Topic followed successfully
Go to BHku‘Saya tak akan bayar’: Trump kritik harga tiket melampau Piala Dunia 2026
‘Saya tak akan bayar’: Trump kritik harga tiket melampau Piala Dunia 2026
Fifa dikritik berhubung isu harga tiket yang dianggap terlalu mahal
‘Saya tak akan bayar’: Trump kritik harga tiket melampau Piala Dunia 2026
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berkata beliau “juga tidak akan membayarnya” apabila ditanya tentang kemungkinan harga tiket AS$1,000 ($1270) untuk menyaksikan negaranya beraksi menentang Paraguay dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026.
Pertandingan itu bermula pada 11 Jun dan Amerika, yang menjadi tuan rumah bersama pertandingan itu bersama Canada dan Mexico, akan memulakan kempen mereka di Los Angeles pada 12 Jun.
“Saya tidak tahu tentang angka itu,” kata Encik Trump apabila ditanya tentang penyokong yang terpaksa membayar AS$1,000 untuk menonton perlawanan pertama Amerika dalam Kumpulan D.
“Saya tentunya ingin berada di sana, tetapi saya juga tidak akan membayarnya, jujur saya katakan.”
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah dikritik atas strategi penetapan harga yang “melampau” untuk Piala Dunia 2026, di mana, berbeza daripada kejohanan terkini, perlawanan peringkat kumpulan ditetapkan harganya berdasarkan populariti pasukan yang terlibat, bukannya kadar tetap.
Penyokong juga terpaksa berhadapan dengan harga yang melambung tinggi untuk kebanyakan perlawanan melalui platform jualan semula rasmi Fifa, sementara badan pemerintah bola sepak dunia itu mengambil bayaran 30 peratus, 15 peratus masing-masing daripada pembeli dan penjual bagi setiap tiket yang dijual.
“Jika mereka dari Queens dan Brooklyn dan semua orang yang menyayangi Donald Trump tidak dapat pergi, saya akan kecewa, tetapi, anda tahu, pada masa yang sama, ini adalah kejayaan yang luar biasa,” tambah Encik Trump.
“Saya ingin mereka yang mengundi saya dapat pergi.”
Presiden Fifa, Gianni Infantino mempertahankan kos tiket dan berkata ia selari dengan acara sukan lain di Amerika.
“Di Amerika, penjualan semula tiket juga dibenarkan, jadi jika anda menjual tiket pada harga yang terlalu rendah, tiket-tiket ini akan dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi,” kata Infantino pada 5 Mei.
Fifa memang memperkenalkan sebilangan kecil tiket “lebih mampu milik” berharga AS$61 untuk kesemua 104 perlawanan berikutan kritikan terhadap struktur penetapan harganya selepas pelepasan tiket awal.
Tiket perlawanan Piala Dunia di Toronto juga hanya boleh dijual pada harga asal kerana larangan terbaru pemerintah Ontario terhadap penjualan semula tiket acara melebihi harga sebenar.
Penyokong juga berhadapan dengan peningkatan kos pengangkutan di Amerika untuk kejohanan itu, walaupun harga yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, telah dikurangkan di New Jersey.
Perjalanan kereta api selama 30 minit ke perlawanan Piala Dunia di Stadium MetLife telah meningkat kepada AS$150 berbanding tambang biasa AS$12.90 untuk perjalanan pergi-balik, tetapi kini telah dikurangkan sebanyak 30 peratus.
Harga perjalanan sejauh kira-kira 29 kilometer dari Stesen Penn di Manhattan ke tempat kejohanan di New Jersey akan dikenakan kepada penyokong sebanyak AS$105.
Ketua Pegawai Eksekutif New Jersey Transit, Encik Kris Kolluri, berkata Gabenor Mikie Sherrill telah meminta tajaan swasta dan sumber kewangan lain dicari bagi memastikan harga tiket dapat dikurangkan.
“Saya gembira kerana kami dapat mengurangkan harga sekurang-kurangnya 30 peratus dan menurunkan kos kepada AS$105 setiap tiket.” – Agensi berita.

