Topik diikuti
Pergi ke BHkuThomas Frank dilantik pengurus baharu Crystal Palace
Thomas Frank dilantik pengurus baharu Crystal Palace
LONDON: Crystal Palace melantik Thomas Frank sebagai pengurus baharu mereka pada 16 November, sekaligus memberi jurulatih dari Denmark itu tugas mencabar untuk mengangkat kelab yang sedang menduduki tangga tercorot carta Liga Perdana England (EPL) itu.
Bekas pengurus Brentford dan Tottenham itu menggantikan Pierre Sage, yang dipecat minggu sebelumnya selepas mengendalikan pasukan selama hanya 16 perlawanan.
Pengendali dari Perancis itu gagal meneruskan legasi pendahulunya, Oliver Glasner, yang telah membimbing kelab tersebut melalui tempoh paling berjaya dalam sejarah mereka.
Glasner membawa kelab dari selatan London itu meraih trofi utama pertama dalam sejarah mereka apabila menewaskan Manchester City untuk menjuarai Piala FA pada 2025.
Beliau turut membantu pasukan itu memenangi Liga Persidangan UEFA musim lalu.
“Ia merupakan satu penghormatan untuk berada di sini dan menggalas tanggungjawab mengendalikan kelab bola sepak yang hebat ini. Saya benar-benar tidak sabar untuk memulakan tugas,” kata Frank dalam kenyataan rasmi Palace.
“Crystal Palace merupakan sebuah kelab ikonik di England dan dalam EPL.
“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu dan memberikan sokongan kepada para pemain serta semua pihak yang terlibat dalam kelab ini. Saya juga amat tidak sabar untuk bertemu mereka,” tambahnya.
Frank, yang menandatangani kontrak selama dua tahun setengah, menikmati kejayaan besar sepanjang tujuh tahun bersama Brentford.
Beliau berjaya membawa Brentford ke liga utama buat kali pertama dalam tempoh 74 tahun pada 2021, selain membina kedudukan kukuh kelab itu dalam EPL.
Kejayaan beliau di barat London menarik minat Tottenham untuk mendapatkan khidmat jurulatih berusia 53 tahun itu pada Jun 2025.
Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya di Spurs hanya bertahan selama lapan bulan kerana kelab tersebut mendapatinya sukar untuk menghasilkan prestasi terbaik.
Palace berharap Frank mampu mengulangi kejayaan yang dikecapinya bersama Brentford dengan menggunakan sumber dan kemampuan yang hampir sama di Selhurst Park.
“Saya amat gembira kerana dapat menyambut Thomas ke Crystal Palace.
“Beliau mempunyai rekod yang terbukti dalam membentuk pasukan yang mampu mencapai kemenangan serta meningkatkan prestasi pemain. Ini menjadikan beliau calon yang paling sesuai bagi kelab kami,” kata pengerusi Palace, Steve Parish.
Sage terpaksa dilepaskan akibat prestasi hambar pasukan selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan EPL yang menyebabkan Palace berada di kedudukan tercorot carta.
Tugasnya turut menjadi semakin sukar susulan pemergian Maxence Lacroix ke Chelsea dan Daniel Munoz, yang kembali bergabung dengan Glasner di Nottingham Forest.
Palace kini memiliki rekod pertahanan paling buruk dalam EPL selepas bolos 24 gol dalam 10 perlawanan.
Mereka pastinya mengharapkan peningkatan prestasi serta-merta ketika bersiap sedia menghadapi dua perlawanan liga seterusnya menentang pasukan yang turut berjuang mengelak penyingkiran, Coventry dan Hull.
Selain itu, Palace turut menduduki tangga ke-21 dalam carta Liga Europa yang melibatkan 36 pasukan, dengan hanya berbaki empat perlawanan dalam fasa liga - Agensi Berita