Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Verstappen akan terus beri jawapan ringkas dalam sidang media

Ini selepas beliau didenda FIA kerana gunakan kata makian dalam satu sidang media
Oct 18, 2024 | 2:24 PM
Max Verstappen memulakan dasarnya memberi jawapan ringkas dalam sidang media pentadbir perlumbaan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selepas didenda kerana menggunakan kata makian dalam satu sidang media semasa perlumbaan di Singapura.
Max Verstappen memulakan dasarnya memberi jawapan ringkas dalam sidang media pentadbir perlumbaan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selepas didenda kerana menggunakan kata makian dalam satu sidang media semasa perlumbaan di Singapura. - Foto REUTERS

AUSTIN (Texas): Max Verstappen berkata beliau akan meneruskan pendiriannya memberi jawapan ringkas dalam sidang media rasmi Formula Satu (F1) di Grand Prix Amerika Syarikat dari 19 hingga 21 Oktober.

Pemandu Red Bull itu memulakan dasarnya semasa perlumbaan terakhirnya di Singapura, selepas didenda oleh badan pentadbir perlumbaan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kerana menggunakan kata makian dalam satu sidang media.

Verstappen berkata pada hari media di Austin, Texas: “Saya belum mendengar apa-apa (daripada FIA), jadi bagi saya ia tidak mengubah apa-apa. Saya tentu sekali lebih suka kurang bercakap, jadi ia tidak menjadi masalah buat saya.”

Di Singapura, Verstappen mengehadkan jawapannya sedapat mungkin dalam sidang media rasmi FIA untuk memastikan beliau mematuhi syarat dalam memberi jawapan.

Verstappen, 27 tahun, memberitahu wartawan di sana bahawa beliau terbuka untuk menjawab soalan dengan lebih mendalam di luar bilik sidang media, dan beliau berbuat demikian selepas pusingan kelayakan dan perlumbaan.

Pada 17 Oktober, bercakap ketika dikelilingi wartawan di sebuah meja di luar ruang layanan Red Bull, Verstappen berkata beliau akan meneruskan pendekatan itu.

Pemandu Belanda itu menyifatkan pertikaian tersebut sebagai “mengarut”, lapor BBC.

Apabila ditanya sama ada beliau akan berbincang dengan presiden FIA, Encik Mohammed Ben Sulayem, mengenai isu itu, Verstappen berkata beliau sentiasa terbuka untuk berbincang, namun berasa bukan beliau yang perlu memulakan langkah pertama.

“Senario ini, ya, ia sangat tidak perlu. Sudah tentu saya tahu anda tidak boleh menggunakan kata makian secara umum, tetapi ia lebih kepada apabila anda menghina seseorang,” ujar Verstappen.

“Kemudian anda mendengar komen seperti: ‘Ya tetapi anda tidak mahu kanak-kanak melihatnya’. Tetapi ketika saya berumur lima tahun, saya tidak pernah menonton sidang media dalam hidup saya. Dan di sekolah anda mendengar perkara yang lebih teruk daripada itu.

“Mereka mahu anda menjadi contoh. Ya, semestinya. Saya tidak rasa mereka perlu memperbesarkan (isu itu).”

Pemandu Mercedes Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya George Russell, yang juga pengarah Persatuan Pemandu Grand Prix, berkata pemandu F1 mungkin mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai isu itu minggu hadapan.

“Memang kelihatannya agak mengarut bahawa (isu itu) telah sampai ke (tahap) ini. Kami masih belum berbincang dengan FIA tetapi kami berharap dapat berbuat demikian (pada perlumbaan seterusnya) di Mexico. Tetapi secara kolektif kami semua mempunyai pendapat yang sama,” kata Russell.

Menurut Russell, sukar untuk pelumba mengawal emosi mereka, lebih-lebih lagi jika diwawancara ketika perlumbaan. Justeru, pilihan di tangan penyiar untuk menyiarkan kesemua wawancara itu atau tidak, ujarnya.

Namun, Russell berkata dalam persekitaran seperti media akhbar, pelumba mungkin mempunyai kewajipan untuk lebih berhati-hati dengan kata-kata mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg