PARIS: Pemain badminton Singapura, Yeo Jia Min, tewas dalam satu pertarungan sengit pada pusingan 16 pemain terakhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Hanya dua mata memisahkan Yeo dengan pemain nombor 10 dunia dari Jepun, Aya Ohori, dalam persaingan mendebarkan selama 62 minit itu.
Pemain nombor 20 dunia itu tewas 21-11, 14-21, 22-24 di Arena Porte de La Chapelle, sekali gus tersingkir daripada Paris 2024.
Dalam tiga pertemuan mereka sebelum ini, Yeo tidak pernah menang walaupun satu set.
Selepas kekalahan itu, Yeo menarik kolar baju hingga menutup wajahnya dan menangis teresak-esak semasa bertemu sekumpulan wartawan, lapor The Straits Times.
Selepas 55 minit yang penuh dengan rali menarik dan kesilapan oleh kedua-dua pemain, mereka akhirnya terikat dalam satu rali panjang 26 pukulan yang berakhir apabila pukulan Yeo tersasar, dan mereka serentak menjatuhkan diri.
Setelah persiapan selama tiga tahun, dan latihan serta menjalani simulasi senario ribuan jam, akhirnya perlawanan itu ditentukan oleh daya tahan dan stamina pemain.
“Saya sedih kerana saya tidak dapat meraih kemenangan untuk Singapura hari ini. Saya terlalu inginkan (kemenangan), dan kemudian saya tidak dapat mengawal emosi saya dan bertenang,” kata Yeo dengan rasa kecewa.
Beliau melalui Sukan Olimpik pertama yang berakhir dengan penyingkiran peringkat kumpulan di Tokyo pada 2020.
Namun, bagi Olimpik 2024, Yeo sebelum ini agak yakin boleh meraih pingat.
“Saya sentiasa turun ke gelanggang dan percaya bahawa saya boleh menang. Kali ini saya berada dalam keadaan lebih baik dan kecederaan saya tidak menghalang saya.
“Saya dapat bergerak seperti biasa, jadi saya tahu saya ada peluang untuk menang.
“Jika semuanya berjalan dengan baik, saya akan cuba lagi,” ujarnya.
Walaupun tersingkir, jurulatih perseorangan Singapura, Kelvin Ho, berasa Yeo telah mencapai kemajuan sejak beberapa tahun lalu.
“Dari segi gaya permainan, strategi, rentak dan variasi, beliau melakukan semua yang kami harapkan pada Olimpik ini.
“Jia Min pastinya sudah matang, namun beliau mungkin boleh memperbaiki cara beliau menangani situasi tegang dengan lebih baik,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg