LONDON: Aston Villa dinafikan kemenangan ke atas Juventus dalam Liga Juara-Juara kerana gol dijaringkan pemain tengah, Morgan Rogers, pada masa kecederaan tidak dikira.
Perlawanan antara kelab England dengan Italy itu seri 0-0 di stadium Villa Park pada 28 November.
Jaringan Rogers dibatalkan setelah video penolong pengadil (VAR) menganggap bek tengah Aston Villa, Diego Carlos, melakukan kekasaran terhadap penjaga gol Juventus, Michele di Gregorio.
Keputusan itu bermakna Villa kini gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Anak buah Unai Emery kali terakhir mencatatkan kemenangan pada 23 Oktober apabila mereka menewaskan kelab Italy, Bologna, 2-0.
Selepas itu, mereka seri 1-1 dengan Bournemouth; tewas 2-1 kepada Crystal Palace; tewas 4-1 kepada Tottenham Hotspur; tewas 1-0 kepada Club Brugge; tewas 2-0 kepada Liverpool; dan seri 2-2 dengan Crystal Palace.
Villa lebih menguasai peluang berbanding Juventus, tetapi gagal menjaringkan gol terhadap pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam Serie A.
Emery percaya bahawa gol Rogers yang tidak diambil kira akan dibenarkan dalam pertandingan domestik.
“Di England, tafsirannya berbeza.
“Apabila tindakan seperti itu (berlaku), tafsiran pengadil England adalah jelas bahawa tiada kekasaran berlaku, tetapi di Eropah tafsiran itu berbeza.
“Apabila tindakan itu berlaku, saya rasa ia kekasaran di Eropah. Di England, ia bukan,” katanya.
Emery menggantikan penyerang Ollie Watkins dengan Jhon Duran pada minit ke-78, dengan harapan pemain Colombia itu boleh membuat perubahan kepada perlawanan.
Duran telah menjaringkan gol dalam setiap dua penampilannya dalam Liga Juara-Juara di tempat sendiri untuk Villa musim ini, tetapi gagal memberi impak kali ini dari bangku simpanan.
Juventus mempunyai tujuh percubaan sepanjang perlawanan, tetapi hanya dua menemui sasaran.
Penjaga gol, Villa Emiliano Martinez, menyelamatkan rembatan daripada Francisco Conceicao pada minit ke-41, sebelum beliau berjaya menepis tandukan pemain sayap Portugal itu pada minit ke-64 untuk memastikan garis markah kekal 0-0.
Villa kini menduduki tangga kesembilan dalam Liga Juara-Juara dan berada di tangga ketujuh di Liga Perdana England (EPL).
Juventus pula menduduki tangga ke-19 dalam Liga Juara-Juara dan tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka di Eropah, serta berada di tangga keenam dalam Serie A.
Villa juga sedang bergelut untuk mengulangi prestasi cemerlang musim lalu, yang menyaksikan mereka menamatkan saingan EPL di tempat keempat dan layak ke Liga Juara-Juara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg