Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Carrick pilihan pintar untuk Man Utd

Jan 14, 2026 | 11:46 AM
Michael Carrick dipilih untuk memimpin Manchester United sebagai pengurus sementara buat kali kedua, selepas Ruben Amorim dipecat.
Michael Carrick dipilih untuk memimpin Manchester United sebagai pengurus sementara buat kali kedua, selepas Ruben Amorim dipecat. - Foto REUTERS

Keputusan melantik bekas pemain dan bintang Manchester United untuk kembali ke pangkuan kelab itu sebagai ketua jurulatih diambil semasa jamuan sarapan pagi melibatkan Sir Alex Ferguson, Jason Wilcox, dan Omar Berrada, dua hari selepas Ruben Amorim dipecat.

Tugas yang menantinya? Mengemudi pasukan ke arah kestabilan dan sedikit kejayaan, dari masa ini hingga akhir musim.

Pengarah bola sepak United, Wilcox dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Berrada, mengakhiri tempoh 14 bulan Amorim mengetuai pasukan selepas seri 1-1 di Leeds United.

Kadar kemenangan 38.1% yang dirakamkan United di bawah Amorim adalah yang terburuk bagi mana-mana pengurus United sepanjang era Liga Perdana England (EPL).

Pada ketika itu, jurulatih pasukan bawah 18 tahun dan bekas pemain United, Darren Fletcher dilantik sebagai jurulatih sementara untuk tempoh dua perlawanan.

Namun Berrada dan Wilcokx kini telah berpaling kepada Carrick, yang memenangi semua trofi kejuaraan utama bersama United, termasuk lima trofi EPL, satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah sepanjang kerjaya di United selama 12 tahun, di mana beliau menyarung jersi pasukan utama dalam 464 perlawanan.

Carrick, Ole Gunnar Solskjaer, dan Ruud van Nistelrooy, yang kesemuanya pernah menikmati tempoh singkat sebagai jurulatih sementara United sebelum ini, disenarai pendek untuk kembali oleh Wilcox dan Berrada.

Walaupun pemilik minoriti Sir Jim Ratcliffe menamatkan peranan duta Ferguson yang bernilai £2 juta setahun di Old Trafford pada Oktober 2024, pengurus kelab yang paling berjaya itu tetap dijemput ke pusat latihan untuk memberikan pandangan beliau mengenai pencarian pengurus.

“Omar dan Jason berbincang dengan Sir Alex,” kata sumber yang mengetahui pertemuan itu kepada ESPN.

“Mereka bertemu semasa sarapan untuk membincangkan tiga orang yang pernah bermain di bawahnya pada masa lalu. Ada yang mungkin mengkritiknya, jadi anda tidak boleh menang. Tetapi Sir Alex mengenali Michael, Ole, dan Ruud lebih baik daripada sesiapa, jadi Omar dan Jason mencungkil pendapatnya,” tambahnya.

Walaupun sumber United enggan menyatakan sama ada Ferguson secara langsung menobatkan Carrick sebagai pilihan utamanya - dua pilihan utama Ferguson sebelum ini, iaitu David Moyes dan Jurulatih Terpilih Jose Mourinho, berakhir dengan kekecewaan - sumber sama berkata beliau amat positif mengenai bekas pemain tengahnya itu dan menyokong penuh pelantikannya, lapor ESPN.

Sumber kelab berkata Wilcox berhubungan langsung dengan Carrick, Solskjaer, dan Van Nistelrooy pada Selasa yang lalu, 24 jam selepas menamatkan kontrak Amorim, dan ketiga-tiga lelaki itu telah diajak berbincang panjang lebar mengenai rancangan mereka untuk memulihkan musim pasukan.

Carrick dan Solskjaer bertemu Wilcox dan Berrada secara bersemuka manakala Van Nistelrooy mengadakan perbincangan melalui panggilan video.

Satu sumber lain yang biasa dengan proses itu memberitahu ESPN bahawa ini kerana warga Belanda itu sudah mempunyai hubungan sedia ada dengan Wilcox dan Berrada, setelah pada mulanya bekerja sebagai jurulatih di bawah Erik ten Hag sebelum mengambil alih pasukan untuk empat perlawanan selepas Ten Hag dipecat pada Oktober 2024.

Walaupun menduduki tangga di luar empat tempat pertama dengan musim berbaki kurang separuh perlawanan, United masih menaruh matlamat melayakkan diri ke Eropah melalui laluan automatik dan bagi Wilcox dan Berrada, memilih Carrick sebagai jurulatih sehingga akhir musim memberi mereka masa untuk mendapatkan jurulatih tetap pada musim panas.

Seseorang yang mengenali dan memahami kelab

Keputusan untuk memilih bekas pemain United yang pernah memimpin kelab itu sebagai ketua jurulatih berpunca daripada keinginan untuk “membawa masuk seseorang yang mengenali dan memahami kelab untuk mengurangkan risiko tempoh penyesuaian,” kata satu sumber. Sumber yang berkaitan dengan pencarian itu berkata bahawa ketiga-tiga calon itu meninggalkan kesan positif kepada Berrada dan Wilcox, tetapi Carrick akhirnya muncul sebagai pilihan muktamad.

“Mereka semua menampilkan diri dengan sangat baik, semuanya lelaki yang baik, tetapi Michael lebih menonjol,” kata sumber United. “Beliau seorang jurulatih muda yang bijak, tidak gentar dengan kelab, dan disifatkan sebagai memiliki ciri kepimpinan yang dikehendaki untuk melakukan tugas yang diperlukan.”

Pendekatan Carrick yang lebih praktikal terhadap kejurulatihan juga memberinya kelebihan.

Pemain berusia 41 tahun itu berkongsi tugas kejurulatihan dengan Kieran McKenna, kini pengurus Ipswich, semasa tempoh beliau berkhidmat sebagai pembantu Solskjaer di United dari 2018-2021.

Sepanjang tempoh itu, personaliti dan kehadirannya juga menjadikannya tokoh yang popular dan dihormati dalam kalangan skuad pemain.

Sungguhpun demikian, beberapa sumber berkata persaingan adalah sengit antara Carrick dan Solskjaer khususnya, dengan Solskjaer dimaklumkan pada 13 Januari bahawa beliau telah terlepas peluang untuk kembali ke kelab setelah menguruskan pasukan selama tiga musim berikutan pemergian Jose Mourinho pada Disember 2018.

“Ole menerima berita itu dengan penuh budiman,” kata sumber United.

“Jason bercakap dengan Ole dan Ruud pada pagi Selasa. Ketiga-tiga lelaki dalam senarai itu adalah individu yang hebat, tetapi pada akhirnya, kelab hanya memilih Michael,” tambahnya.

Carrick, yang telah meluangkan masa di padang golf dan bekerja sebagai penganalisis TV sejak meninggalkan jawatannya sebagai pengurus pasukan Championship EFl Middlesbrough pada akhir musim 2024-25, memimpin pasukan buat kali pertama dalam perlawanan derby Manchester pada 17 Januari apabila City bertandang ke Old Trafford.

Bekas pemain tengah England itu akan dibantu oleh jurulatih Jonathan Woodgate, Jonny Evans, Travis Binnion dan Steve Holland, yang berkhidmat sebagai orang kanan Gareth Southgate bersama England antara 2016 dengan 2024.

Holland dipikat untuk menyertai United selepas Carrick dan Wilcox membincangkan keperluan untuk seorang jurulatih dengan pengalaman bekerja di peringkat tertinggi.

Lelaki berusia 55 tahun itu dikenali sebagai seorang yang bercakap terus terang dan satu sumber berkata beliau boleh ‘merajuk’ jika ada perkara yang kurang disenanginya berlaku, tetapi Southgate menganggap Holland sebagai elemen penting dalam tempoh beliau sebagai pengurus England.

“Gareth disegani dan perangainya diketahui pemain, tetapi Steve adalah tokoh yang lebih tegas,” kata sumber yang rapat dengan Southgate.

Steve menghabiskan masa yang lama di Chelsea, bekerja dengan Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, dan Antonio Conte.

Beliau mempunyai kelebihan kerana pengalaman itu.

Walaupun Carrick mahupun Wilcox tidak pernah bekerja dengan Holland sebelum ini, sumber United berkata pemain England di kelab itu lega dan gembira apabila diberitahu beliau akan menyertai pasukan jurulatih yang dipilih Carrick.

Namun walaupun United telah merombak pasukan kejurulatihan mereka, tanggungjawab mendapatkan keputusan yang diingini dipikul Carrick seorang.

Walaupun kelihatan tenang dan sederhana di luar, Carrick mempunyai sifat keras, dan beliau telah menunjukkannya pada masa lalu di United.

Semasa memimpin United dalam tiga perlawanan sebagai jurulatih interim berikutan pemecatan Solskjaer pada 2021, Carrick cukup berani untuk menggugurkan kedua-dua Bruno Fernandes dan Cristiano Ronaldo daripada pasukan.

Fernandes digugurkan untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Villarreal dalam perlawanan pertama Carrick – kemenangan 2-0 – dan Ronaldo diturunkan ke bangku simpanan dalam perlawanan dengan Chelsea yang berakhir seri 1-1.

Perlawanan ketiga Carrick adalah kemenangan 3-2 di Old Trafford menentang Arsenal kendalian Mikel Arteta, dan walaupun pengurus sementara pada ketika itu - Rangnick – mahu beliau kekal dalam kakitangan, Carrick menolak tawaran itu kerana ingin setia kepada Solskjaer.

Carrick tidak banyak kerenah. Apabila beliau menandatangani kontrak untuk United sebagai pemain dari Tottenham pada musim panas 2006, enam bulan selepas pemergian kapten legenda Roy Keane, beliau dengan mudah menerima cabaran untuk mengambil jersi nombor 16 Keane.

Dan semasa tempoh kepimpinan Louis van Gaal selama dua tahun sebagai pengurus antara 2014-16, Carrick dan Wayne Rooney bertemu dengan bekas jurulatih Ajax dan Barcelona itu untuk menyampaikan kebimbangan skuad mengenai gaya pengurusannya yang kurang fleksibel dan kaedah latihan yang berulang-ulang.

“Para pemain sudah muak dengan taktik Van Gaal, jadi Michael dan Wayne memberitahunya untuk mengurangkan tekanan dan memberi mereka lebih kebebasan,” kata sumber yang mengetahui pertemuan itu.

“Van Gaal mendengar dan menghormati mereka kerana berterus terang, tetapi walaupun beliau mengalah seketika, keadaan itu tidak bertahan lama,” katanya lagi.

Kerelaannya menggugurkan Fernandes dan Ronaldo dan kemudian berdepan dengan Van Gaal, mempamerkan sifat tegas Carrick dan sifat inilah ang beliau perlu tunjukkan jika beliau mahu menyemarak semula United dan membimbing pasukan mencapai kelayakan Liga Juara-Juara.

Jika beliau berjaya, penyokong dan pengulas mungkin mendesak supaya Carrick diberikan jawatan itu secara tetap.

Pada masa yang sama, tugas yang dihadapi Carrick amat menakutkan.

United hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, menjelang perlawanan dengan City di tempat sendiri dan Arsenal di tempat lawan.

Bagi seseorang yang pernah mengaku taksub dengan kereta, mengakui bahawa beliau menaruh harapan dapat beralih daripada bole sepak kepada perlumbaan Formula Satu (F1), Carrick mungkin percaya beliau telah diberikan kunci kepada sebuah Ferrari selepas mengambil tugas United.

Pada masa ini, tayar kempis dan minyak yang salah berada dalam enjin, tetapi Carrick, yang diberi kepercayaan untuk memandu – selama empat bulan – perlu menunjukkan beliau boleh memandu kereta secara stabil sebelum menggapai kecemerlangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg