Topik diikuti
Pergi ke BHkuTujuh tahun bersama kelab, ketua jurulatih baharu anggap FC Jurong bagai ‘rumah’
Tujuh tahun bersama kelab, ketua jurulatih baharu anggap FC Jurong bagai ‘rumah’
Tujuh tahun bersama kelab, ketua jurulatih baharu anggap FC Jurong bagai ‘rumah’
Walaupun Jaswinder Singh masih baharu dalam kancah Liga Perdana Singapura (SPL), beliau bukanlah orang asing di FC Jurong, setelah menghabiskan tujuh tahun bersama kelab yang telah membentuk perkembangan dan peningkatannya dalam dunia bola sepak.
Dalam temu bual bersama Berita Harian (BH), beliau berkongsi, selepas tujuh tahun berada dalam sistem kelab tersebut, yang dulu dikenali sebagai Albirex Niigata Singapura, beliau kini melangkah ke peranan paling penting dalam kerjayanya setakat ini sebagai ketua jurulatih Jurong.
Ia adalah satu langkah yang dirasakannya bukan sebagai meneroka sesuatu yang tidak diketahui, tetapi lebih kepada kesinambungan semula jadi bagi perjalanan kejurulatihan yang telah dibinanya dengan teliti.
Jurulatih berusia 37 tahun itu telah mendaki tangga kejurulatihan kelab tersebut secara tekal sejak menyertai Albirex pada 2020.
Beliau bermula sebagai penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan, selain turut berkhidmat sebagai penolong jurulatih pasukan Bawah 15 Tahun (U15), sebelum secara beransur-ansur meningkat ke peringkat lebih tinggi.
Sejak itu, beliau juga mengumpul kelayakan kejurulatihan selangkah demi selangkah – memperoleh Lesen Kejurulatihan A, Diploma Pro, dan akhirnya memperolehi Lesen Pro di Uzbekistan pada 2025.
“Saya benar-benar membina kerjaya saya dari bawah,” katanya mengenai perjalanan yang telah membentuk dirinya hari ini.
Hubungan jangka panjangnya dengan persekitaran kelab itu telah menjadikan keputusan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatihnya lebih mudah.
Walaupun ada beberapa pihak yang meragui pelantikannya sebagai ketua jurulatih disebabkan kurangnya pengalaman di peringkat tinggi ini, beliau percaya bahawa dirinya sangat memahami kelab tersebut serta apa yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.
“Saya sudah tujuh tahun di sini. Stadium ini sudah rasa seperti rumah,” katanya.
“Saya tahu jangkaannya, saya tahu persekitarannya, dan saya tahu apa yang diperlukan di kelab ini.”
Dari segi permainan, Jaswinder jelas mengenai identiti yang ingin dibentuk, iaitu permainan bola sepak bersifat menyerang dan berintensiti tinggi, selain mutu permainan yang sentiasa dipertingkat.
“Saya suka bola sepak menyerang,” katanya.
“Saya mahu pasukan menjaringkan banyak gol, tetapi pada masa yang sama kami juga perlu memahami kenapa kami dibolosi dan bagaimana untuk memperbaikinya.”
Namun bagi Jaswinder, falsafah kepimpinan bukan sekadar taktikal. Ia juga berkisar kepada usaha dan tanggungjawab bersama.
“Setiap individu perlu pikul tanggungjawab masing-masing. Semua orang perlu berusaha mendapatkan tempat mereka serta keputusan yang diinginkan,” tambahnya.
Beliau juga yakin dengan asas yang telah dibina dalam pasukan itu.
“Bakat memang ada dalam pasukan ini. Sekarang tugas kami adalah menyatukan semuanya dan bergerak ke arah yang sama,” ujarnya.
Mengulas prestasi musim lalu, Jaswinder mengakui bahawa pasukan seperti Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers berada di tahap lebih tinggi dari segi ketekalan, namun jurang tersebut masih boleh dikecilkan.
“Mereka lebih konsisten,” katanya. “Tetapi kami menunjukkan bahawa kami mampu bersaing. Yang penting ialah menutup jurang itu selangkah demi selangkah.”
Beliau turut memberi penghargaan kepada barisan kejurulatihan terdahulu yang telah menaikkan standard pasukan serta membantu kelab itu berkembang menjadi lebih bersaing.
Bagi musim depan, sasaran utamanya adalah untuk menempatkan Jurong dalam perebutan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2, sambil membina pasukan yang lebih konsisten dan bersatu.
“Anda tidak masuk mana-mana pertandingan tanpa mahu menang,” katanya.
Menjelang permulaan era baharu ini, Jaswinder turut menyampaikan mesej jelas kepada penyokong: Walaupun perubahan berlaku, identiti kelab tetap kekal.
“Kami masih White Swans (gelaran bagi pasukan Jurong) . Kami masih pasukan dari Jurong,” katanya.
“Kami sentiasa perlukan sokongan anda sebagai pemain ke-12 kerana ia memberi kelebihan dan membantu kami terus maju.”
