan penting, dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman ini dan daripada senior-senior kamu,” tambahnya.
Haridzal juga berkongsi tentang cabaran dan harapan masyarakat yang sedang mencari identiti dalam sukan yang biasanya dikuasai negara yang mempunyai ombak besar semula jadi dan sokongan kewangan kukuh.
“Singapura tak ada ombak, tapi kita ada peluncur berpotensi. Ia perlukan usaha berterusan, pendedahan dan pembinaan asas yang kukuh,” katanya.
Di bawah bimbingannya, pasukan kecil tetapi penuh azam itu berhasrat mencipta nama di pentas Asia, walaupun menghadapi cabaran kewangan dan logistik.
Beliau berterima kasih kepada peluncur ombak yang berpengalaman seperti Juraimi kerana mereka memainkan peranan penting dalam pengongsian ilmu dan kemahiran agar sukan tersebut dapat kekal berkembang.
Perjalanan sukan luncur ombak bukan sahaja menunjukkan cabaran fizikal menakluk ombak, bahkan jurang budaya dan prasarana yang perlu diatasi.
Namun, dengan setiap pertandingan dan latihan, mereka terus memajukan sukan ini, memberi inspirasi kepada generasi baru – seperti Aydin dan Hayyan – yang bersemangat menanti ‘ombak’ seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg