Tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Asean Hyundai 2026 antara Singapura dengan Thailand akan dijual pada 12 Ogos, mulai 11 pagi, melalui laman web, Tickethotline.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dalam satu kenyataan pada 11 Ogos, menyatakan tiket perlawanan itu terbahagi kepada Kategori 1 dan Kategori 2 – masing-masing berharga $49 dan $35 – yang mencerminkan “peringkat kalah mati pertandingan” tersebut.

Harga tersebut tidak termasuk bayaran bernilai $1.20 bagi setiap tiket dan caj transaksi sebanyak 5 peratus.

FAS menambah, tiket perlawanan itu dijual secara eksklusif melalui laman rasmi itu dan tiada jualan tiket di pejabat tiket mahupun di lokasi perlawanan.

Zon bagi penyokong Singapura dan Thailand ditandakan secara jelas di Stadium Jalan Besar, kata persatuan itu, dengan perlawanan separuh akhir pertama antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung pada 15 Ogos, 9 malam.

Semua tiket yang diperuntuk bagi penyokong Thailand untuk perlawanan separuh akhir pertama itu pula, telah dibeli sepenuhnya oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dan diuruskan secara langsung oleh FAT, tambah FAS.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Negara Rajamangala di Bangkok, ibu kota Thailand, pada 18 Ogos.

Singapura mara ke pusingan separuh akhir menyusuli keputusan seri 1-1 menentang Indonesia di hadapan 5,113 penyokong di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos.

Keputusan itu melengkapkan rekod tanpa kalah Singapura dalam Kumpulan A, dengan dua kemenangan dan dua seri.

Ia sekali gus menempah tempat anak didik Gavin Lee dalam separuh akhir, selepas Singapura menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, di belakang Vietnam.

Thailand merupakan juara tujuh kali piala tersebut, yang menduduki tangga teratas dalam Kumpulan B selepas peringkat saringan.

Dalam pada itu, Stadium Jalan Besar akan terus menjadi tempat pertarungan pada separuh akhir Piala Asean Hyundai 2026 antara Singapura dengan Thailand pada 15 Ogos, memandangkan Stadium Negara belum bersedia untuk kegunaan bagi perlawanan.

Menurut Kallang Group pada 9 Ogos, Stadium Negara – yang boleh memuatkan 55,000 orang dan menjadi lokasi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos – tidak boleh digunakan kerana kerja menanggalkan peralatan dan menyiapkan padang akan memakan masa sekitar dua setengah minggu.