Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

United naikkan harga tiket, tolak desakan penyokong agar dibeku

Mar 18, 2025 | 2:36 PM
Penyokong mahu  Manchester United  membekukan harga tiket, tetapi kelab itu memutuskan tidak wajar mengekalkan harga sedang kos meningkat dan kelab itu terus menghadapi masalah kewangan.
Penyokong mahu Manchester United membekukan harga tiket, tetapi kelab itu memutuskan tidak wajar mengekalkan harga sedang kos meningkat dan kelab itu terus menghadapi masalah kewangan. - Foto REUTERS

LONDON: Manchester United mengumumkan pada 17 Mac rancangan menaikkan harga tiket semusim sebanyak 5 peratus bagi musim 2025-26, bertentangan dengan desakan kumpulan penyokong yang meminta harga tiket dibekukan.

Harga tiket bagi perlawanan pasukan bawah 16 tahun tidak dinaikkan, namun kelab itu akan memperkenalkan satu kategori perlawanan baru bagi bukan pemegang tiket semusim, untuk membolehkan struktur harga berbeza bagi perlawanan lebih popular.

Penyokong United sering mengadakan bantahan di Old Trafford beberapa bulan kebelakangan selepas keputusan pada November untuk membatalkan diskaun bagi kanak-kanak dan mereka yang berumur lebih 65 tahun, dengan semua tiket untuk musim ini dijual pada harga £66 ($114).

Lembaga penasihat penyokong (FAB) telah mengadakan pertemuan dengan kelab itu dan mendesak supaya harga tiket dibekukan.

Tiket semusim di Old Trafford juga telah meningkat 5 peratus dalam dua musim lepas selepas pembekuan harga selama 11 tahun.

Ketua eksekutif United, Omar Berrada, berkata dalam satu kenyataan:

“Kami faham pentingnya sokongan mereka untuk pasukan ini dan telah bekerja keras untuk menghasilkan pakej harga adil dan munasabah.”

Pemilik bersama kelab itu, Jim Ratcliffe, mendakwa dalam beberapa temu bual minggu lalu bahawa pasukan gergasi Inggeris itu akan kehabisan wang menjelang hujung 2024 jika tidak kerana langkah pemotongan kos dan kenaikan harga tiket yang beliau awasi.

United mengalami kerugian terkumpul sebanyak £410 juta ($708 juta) dalam tujuh tahun terakhir selepas beberapa kesilapan dalam pasaran perpindahan dan pengambilan pengurus.

Mereka kini berada di tempat ke-13 dalam Liga Perdana England (EPL) dan bergantung pada kemenangan Liga Europa untuk menjulang sebuah trofi musim ini.

“Kami dengar dengan teliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh FAB yang menyokong pembekuan harga. Bagaimanapun, kelab ini telah memutuskan adalah tidak wajar mengekalkan harga sedang kos meningkat dan kelab terus menghadapi masalah kewangan,” ujar Berrada.

“Kami telah mengekalkan kenaikan pada tahap paling rendah dan melindungi pemegang tiket semusim termuda kami daripada sebarang kenaikan, sambil memastikan kelab ini terus cukup kuat dari segi kewangan untuk melabur dalam memperbaiki pasukan.”

Antara beberapa perubahan dalam tiket, United merancang menukar beberapa tiket kemasukan umum yang dekat dengan ‘dugout’ (tempat duduk pemain simpanan dan pegawai di tepi padang) menjadi tempat duduk yang boleh dijual pada harga premium.

Sementara itu, pendahulu EPL, Liverpool, mengumumkan pada Februari bahawa mereka akan membekukan harga tiket untuk musim depan.

“Selama beberapa bulan, kami telah berhujah panjang lebar bahawa kelab ini perlu melihat gambaran besar dan membekukan harga tiket untuk musim depan,” kata Manchester United Supporters’ Trust.

“Kelab lain telah melakukannya dan di United, ia akan memberi mesej kuat tentang perlunya semua pihak bekerjasama untuk mengeluarkan kelab ini daripada kedudukan sukar yang dihadapi.

“Kami ambil perhatian bahawa skala kenaikan utama kurang daripada yang dikhuatiri ramai; dan kami percaya bahawa perbincangan yang dilakukan kumpulan penyokong dengan kelab ini, bersama tekanan awam melalui media dan pelbagai bantahan, telah membantu mengehadkan kenaikan tersebut.”

United mengumumkan minggu lalu rancangan meninggalkan Old Trafford dan berpindah ke stadium baru dengan kapasiti 100,000 tempat duduk pada kos yang dilaporkan £2 billion ($3.4 billion). Namun tiada butiran jelas bagaimana projek tersebut akan dibiayai. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg