Topik diikuti
Pergi ke BHkuVerstappen, Hamilton bingung selepas kerosakan sistem ubah F1 jadi ‘lumba Lego’
Verstappen, Hamilton bingung selepas kerosakan sistem ubah F1 jadi ‘lumba Lego’
SEPANG: Max Verstappen dan Lewis Hamilton menyamakan kesan ralat perisian atau ‘software bug’ yang menjejas beberapa kenderaan sebelum permulaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seperti satu ‘perlumbaan Lego’.
Masalah berkenaan menyebabkan beberapa kenderaan – termasuk milik dua juara dunia yang berkongsi petak hadapan litar – gagal berfungsi dalam keadaan basah sebelum perlumbaan bermula.
Hujan lebat tropika mengakibatkan usaha untuk memulakan perlumbaan tergendala selama hampir sejam.
Apabila kenderaan mula bergerak bagi pusingan formasi di belakang kereta keselamatan untuk menguji keadaan litar, penonton disajikan dengan pemandangan pelik apabila banyak kenderaan bergelut untuk bergerak.
Ralat dalam perisian yang mengawal penggunaan kuasa elektrik enjin dalam keadaan basah telah tercetus disebabkan gabungan beberapa faktor seperti kelajuan enjin yang rendah, cengkaman lemah serta aspek khusus reka bentuk litar.
Meskipun berdepan cabaran, Verstappen berjaya meraih kemenangan sulungnya bagi 2026 dengan 25 mata, diikuti Kimi Antonelli (18) di tempat kedua, mengatasi Hamilton dengan kelebihan tiga mata.
“Enjin ini sangat rumit dan banyak perisian digunakan.
“Saya yang mula-mula mengalami (masalah itu), kemudian saya memandang cermin sisi dan terfikir, ‘Tunggu sebentar, adakah mereka sedang menunggu saya atau apa yang sedang berlaku...?’ Ia seperti perlumbaan Lego,” kata Verstappen.
Pelumba Red Bull berkenaan merujuk kepada acara perarakan pemandu menggunakan kenderaan Lego Formula Satu (F1) dikuasakan bateri yang diadakan sebelum Grand Prix Britain pada Julai.
Hamilton, yang berada di sebelah Verstappen dalam sidang media selepas perlumbaan, mencelah dengan berkata:
“Ya, kami mempunyai kelajuan yang sama. Saya terpaksa berhenti di litar, mematikan kereta dan enjin, kemudian menghidupkannya semula. Saya tidak pernah melakukan perkara itu sebelum ini.”
Verstappen menambah: “Ia sangat tidak masuk akal. Seperti kenderaan Lego. Pada satu ketika, terdapat lima kenderaan bergerak sebelah-menyebelah dalam satu barisan kerana tidak faham apa yang sedang berlaku.
“Kemudian kami melengkapkan satu pusingan dan saya melihat lapan kenderaan lain masih merangkak.”
Pemandu Mercedes, George Russell, yang terpaksa menarik diri daripada perlumbaan akibat kerosakan enjin, berkata: “Ia tidak terasa seperti F1.”
Pengarah Kenderaan Kerusi Tunggal bagi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Nikolas Tombazis, berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung insiden tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun perisian berkenaan telah menjalani ujian, ia belum pernah diuji dalam keadaan sebegitu – sebahagian besarnya disebabkan kekurangan pemanduan dalam litar basah pada 2026.
“Kenderaan amat rumit,” kata Tombazis.
“Kami semua mahukannya menjadi lebih mudah, tetapi apabila anda mempunyai gabungan kuasa elektrik dan pembakaran yang berfungsi secara serentak, serta keperluan untuk memastikan keadilan antara pasukan, ia menjadi sangat rumit.
“Kami belum menjalankan taklimat penilaian menyeluruh mengenai situasi ini bagi melihat bagaimana kami boleh mengelakkan isu sebegini. Selepas setiap perlumbaan, kami akan mengadakan taklimat penilaian menyeluruh untuk mengenal pasti perkara-perkara penting.”
Ini adalah antara pelbagai isu yang timbul disebabkan kerumitan enjin hibrid yang diperkenalkan pada 2026.
Gabungan kuasa pembakaran dalaman dan elektrik yang hampir seimbang (50-50) menyebabkan unit kuasa sering mengalami kekurangan tenaga.
Isu ini menjadi topik utama perbincangan di luar litar, dan peraturan bakal diubah menjelang 2027 untuk menyelaras agihan kuasa kenderaan bagi mengatasi masalah tersebut. – Agensi berita.