Topik diikuti
Pergi ke BHkuVerstappen juarai perlumbaan pecut F1 Grand Prix S’pura selepas Russell terbabas
Pemandu Red Bull itu raih lapan mata maksimum di Litar Marina Bay yang terjejas akibat hujan
Verstappen juarai perlumbaan pecut F1 Grand Prix S’pura selepas Russell terbabas
Pemandu pasukan Red Bull, Max Verstappen, memenangi perlumbaan pecut di perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura Singapore Airlines pada 10 Oktober.
Beliau mendahului dua pemandu Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc, di Litar Marina Bay.
Memulakan perlumbaan di petak pertama dalam keadaan cuaca berjerebu dan hujan, Verstappen melintasi garisan penamat untuk meraih lapan mata maksimum dalam acara 20 pusingan itu.
Ini mengesahkan kemenangannya dalam perlumbaan pecut keenam dan terakhir bagi musim 2026.
Daripada lima perlumbaan pecut sebelum ini, pemandu Mercedes, George Russell, memenangi tiga daripadanya di China, Canada, dan Belanda.
Dua perlumbaan lain di Silverstone dan Miami masing-masing dimenangi oleh Kimi Antonelli dan Lando Norris.
Namun, Russell gagal mencatat kemenangan pecut keempat di Singapura.
Terdahulu, Russell mendahului perlumbaan dalam keadaan litar yang separuh kering dan separuh basah.
Beliau tersasar di selekoh terakhir pada penghujung pusingan pertama.
Beliau hilang kawalan kereta Mercedesnya, yang berpusing merentasi litar sebelum melanggar tembok penghadang.
Pemandu lain berjaya mengelak keretanya.
Beliau terbabas pada pusingan kedua selepas memotong Verstappen pada awal perlumbaan.
Hujan lebat menangguhkan permulaan perlumbaan selama lebih 30 minit, dengan semua pemandu memulakan sesi tersebut menggunakan tayar perantaraan.
Selepas kemalangan Russell, kereta keselamatan dikerahkan selama empat pusingan.
Dalam tempoh tersebut, Lance Stroll, Sergio Perez, Isack Hadjar, dan Franco Colapinto terkeluar daripada perlumbaan.
Valtteri Bottas, Gabriel Bortoleto, dan Alex Albon juga tidak menamatkan perlumbaan.
Kejadian itu berlaku selepas kereta Williams yang dipandu Albon melanggar bahagian belakang kereta Audi milik Bortoleto.
Lewis Hamilton meraih tempat kedua selepas aksi cemerlang dari petak keenam, manakala Charles Leclerc menduduki tempat ketiga.
Pada pusingan terakhir, perlanggaran antara dua pemandu McLaren berlaku apabila Lando Norris cuba memotong Oscar Piastri di Selekoh Lima.
Keadaan itu membolehkan rakan sepasukan Russell, Kimi Antonelli, naik ke tempat keempat.
Ini merupakan kali pertama Singapura menganjurkan format perlumbaan pecut sejak Grand Prix sulung diadakan pada 2008.