Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Pembangkang Venezuela serah hadiah Nobelnya kepada Trump

Jan 16, 2026 | 12:20 PM
Cik Maria Corina Machado
Ketua Pembangkang Venezuela, Cik Maria Corina Machado, meninggalkan Rumah Putih selepas pertemuan dengan Presiden Donald Trump pada 15 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Ketua Pembangkang Venezuela, Cik Maria Corina Machado, berkata pada 15 Januari, beliau “menyampaikan” pingat Hadiah Keamanan Nobelnya kepada Encik Donald Trump.

Ia adalah usaha untuk memenangi hati Presiden Amerika yang telah mengetepikannya sejak menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan Encik Trump berhasrat menerima pingat itu.

Dalam catatan media sosial pada petang 15 Januari, Encik Trump menulis:

“Maria telah menyampaikan Hadiah Keamanan Nobelnya kepada saya atas kerja yang telah saya lakukan. Satu isyarat saling menghormati yang begitu indah. Terima kasih Maria!”

Dalam temu bual dengan Fox News, Cik Machado berkata: “Beliau layak menerimanya, dan ia adalah saat yang sangat emosional.”

Langkah luar biasa Cik Machado itu diambil selepas Encik Trump menyatakan bahawa anugerah berkenaan sepatutnya diberikan kepada Encik Trump sendiri, serta susulan keputusan Cik Machado untuk tidak menyokong pendirian Encik Trump berkaitan operasi ketenteraan Amerika pada 3 Januari bagi menahan Encik Maduro.

Encik Trump sebaliknya menyokong Naib Presiden, Cik Delcy Rodriguez, selagi beliau mematuhi garis panduan Washington, terutamanya mengenai akses kepada rizab minyak Venezuela yang luas.

“Saya telah menyampaikan pingat Hadiah Nobel Keamanan kepada Presiden Amerika,” kata Cik Machado kepada pemberita di luar bangunan Capitol Amerika selepas beliau menemui penggubal undang-undang dan sesi makan tengah hari bersama Encik Trump di Rumah Putih.

Cik Machado, 58 tahun, berkata ia adalah “pengiktirafan atas komitmen uniknya terhadap kebebasan kita”.

Tidak dapat dipastikan sama ada Encik Trump benar-benar menerima anugerah itu selepas mesyuarat tertutup tersebut.

Encik Trump telah berkempen keras untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2025 atas apa yang beliau sifatkan sebagai usahanya untuk menghentikan lapan peperangan.

Sebaliknya, ia diberikan kepada Cik Machado, yang datang ke Oslo pada Disember untuk menerimanya selepas melarikan diri dari Venezuela dengan bot.

Pembangkang Venezuela mendakwa dan mengemukakan bukti bahawa Encik Maduro telah “mencuri” pilihan raya 2024 daripada calon parti Cik Machado, Encik Edmundo Gonzalez Urrutia – dakwaan yang disokong oleh Washington.

Tetapi Encik Trump mendapati Cik Machado tidak mempunyai sokongan yang mencukupi dalam kalangan rakyat Venezuela, dan memilih untuk kekal dengan bekas penyokong setia Encik Maduro, Cik Rodriguez.

Encik Trump dan Cik Rodríguez, yang dilantik sebagai pemimpin sementara Venezuela, telah membuat panggilan telefon pertama mereka pada 14 Januari.

Rumah Putih pada 15 Januari memaklumkan bahawa Encik Trump “menyukai apa yang dilihatnya” daripada kepimpinan sementara Venezuela tersebut. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg