Arsenal kini hampir mencapai gelaran juara Liga Perdana pertama mereka dalam tempoh 22 tahun, selepas keputusan Video Pembantu Pengadil (VAR) yang kontroversial menghadiahkan kejayaan 1-0 ke atas West Ham pada 10 Mei.

Pasukan Mikel Arteta seakan kehilangan genggaman ke atas trofi apabila apabila drama masa tambahan meletus, namun campur tangan dramatik VAR menjadi penyelamat, mengembalikan semula nafas harapan buat kelab utara London itu.

Mendahului berkat jaringan Leandro Trossard pada minit ke-83, The Gunners tergamam apabila Callum Wilson dari West Ham menjaringkan gol penyamaan pada saat genting, susulan kesilapan penjaga gol David Raya yang terlepas bola di kawasan penalti.

Namun kegembiraan West Ham terhenti apabila pegawai VAR, Darren England meminta pengadil Chris Kavanagh merujuk monitor tepi padang, bagi meneliti insiden kemungkinan berlaku kekasaran oleh Pablo ke atas Raya.

Selepas semakan semula yang berpanjangan, Kavanagh mengesahkan Pablo menghalang pergerakan Raya. Gol kemudian dibatalkan.

Arteta dan para pemainnya menghela nafas lega serentak, sementara gemuruh sorakan penyokong Arsenal bergema di stadium. Di sudut yang lain, penyokong West Ham meraung hampa, tidak percaya dengan detik yang disaksikan.

Momen dramatik yang sarat emosi ini akan kekal tersemat sebagai titik paling bermakna musim ini, sekiranya Arsenal berjaya menjulang gelaran ke-14 England, yang pertama sejak 2004.

Mendahului Manchester United dengan kelebihan lima mata, Arsenal hanya memerlukan kemenangan dalam dua pertarungan terakhir mereka – menentang Burnley di hadapan penyokong sendiri pada 18 Mei, dan menentang Crystal Palace pada 24 Mei untuk menjulang takhta Liga Perdana.

Walau bagaimanapun, penantian gelaran boleh ditamatkan lebih awal lagi.

Senario dramatik menanti sekiranya City gagal merampas kemenangan dalam perlawanan mereka menentang Palace di Stadium Etihad pada 13 Mei.

Itu akan membolehkan Arsenal memastikan gelaran dengan kemenangan ke atas Burnley.

The Hammers hanya satu mata dari zon selamat, namun Tottenham, di belakang mereka, berpeluang melebarkan jurang kepada empat mata jika menewaskan Leeds pada 11 Mei, dengan hanya dua perlawanan sisa.

Keputusan VAR yang dianggap paling penting dalam sejarah Liga Perdana itu sudah pasti mencetuskan reaksi yang berbeza antara Arteta dan pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo. 

“Ia adalah keputusan pengadil yang sangat berani,” kata Arteta. “Saya perlu memuji mereka, kerana memberi pilihan kepada seorang pengadil untuk membuat keputusan, jauh dari kekacauan, untuk memberinya ruang membuat keputusan yang betul.

Nuno pula melihatnya secara berbeza, menegaskan bahawa keputusan itu adalah hasil peraturan yang boleh dipertikaikan dan tafsiran peraturan yang tidak konsisten dalam musim-musim terkini.

“Cara perlawanan berakhir, kami semua kecewa tentunya,” katanya.

“Ada pengadil, ada VAR, ada keadaan pada masa lalu yang akan dinilai secara berbeza.

“Malah pengadil pun tidak tahu apa yang merupakan kekasaran dan apa yang bukan. Ia mewujudkan banyak keraguan dan spekulasi.”

Sejak diperkenalkan ke Liga Perdana pada 2019, VAR telah menjadi punca kritikan daripada pengurus dan penyokong yang kecewa dengan sistem yang jauh dari sempurna. – Agensi berita.