Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usia bukan halangan Mike Tyson lawan Jake Paul secara profesional

May 5, 2024 | 5:30 AM
Mike Tyson akan berusia 58 tahun apabila bertemu Jake Paul pada 20 Julai.
Mike Tyson akan berusia 58 tahun apabila bertemu Jake Paul pada 20 Julai. - Foto REUTERS

NEW YORK: Usia bukan penghalang bagi Mike Tyson apabila beliau dijadual bertemu Jake Paul pada 20 Julai – meskipun jarak usia mereka adalah sekitar 30 tahun dengan Paul baru berusia 27 tahun sementara Tyson sudah pun berusia 57 tahun.

Pertarungan antara Paul, yang merupakan pempengaruh YouTube, dengan Tyson, bekas juara tinju dunia, secara rasmi diterima sebagai satu pertarungan profesional.

Ini bermakna apa jua keputusan pertarungan itu, yang dijadual berlangsung di Texas pada 20 Julai, akan muncul dalam rekod masing-masing.

Namun pertarungan itu akan mempunyai beberapa peraturan, termasuk ia hanya boleh berlangsung sebanyak lapan pusingan dengan tempoh setiap pusingan selama dua minit, serta sarung tangan seberat 14 auns, atau 397 gram, mesti dipakai.

Jabatan Perlesesan dan Peraturan Texas (TDLR) berkata ia telah menjalankan semakan ke atas Paul dan Tyson, dengan menilai rekod terkini kededua mereka serta sejarah perubatan mereka sebelum membenarkan perlawanan profesional itu, dengan beberapa peraturan.

“Keselamatan pesaing yang bertarung dalam gelanggang atau oktagon sentiasa dianggap keprihatinan utama,” kata TDLR.

Tyson, yang bakal berusia 58 tahun semasa pertarungan berlangsung, telah mengakhiri kerjaya profesionalnya sebagai petinju pada 2005, dengan yang terkini beliau terlibat dalam satu perlawanan pertunjukan pada 2020.

Beliau akan berusia 58 tahun tiga minggu sebelum bertemu Paul.

Sementara itu, Paul telah menewaskan seorang petinju, Ryan Bourland, dalam pertarungan profesionalnya yang ke-10 pada Mac. Beliau menang dengan menumbangkan lawannya itu dalam pusingan pertama.

“Mike Tyson dan Jake Paul bersetuju untuk bertemu satu sama lain dengan hasrat bertarung dalam peraturan profesional yang boleh memberikan keputusan yang diambil kira,” kata pegawai promosi MVP Promotions, Nakisa Bidarian.

Tyson merupakan petinju kategori heavyweight pertama yang memenangi kejohanan Persatuan Tinju Sedunia (WBA), Majlis Tinju Sedunia (WBC) dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada 1987.

Namun kejuaraannya itu berakhir secara mengejut pada 1990 selepas beliau ditundukkan Buster Douglas dalam salah satu pertarungan yang berakhir dengan upset dalam sejarah tinju.

Meskipun beliau merampas semula kejuaraan WBA dan WBC pada 1996, beliau kemudian mengalami kekalahan berturut kepada Evander Holyfield – yang kedua baginya selepas Tyson dibatalkan kerana menggigit sebahagian telinga Holyfield.

Isu undang-undang yang dilanggar Tyson termasuk pertuduhan merogol pada 1992, dengan beliau menjalani hukuman penjara selama tiga daripada enam tahun yang dijatuhkan ke atasnya.

Pada 1999 beliau menjalani pula, sepertiga daripada hukuman penjara 12 bulan kerana serangan akibat marah semasa di jalan raya.

Beliau kemudian kembali cergas untuk bertinju dalam satu pertunjukan bersama bekas juara dunia, Roy Jones Jr. pada 2020.

Pertarungan itu berakhir dengan keputusan seri.

Pertarungannya dengan Paul akan berlangsung di Stadium AT&T Arlington, rumah kepada pasukan bola sepak Amerika, Dallas Cowboys.

Sebelum ini, Tyson telah diberi amaran doktor bahawa pertarungannya menentang Paul boleh menimbulkan risiko urat saraf otaknya rosak.

Ini selepas pencabarnya itu menolak desas-desus bahawa mereka akan memakai pelindung kepala semasa pertarungan tersebut.

Stadium itu mempunyai kapasiti tempat duduk untuk seramai 80,000 penonton.

Paul mempunyai rekod kemenangan tinju sebanyak sembilan kali – termasuk enam menerusi ‘knockout’ – dan satu kekalahan.

Beliau tewas sekali kepada petinju Britain Tommy Fury pada Februari 2023.

Tyson pula, yang mempunyai rekod 50 kemenangan – termasuk 44 ‘knockout’ – dan enam kekalahan, berharap untuk bersiap sedia memandangkan usianya yang jauh lebih tua daripada Paul apabila pertarungan itu berlangsung dalam arena tersebut.

Sebelum ini, Tyson ada menyatakan yang beliau teruja bertentangan dengan Paul.

“Saya menantikan masa untuk masuk gelanggang dengan Jake Paul,” kata Tyson dalam satu kenyataan.

“Beliau telah berkembang sebagai seorang petinju sejak beberapa tahun lalu, maka sememangnya menarik untuk melihat bagaimana semangat dan keinginan seorang ‘kanak-kanak’ apabila berhadapan dengan petinju hebat yang berpengalaman dan peka.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg