Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Welbeck kembali ‘hantui’ Man Utd

Jan 12, 2026 | 1:49 PM
Welbeck, Piala FA, Man Utd 
Pemain Manchester United, Casemiro, kecewa selepas pasukannya tewas kepada Brighton 1-2 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA pada 11 Januari. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Kepulangannya ke Old Trafford pada 11 Januari sepatutnya menjadi detik manis bagi bekas bintang Manchester United, Darren Fletcher, yang menaruh harapan untuk membantu kelabnya bangkit daripada kerapuhan selaku pengurus sementara.

Namun, kejayaan itu menjadi milik salah seorang lagi bekas penyerang ‘Red Devils’ serta bekas rakan sepasukan Fletcher yang kini menyarungi jersi Brighton, Danny Welbeck.

Perlawanan United yang kedua di bawah kendalian Fletcher berakhir dengan kekecewaan menyusuli keputusan seri apabila menentang Burnley dalam Liga Perdana England (EPL) pada 8 Januari.

Welbeck kembali ‘menghantui’ United sekali lagi setelah membantu kelabnya mengatasi United 2-1 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA.

Di sebalik prestasi cemerlang itu, Welbeck – yang beraksi di kelab asalnya sejak 2001 sebelum berpindah ke Arsenal pada 2014 – bersikap rendah hati terhadap Fletcher yang meninggalkan United sebagai pemain pada 2015.

“Beliau banyak membantu saya ketika saya pemain muda di Manchester United. Saya gembira melihatnya di padang, dan saya sangat menghormati Darren Fletcher,” kata Welbeck, 35 tahun.

Ini mungkin perlawanan terakhir bagi Fletcher selaku pengurus sementara di United.

Membesar di Longsight, terletak sekitar lapan kilometer dari Stadium Old Trafford, dan mengasah bakatnya di akademi kelab, Welbeck sebahagian daripada skuad United yang menjuarai gelaran EPL terakhir pada 2013, di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Kemudian, Welbeck bergelut untuk mendapat masa permainan yang tetap di bawah bimbingan Louis Van Gaal.

Welbeck memutuskan untuk meninggalkan United selepas penyerang Colombia, Radamel Falcao, dibawa masuk.

Sejak itu, Welbeck, yang masih menjawab panggilan Ferguson dan Fletcher, telah memulakan kebiasaan menghantar ‘peringatan’ kepada pengurus dan anggota pengurusan United.

Beliau sudah pun menjaringkan lapan gol ke atas United sejak meninggalkan kelab itu. Welbeck menerima tepukan gemuruh daripada kedua-dua peminat United dan Brighton apabila meninggalkan padang Old Trafford pada 11 Januari.

Penyerang itu turut memainkan peranan penting dalam gol pertama oleh Brighton.

Hantaran lintang yang tepat hasil gerakan pantas Welbeck membuka ruang kepada Brajan Gruda menjaringkan gol pertama Brighton.

Pada minit ke-64, Welbeck mempamerkan ketenangan dan ketajamannya di depan gawang ketika mengatasi Senne Lammens – ciri-ciri yang kurang ditonjolkan oleh penyerang United.

Welbeck mengawal hantaran oleh Gruda dengan tenang sebelum rembatan kaki kirinya menembusi sudut gawang.

“Saya tahu di mana kedudukan pertahanan, dan saya berkata pada diri sendiri, saya mesti mengawal bola dalam satu sentuhan, dan sentuhan kedua mestilah rembatan ke arah gawang,” katanya.

Beliau menambah: “Kawalan saya itu mesti sempurna, jauh dari benteng. Saya rasa sangat seronok apabila dapat melaksanakan gerakan itu dengan lancar.”

Sejak meninggalkan United, Arsenal dan Watford, Welbeck kini menyumbang pengaruh lebih besar sebagai pemain senior setelah menyertai Brighton pada 2020.

Pengurus Brighton, Fabian Hurzeler, berkata Welbeck bukan sahaja pemain tonggak, malah juga teladan bagi skuad.

“Beliau merupakan contoh di dalam dan luar padang, dan seorang penghubung yang hebat.

“Dia juga penjaring gol hebat, sentiasa hadir pada masa yang tepat. Beliau terlepas peluang baik, tetapi penjaring gol yang baik tidak pernah berputus asa, mereka sentiasa bersedia,” kata Hurzeler.

Kini, Welbeck sudah mencatatkan sembilan gol bagi musim EPL ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg