Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada keputusan Fifa atas permintaan gantung Israel

Oct 4, 2024 | 2:02 PM
Di kongres Fifa di Bangkok pada Mei, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menggesa supaya rakan sejawatannya dari Israel digantung dan pasukan Israel dilarang daripada pertandingan Fifa.
Di kongres Fifa di Bangkok pada Mei, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menggesa supaya rakan sejawatannya dari Israel digantung dan pasukan Israel dilarang daripada pertandingan Fifa. - Foto AFP

ZURICH: Badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pada 3 Oktober tidak memberi keputusan berkenaan permintaan Palestin supaya menggantung Israel, sebaliknya melancarkan siasatan terhadap dakwaan diskriminasi.

Semasa kongres Fifa di Bangkok pada Mei, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menggesa supaya rakan sejawatannya dari Israel digantung dan pasukan Israel dilarang daripada pertandingan Fifa.

PFA mendakwa Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) telah melanggar peraturan diskriminasi Fifa.

Tuduhan itu datang tujuh bulan selepas perang Israel dengan Hamas di wilayah Palestin di Gaza.

Fifa pada mulanya bersedia mengadakan sesi luar biasa majlis pentadbirannya sebelum 20 Julai untuk mengkaji analisis undang-undang bebas dan memutuskan cara mengambil tindakan.

Bagaimanapun, tarikh akhir telah ditolak untuk memberi lebih banyak masa kepada pakar undang-undang menyiapkan laporan.

Di ibu pejabat pertubuhan itu di Zurich pada 3 Oktober, Majlis Fifa menerima pakai cadangan dan kesimpulan yang dicapai dalam analisis undang-undang itu.

Ia memutuskan bahawa jawatankuasa tatatertibnya akan diberi mandat untuk menyiasat dakwaan kesalahan diskriminasi yang dibangkitkan oleh PFA.

Sementara itu, jawatankuasa tadbir urus, audit dan pematuhan Fifa “akan diamanahkan dengan misi untuk menyiasat – dan seterusnya menasihati Majlis Fifa tentang – penyertaan dalam pertandingan Israel oleh pasukan bola sepak Israel yang didakwa berpangkalan di wilayah Palestin”.

Presiden Fifa, Encik Gianni Infantino, berkata dalam satu kenyataan: “Majlis Fifa telah melaksanakan usaha wajar mengenai perkara yang sangat sensitif ini dan, berdasarkan penilaian menyeluruh, kami telah mengikut nasihat pakar bebas.

“Keganasan yang berterusan di rantau ini mengesahkan bahawa, di atas semua pertimbangan... kita memerlukan keamanan.

“Memandangkan kami masih sangat terkejut dengan apa yang berlaku, dan hati kami bersama mereka yang menderita, kami menggesa semua pihak supaya memulihkan keamanan di rantau ini dengan segera.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg