Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Verstappen muncul juara litar Italy

Ganggu penguasaan pasukan McLaren pada 7 September dalam perlumbaan terpantas sejarah sukan Grand Prix
Sep 8, 2025 | 3:19 PM
Formula Satu, Max Verstappen
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraikan kemenangannya di podium setelah menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Italy pada 7 September. - Foto REUTERS

MONZA (ITALY): Max Verstappen mengganggu penguasaan pasukan McLaren dengan mempamerkan pemanduan hebat untuk menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Italy pada 7 September dalam perlumbaan terpantas dalam sejarah sukan itu.

Menurut Reuters, perlumbaan di trek yang mendapat julukan ‘Temple of Speed’ itu mencatat masa 1 jam 13 min 24.325 saat dan pada kelajuan purata 250.706 kilometer sejam (km/h).

Verstappen, juara dunia bertahan daripada pasukan Red Bull, memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas dalam sejarah F1 semasa pusingan kelayakan pada 6 September.

Meskipun mempunyai peluang tipis untuk memenangi kejuaraan kelima berturut-turutnya sebagai pemandu, Verstappen berjaya mengatasi pasangan pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri.

Verstappen, yang mempunyai 230 mata setakat ini, berada 94 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Piastri, yang berada di tempat ketiga di Monza.

“Perlumbaan itu sangat menyeronokkan.

“Saya rasa kami masuk ke pit pada waktu yang tepat. Penggunaan tayar keras pada akhir perlumbaan membolehkan kami meningkatkan prestasi... Semua orang (pasukan) telah melaksanakan (strategi) yang hebat,” jelas Verstappen.

“Kemenangan di sini memang sangat manis,” tambahnya.

Piastri kini mendahului kedudukan pemandu dengan kelebihan 31 mata ke atas Norris, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Norris pada awalnya berada di belakang Piastri tetapi McLaren mengarahkan kededua pelumba mereka bertukar kedudukan selepas Norris, yang berada di hadapan sebelum perhentian pit, kehilangan masa akibat pengendalian yang kurang kemas.

“Saya sedar menentang Max selalu hebat, begitu juga dalam perlumbaan ini,” kata Norris dalam komennya.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, pemenang perlumbaan di Monza pada 2024 dan pemandu terakhir yang muncul juara dari petak pertama pada 2019, gagal mendapat tempat di podium untuk para penyokong pasukan dari Italy itu, yang membanjiri litar.

Beliau hanya mampu menduduki tempat keempat.

Rakan sepasukannya, Lewis Hamilton, mencuba sedaya-upaya untuk menduduki tempat keenam setelah dikenakan penalti yang menempatkannya di petak ke-10 pada permulaan perlumbaan.

Hamilton, juara pemandu tujuh kali, juga gagal memintas bekas rakan sepasukannya di Mercedes, George Russell, sekali gus menyaksikan keputusan yang kurang memberangsangkan dalam perlumbaan pertamanya di Monza sebagai pemandu Ferrari.

Perlumbaan di Monza bermula dengan Verstappen terpaksa membenarkan Norris memintasnya ke tempat pertama selepas permulaan yang kecoh, yang menyaksikan Verstappen dipersalahkan kerana memaksa Norris keluar dari trek.

Tetapi jaguh Red Bull itu mempamerkan pemanduan yang berani untuk memintas Norris semula di selekoh keempat untuk berada di hadapan sehingga akhir perlumbaan.

Strategi perlumbaan yang bijak serta perhentian pit yang cekap turut menjamin kemenangan Verstappen.

Ini hanya kemenangan ketiga Verstappen dalam musim yang didominasi kereta McLaren, yang telah memenangi 12 daripada 16 perlumbaan F1 setakat ini.

Namun, kemenangan kedua di Italy pada 2025 itu, setelah beliau muncul juara dalam GP Emilia-Romagna pada Mei, membolehkan Verstappen menikmati kemenangan yang manis. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg