Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thai tewaskan Timor-Leste 6-1 dalam bola sepak Sukan SEA

Dec 4, 2025 | 1:53 PM
Yotsakorn Burapha, Thailand, Timor-Leste, perlawanan bola sepak, Sukan SEA
Yotsakorn Burapha menjaringkan gol pembukaan ketika Thailand mengalahkan Timor-Leste 6-1 dalam perlawanan bola sepak Sukan SEA. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK THAILAND

BANGKOK: Thailand bermula dengan cemerlang dalam Kumpulan A kejohanan bola sepak lelaki Sukan SEA pada 3 Disember dengan membelasah Timor-Leste 6-1.

Di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, pasukan tuan rumah merupakan pasukan yang jauh lebih hebat dan mempunyai kelebihan untuk membuktikannya di hadapan peminat mereka sendiri.

Namun, mereka terpaksa menunggu sehingga sebelum separuh masa pertama untuk mendahului menerusi Yotsakorn Burapha, penyerang Hougang United yang dipinjamkan daripada kelab Chonburi FC.

Babak kedua selepas rehat menjadi agak berbeza dengan Thailand berpesta gol.

Yotsakorn menjaringkan dua gol lagi pada minit ke-71 dan ke-72 untuk melengkapkan hatriknya, manakala rakan sepasukan, Siraphop Wandee, Iklas Sanron dan Kakana Khamyok, turut menjaringkan gol, lapor The Straits Times.

Dengan kedudukan 6-0, Timor-Leste memperoleh gol sagu hati melalui Palamito Caffin dalam masa kecederaan, dan pasukan Thailand membina momentum menjelang perlawanan menentang Singapura pada 11 Disember.

Singapura akan memulakan kempen mereka menentang pasukan Timor-Leste pada 6 Disember.

Pasukan teratas dan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Sebelum kemenangan besar 6-1 itu, Jurulatih Thailand, Thawatchai Damrong-Ongtrakul, berkata bahawa satu-satunya sasaran pasukannya adalah emas, selepas tewas dalam dua perlawanan akhir kepada Vietnam (2022) dan Indonesia (2023).

“Matlamat kami sangat jelas – kami mahu menang pingat emas. Thailand belum memenangi pingat emas bola sepak di Sukan SEA sejak 2017. Memandangkan kami kini tuan rumah, kami telah membuat persediaan teliti sejak beberapa bulan lalu.

“Untuk menang Sukan SEA, anda mesti bermain empat perlawanan yang sukar. Kami merancang menggilirkan pemain dengan bijak bagi memastikan skuad sentiasa segar.

“Langkah pertama adalah untuk menduduki tempat teratas kumpulan, kemudian fokus pada separuh akhir dan perlawanan akhir.

“Sukan SEA adalah acara sukan terbesar di Asia Tenggara. Kami ingin mengembalikan gelaran dan memulihkan kepercayaan terhadap bola sepak Thailand di seluruh rantau ini.

“Menganjurkan Sukan SEA selepas bertahun-tahun adalah peluang istimewa dan kami ingin membuat peminat kami bangga,” tambahnya dalam satu temu bual.

Pada awal 3 Disember itu, kejohanan itu bermula dengan Vietnam meraih kemenangan 2-1 ke atas Laos.

Pasukan Vietnam, yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA sebelumnya, meraih tiga mata dalam Kumpulan B hasil dua gol oleh Nguyen Dinh Bac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg