Usaha bagi menambahkan jumlah perlawanan dan pendedahan antarabangsa akan menjadi keutamaan untuk bola sepak wanita setelah ia tersungkur di peringkat kumpulan Sukan SEA, kata Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Yeong Sheau Shyan.
Berkongsi di sidang bagi penilaian prestasi skuad bola sepak dalam Sukan SEA di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember, beliau berkata terdapat jurang yang agak ketara antara bola sepak wanita Singapura dengan negara-negara seperti Indonesia dan Thailand.
Beliau berkata kededua negara itu mengecapi “kemajuan pesat dalam bola sepak wanita”, dengan Thailand telah membangunkan liga wanita bola sepak pada tahap professional.
Ini berbanding Singapura, dengan liga wanita di sini “masih di ambang amatur”, katanya.
“Pemain kami masih sedang belajar atau bekerja sepenuh masa, dan kami sentiasa mencari cara untuk menghimpunkan anggota pasukan bersama.
“Ia juga tidak mudah bagi pasukan wanita untuk mengadakan perlawanan di luar negara. Bahkan kami juga kadangkala mendapati ia mencabar untuk berlatih bersama-sama.
“Kami masih sedang mencari jalan bagi mengharungi cabaran ini dan mengambil kira cabaran tersebut, kami rasa terdorong dengan prestasi kami baru-baru ini,” tambah beliau.
Skuad bola sepak wanita tewas 1-3 di tangan Indonesia dalam perlawanan pembukaan kumpulan dan sekali lagi kalah 0-2 kepada Thailand.
Meskipun keputusan tidak menyebelahi mereka, kekalahan tersebut merupakan “keputusan terbaik terhadap Indonesia dan Thailand”, kata Shyan.
Malah dalam sidang selepas perlawanan menentang Thailand pada 10 Disember, jurulatih pasukan wanita, Karim Bencherifa, berkata kekalahan di tangan tuan rumah adalah keputusan terbaik skuad Singa menentang Thailand sejak 2007.
Sementara itu, Shyan berkata beliau menganggap masa depan skuad wanita kekal positif, memandangkan adanya rancangan bagi meningkatkan program dan ekosistem bola sepak wanita.
“Jawatankuasa wanita telah mengadakan pertemuan secara kerap untuk membangunkan rancangan strategik kami, dan dalam beberapa bulan seterusnya, anda akan dapat melihat beberapa perubahan yang akan diterapkan kepada program bola sepak wanita.
“Kami sedang bekerja rapat dengan projek Unleash The Roar (UTR), kami komited untuk mengembangkan ekosistem bola sepak wanita dan meningkatkan jumlah wanita yang bermain bola sepak dengan membina laluan kerjaya yang lebih jelas untuk mereka mencapai kecemerlangan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg