VANCOUVER: Kekalahan Jerman dalam penentuan penalti (‘penalty shoot-out’) menentang Paraguay pada 29 Jun (30 Jun waktu Singapura) telah menggemparkan dunia bola sepak, apabila pasukan yang dianggap tidak boleh dikalahkan itu tewas secara mengejutkan.

Ini sekali gus mencatatkan kekalahan pertama mereka dalam penentuan penalti di Piala Dunia.

Dalam babak penamat yang menegangkan, Kai Havertz, Nick Woltemade dan Jonathan Tah gagal menjaringkan sepakan masing-masing buat Jerman selepas perlawanan tamat 1-1.

Tekanan turut dirasai pasukan Paraguay, yang terpaksa bangkit semula selepas membazirkan kelebihan dua jaringan dalam sepakan penalti.

Jose Canale akhirnya menjaringkan sepakan penentu yang membawa pasukannya ke pusingan 16 terbaik, dan menamatkan kempen Jerman dengan keputusan 4-3 dalam penentuan penalti. 

Bagi profesor bola sepak dan psikologi di Sekolah Sains Sukan Norway, di Oslo, Profesor Geir Jordet, sepakan penalti merupakan salah satu ujian terbesar terhadap kekuatan dan persediaan mental pemain.

Menurutnya, penendang penalti terbaik adalah mereka yang telah berlatih secara konsisten selama bertahun-tahun untuk menyempurnakan teknik sepakan mereka, termasuk aspek teknikal seperti cara menyepak bola supaya tepat ke sasaran yang dikehendaki.

Ketika fasa penyingkiran semakin rancak, jurulatih dan pemain kerap ditanya tentang latihan penalti dan usaha mereka untuk mewujudkan semula suasana bertekanan tinggi seperti itu. Namun Profesor Jordet berpendapat persoalan itu tidak menepati sasaran.

Beliau berkata adalah hampir mustahil untuk mewujudkan semula keadaan sebenar bagi sesuatu acara sebesar itu. Soalan lebih wajar, menurutnya, ialah sejauh mana tekanan tersebut boleh diwujudkan semula, dan adakah ia memberi kesan kepada keputusan akhir. 

Beliau turut menyebut, terdapat banyak kajian mengenai latihan bawah tekanan, yang menunjukkan bahawa berlatih dalam keadaan sedikit cemas boleh membantu pemain kekal stabil semasa berdepan tekanan lebih tinggi. 

Dalam kajian bagi bukunya, Pressure: Lessons from the psychology of the penalty shoot-out (Tekanan: Pengajaran daripada psikologi sepakan penentuan penalti), Profesor Jordet meneliti lebih 100 sesi penentuan penalti melibatkan lebih 700 sepakan penalti, dan beliau mengetengahkan beberapa teknik seperti visualisasi, dialog dengan diri sendiri, serta melakukan rutin sebelum sepakan yang boleh membantu pemain.

Beliau berkata pemain boleh melakukan pelbagai perkara untuk mengawal situasi dan mengelakkan pihak lawan daripada menentukan keadaan. 

Contohnya, dengan memulakan semula rutin mereka jika penjaga gol menjadi terlalu agresif atau cuba mengganggu tumpuan mereka, atau dengan berhenti seketika untuk menarik nafas dahulu, selepas isyarat daripada pengadil diberikan. 

Namun pada akhirnya, penentuan penalti tetap merupakan pertarungan kemahuan dan kemahiran antara penendang dengan penjaga gol.

Menurut Profesor Jordet, hanya pemain hebat yang berani mengambil tanggungjawab menendang penalti.

Mereka yang gagal selepas menggalas tanggungjawab itu pula turut layak mendapat penghormatan tertinggi, kerana tidak ramai yang sanggup berdepan tekanan setinggi itu dalam acara seperti Piala Dunia.

Secara berasingan, jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro, berkata kemenangan penentuan penalti pasukannya menentang Jerman pada 29 Jun lahir daripada tradisi negara itu sebagai kuasa pertahanan yang hebat.

Jurulatih itu telah menerima kritikan selepas Paraguay tewas 4-1 kepada tuan rumah, Amerika Syarikat, pada perlawanan pembukaan, dan hanya menjaringkan satu lagi gol dalam dua perlawanan kumpulan yang lain.

Namun begitu, pasukan itu berjaya melepasi pusingan kumpulan sebelum menggemparkan Jerman dengan kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti selepas seri 1-1 sepanjang 120 minit.

Alfaro memberitahu wartawan selepas pasukannya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik, bahawa mereka baru sahaja melalui satu malam yang sangat hebat, dan menegaskan bahawa semangat untuk bertahan sememangnya sebahagian daripada identiti pasukan itu. – Reuters.