PARIS: Pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen, mengekalkan kejuaraan badminton Olimpik di Paris, setelah beliau menewaskan juara dunia Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dalam final perseorangan lelaki pada 5 Ogos.
Axelsen meraikan kemenangannya dengan berlari mengelilingi gelanggang dan mengibarkan bendera Denmark di atas kepalanya. Penyokong di tempat duduk melaungkan, “Viktor! Viktor!”
Disokong oleh penyokong Denmark yang lantang bersuara di Arena Porte de La Chapelle, Axelsen menewaskan persaingannya di ranking kelapan 21-11, 21-11 dalam masa 52 minit.
“Saya berasa seperti saya bermain di negara sendiri. Begitu banyak warna merah dan putih, begitu ramai orang Denmark di sini menyokong saya. Sokongan ini amat bermakna.
“Saya amat gembira sekarang. Sejujurnya saya tidak tahu bagaimana saya ingin meraikan kemenangan apabila saya menang kerana saya terlalu fokus untuk menang.
“Saya sangat fokus untuk berasa tenang dan melakukan pukulan yang betul,” kata Axelsen, 30 tahun.
Pemain Denmark itu menjadi atlet lelaki pertama yang berjaya mengekalkan kejuaraan perseorangan lelaki Olimpik sejak legenda China, Lin Dan, yang menang pada 2008 dan 2012.
Mengulas tentang pencapaian Axelsen, Raja Denmark Frederik X berkata:
“Ini adalah pencapaian yang menakjubkan untuknya, kali kedua berturut-turut sebagai juara Olimpik.
“Ia sukar dipercayai. Cara beliau menguasai perlawanan, ini adalah sesuatu yang membanggakan kami di Denmark, bukan sahaja bagi pihak badminton di Denmark tetapi juga bagi seluruh negara.”
Pingat perak dirangkul Kunlavut adalah pingat Olimpik pertama Thailand dalam sukan badminton.
Pemain Malaysia Lee Zii Jia meraih gangsa selepas menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11.
Bagi perseorangan wanita pula, pemain Korea Selatan, An Se-young, meraih emas pada 5 Ogos untuk mengukuhkan statusnya sebagai pemain terbaik dunia.
Beliau, yang memegang ranking nombor satu dunia sejak setahun lalu, menewaskan pilihan keenam China, He Bingjiao, 21-13, 21-16 pada final.
An, 22 tahun, telah memenangi lapan kejuaraan dalam jelajah dunia badminton pada 2023.
Beliau juga menjadi juara perseorangan wanita Olimpik pertama Korea Selatan sejak Bang Soo-hyun pada 1996.
“Zaman keemasan saya belum tiba kerana saya masih muda. Saya masih akan dapat meraih lebih banyak pengalaman dan saya akan dapat bermain dengan lebih baik lagi,” ujarnya.
He, yang tewas dalam perlawanan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo pada 2021, mara ke final tahun ini apabila pesaingnya dari Sepanyol, Carolina Marin, terpaksa berundur daripada separuh akhir akibat kecederaan lutut.
Pemain China itu menaiki podium sambil memegang lencana pin yang diberikan kepadanya oleh persekutuan badminton Sepanyol.
He berkata beliau memikirkan Marin dan “berharap untuk membawa semangatnya ke final”.
“Saya kasihan kepadanya kerana beliau seorang atlet yang cemerlang. Saya mahu beliau memerhatikan saya dan saya harap beliau cepat sembuh,” kata He.
Pengunduran pemain Sepanyol itu bermakna Gregoria Tunjung dari Indonesia memenangi pingat gangsa.
China mengungguli pingat badminton untuk Sukan Olimpik ketujuh berturut-turut, memenangi emas dalam acara beregu wanita dan campuran. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg