LONDON: Hanya beberapa ratus penyokong Chelsea yang kelihatan kecewa masih berada di Wembley sedang Cole Palmer dan rakan-rakannya melangkah naik ke pentas untuk menerima pingat naib juara selepas kekalahan dalam final Piala FA menentang Manchester City.

Namun, berita mengenai ketibaan Xabi Alonso sebagai pengurus kelab, yang tersebar tidak lama selepas kekalahan 0-1 pada 16 Mei, boleh mengubat hati mereka.

Bekas pengurus Real Madrid dan Bayer Leverkusen berusia 44 tahun itu akan diperkenalkan secara rasmi pada pramusim, dengan kontraknya bermula pada 1 Julai.

Menang atau kalah di Wembley, Chelsea sudah hampir membuat keputusan mengenai pengganti Liam Rosenior, dan ingin mengelakkan gangguan kepada pemain dan kakitangan yang terlibat dalam final Piala FA yang berprestij.

Justeru, tiada sebab untuk menangguhkan pengumuman sebaik perlawanan tamat, membolehkan perhatian beralih kepada masa hadapan.

Walaupun Alonso – yang menikmati kerjaya bermain cemerlang dan kemudian membawa Leverkusen meraih kejayaan liga dan piala di Jerman – merupakan pelantikan mengujakan bagi penyokong, ada juga pengakuan bahawa beliau menghadapi tugas agak mencabar.

Chelsea menuju ke musim panas yang penuh cabaran berikutan kekalahan dalam final Piala FA yang menutup satu lagi laluan mereka ke pertandingan Eropah.

Kelayakan Liga Juara-Juara sudah tidak tercapai, manakala tempat dalam Liga Europa juga kelihatan tipis dengan kelab itu kini berada di tangga kesembilan dalam Liga Perdana England (EPL) dengan berbaki dua perlawanan.

Kelab bergelar The Blues itu perlu menamatkan musim sekurang-kurangnya di tangga ketujuh jika berpeluang dapat beraksi di Eropah musim depan.

Penyertaan dalam Liga Persidangan (Conference League) pula tidak banyak membantu dari segi kewangan mahupun membangkitkan semangat penyokong yang sudah biasa menentang pasukan terbaik Eropah.

Ada kemungkinan yang nyata Chelsea akan tersisih daripada pertandingan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) sama sekali. 

Namun, sumber dalam kelab dengan tegas menafikan dakwaan mereka sanggup ketinggalan dalam pertandingan Eropah, walaupun kelab sedang berhadapan sekatan kewangan berikutan perbelanjaan pemindahan yang besar. 

Ini bererti Alonso mewarisi pasukan yang rendah keyakinan diri, beroperasi di bawah kekangan kewangan dan menghadapi cabaran kakitangan yang lebih luas.

Apakah yang Chelsea lihat pada Alonso?

Chelsea ingin belajar daripada kesilapan musim ini dan terkesan dengan pengetahuan, kepimpinan, kecerdasan emosi dan nilai yang dimiliki Alonso.

Mereka juga menghargai rekod trofinya dan kemampuan beliau bekerja dengan baik dalam struktur sedia ada.

Skuad dan struktur Chelsea jauh berbeza daripada Real Madrid, di mana penggal Alonso selama tujuh bulan berakhir pada Januari lalu selepas berlaku pertelingkahan dengan beberapa pemain utama, termasuk Kylian Mbappe. 

Tiada nama sebesar itu di Stamford Bridge, tetapi pemain penting seperti Marc Cucurella dan Enzo Fernandez, pernah mengkritik kelab semasa era Rosenior – ketika beliau kehilangan kepercayaan sebahagian besar pemain, terutama dalam kalangan pemain berbahasa Sepanyol. 

Ini adalah sesuatu yang perlu difikirkan oleh Alonso, tetapi sumber yang rapat dengan beberapa pemain telah menyuarakan rasa teruja mengenai pelantikannya.

Alonso dilantik sebagai pengurus dan bukan ketua jurulatih.

Ini mencerminkan kedudukannya yang lebih kanan dalam struktur kelab, ketika Chelsea berusaha bangkit semula selepas musim yang penuh gejolak yang menyaksikan pemergian Enzo Maresca dan Rosenior. 

Chelsea mempunyai lima pengarah sukan dengan tanggungjawab jelas, dan pengambilan pemain akan dijalankan secara bersama – melibatkan mereka dan juga Alonso.

Perlu ada juga keselarasan mengenai pemergian pemain yang ketara, terutama jika Chelsea gagal ke Eropah.

Walaupun Alonso dikatakan teruja dengan skuad yang ada, kedua-dua pihak sedar beberapa pemain baru masih diperlukan pada musim panas ini, iaitu sekurang-kurangnya seorang bek tengah, pemain tengah dan penyerang.

Selain itu, pihak kelab turut mengakui kesilapan lalu tidak boleh diulang.

Mereka perlu berganding bahu dengan Alonso untuk menjadikan Chelsea pasukan yang benar-benar disegani semula, seperti yang diimpikan oleh semua penyokong kelab Stamford Bridge itu. – Agensi berita.