Menunjukkan kelas mereka dalam perlawanan kedua berturut-turut, pasukan Jepun, Tokyo Verdy, bangkit setelah ketinggalan untuk menewaskan juara bertahan, BG Pathum United, 4-1 dan menjuarai Piala Lion City pada 6 Oktober.
Verdy, yang membelasah Johor Darul Takzim (JDT) dari Malaysia 8-2 pada separuh akhir pada 4 Oktober, tidak panik walaupun lawan mereka dari Thailand memecahkan kebuntuan pada minit ke-49 menerusi Teerapad Sinudomwongsa.
Mereka menyamakan kedudukan hanya lapan minit kemudian menerusi Daisuke Chiba, sebelum Taiki Nakayama, Shin Kusama dan Reo Hirose membantu Verdy meraih kemenangan di Stadium Jalan Besar, lapor The Straits Times.
Sementara itu, pasukan Bawah 16 tahun (B-16) Singapura, tewas dalam perlawanan kedua berturut-turut mereka, tumbang 5-1 kepada JDT pada penentuan tempat ketiga, dua hari selepas tewas 1-0 kepada Pathum pada 4 Oktober.
Di hadapan 920 penonton, pasukan Malaysia itu menjaringkan dua gol menerusi Fadhlul Hadi dan satu gol setiap seorang melalui Fahmi Nor Farizamal, Nur Hakim Irwan dan Arayyan Hakeem.
Cubs membalas menerusi sepakan penalti Luth Harith Fathi.
Jurulatih Cubs, Angel Toledano, berkata beliau akan menganalisis prestasi pemainnya menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 Konfederasi Bola Sepak Asia di Stadium Bishan dari 23 hingga 27 Oktober.
Skuad B-16 Singapura perlu bekerja keras apabila menentang Oman, Tajikistan dan Guam dalam Kumpulan J.
Hanya pemenang dan lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan akan menyertai tuan rumah Arab Saudi pada Pusingan Akhir 2025.
Toledano berkata anak buahnya akan menjalani latihan pusat sepanjang dua minggu akan datang.
Mereka akan bertemu pasukan B-16 Malaysia dan B-21 Albirex Niigata dalam perlawanan persahabatan.
Jurulatih Sepanyol itu berkata beliau akan memilih skuad terbaik bagi kelayakan kejohanan benua itu.
“Kami akan meletak pemain terbaik di setiap kedudukan untuk bersaing,” katanya.
“Kejohanan ini memberi kami peluang melihat prestasi semua pemain di bawah tekanan.”
Tekanan juga menimpa Verdy apabila ketinggalan tetapi pemain mereka tetap tenang.
Jurulatih Verdy, Chosun Futemma, berkata mereka tidak menyangka Pathum akan menjaringkan gol pembukaan melalui sepakan percuma oleh Pathipan Soisuwan, yang menemui Teerapad, yang menanduk bola masuk, menewaskan penjaga gol Verdy, Ryota Hayashi.
Futemma berkata: “Tetapi pemain kami tahu apa yang mereka perlu lakukan. Mereka berjuang keras dan saya berterima kasih kepada mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg