Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Verstappen juarai Grand Prix Canada

Jun 10, 2024 | 4:22 PM
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraikan kemenangannya selepas menjuarai Grand Prix Canada.
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraikan kemenangannya selepas menjuarai Grand Prix Canada. - Foto REUTERS

MONTREAL: Juara dunia tiga kali daripada pasukan Red Bull, Max Verstappen, menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Canada buat kali ketiga berturut-turut pada 9 Jun di Litar Gilles Villeneuve, dalam perlumbaan yang dilanda cuaca buruk disebabkan hujan lebat.

Verstappen, yang bermula di barisan hadapan bersama pelumba Mercedes, George Russell, mengelakkan diri daripada masalah dalam perlumbaan yang menghadapi keadaan berubah-ubah itu, dan berjaya mengalahkan pemandu McLaren, Lando Norris, pada hentian pit terakhir.

Pelumba Belanda itu kemudian bertahan untuk meraih kemenangan keenam beliau daripada sembilan perlumbaan musim ini, dan yang ke-60 dalam kerjayanya di F1.

Ia adalah satu lagi pemanduan cemerlang daripada pelumba berusia 26 tahun itu, yang perlu menangani keadaan litar yang bertukar-tukar daripada basah menjadi kering dan kemudian basah semula.

Ini selain persaingan di hentian pit dan cabaran daripada pasukan McLaren dan Mercedes.

Pemandu Ferrari, Carlos Sainz, hilang kawalan dan melanggar kereta Williams yang dipandu Alex Albon, menyebabkan kehadiran kereta keselamatan buat kali kedua dalam perlumbaan itu.

Namun, Verstappen berjaya menempuh situasi tersebut dengan baik.

Verstappen kemudian menamatkan perlumbaan dengan masa 3.879 saat di hadapan Norris yang mendapat tempat kedua.

Russell pula memenangi pertarungan pusingan terakhir yang mendebarkan dengan rakan sepasukan, Lewis Hamilton, untuk meraih tempat ketiga.

“Tidak mudah tetapi kami berjaya melakukannya,” kata Verstappen menerusi radio pasukan.

“Saya fikir sebagai satu pasukan, (perlumbaan ini) berjalan dengan baik hari ini.

“Saya rasa kami berlumba pada masa sesuai dan sudah tentu kereta keselamatan mempunyai peranan yang (secara kebetulan) baik untuk kami... Saya gembira, ia sangat menyeronokkan. Anda perlukan perlumbaan seperti itu sekali-sekala.”

Kemenangan itu pastinya membuat pasukan Red Bull bertambah yakin, selepas ia berjaya dicabar oleh pasukan lain dalam litar lumba baru-baru ini.

Dalam tiga perlumbaan sebelum acara di Canada, Red Bull berjaya meraih satu kemenangan, sedang perlumbaan bagi gelaran pemandu dan pasukan menjadi bertambah sengit.

Namun, pasukan Red Bull berjaya kembali ke Eropah dengan memenangi kedua-dua gelaran tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg