UNITED KINGDOM: Aston Villa bersetuju membeli penyerang Evann Guessand bernilai £26 juta ($44 juta), dengan £4.3 secara tambahan, daripada pasukan Perancis, Nice.
Penyerang Ivory Coast berusia 24 tahun itu menjaringkan 12 gol musim lalu dan telah dinamakan sebagai pemain terbaik bagi musim tersebut.
Nice mengakhiri saingan liga utama Perancis, Ligue 1, di tempat keempat.
Beliau dijangka menjalani pemeriksaan perubatan di Villa pada 6 Ogos.
Di bawah bimbingan pengurus Nice, Franck Haise, Guessand mempamerkan kemahiran serba bolehnya di barisan serangan.
Pengurus Perancis itu biasa gunakan beliau sebagai penyerang utama atau di sayap kanan, tetapi Guessand juga membuktikan beliau cukup tangkas bermain di sayap kiri ataupun sebagai penyerang kedua.
Guessand, yang juga merupakan antara sasaran bagi Crystal Palace, akan menjadi pembelian utama Villa bagi musim panas ini.
Dilaporkan bahawa Palace ingin membeli penyerang Nice tersebut sebagai pengganti kepada Eberechi Eze.
Terdapat laporan bahawa Eze merupakan antara pilihan pemain untuk Arsenal beli bagi musim ini.
Guessand menyertai skuad selepas Yasin Ozcan menyertai Villa dari pasukan Turkey, Kasimpasa, tetapi Ozcan dipinjamkan semula ke Anderlecht.
Selain itu, penjaga jawang gantian, Marco Bizot menyertai kelab tersebut daripada pasukan Perancis, Brest.
Villa sudah lama mencari penyerang utama sejak pemergian Jhon Duran ke pasukan Arab Saudi, Al-Nassr, pada Januari.
Pemergian Duran meninggalkan mereka dengan hanya Ollie Watkins sebagai satu-satunya penyerang berpengalaman.
Marcus Rashford menghabiskan separuh kedua musim di Villa secara pinjaman dan kini beliau telah menyertai Barcelona dari Manchester United secara pinjaman.
Guessand merupakan graduan akademi belia Nice dan telah membuat penampilan senior pertama pada 2020 sebagai pemain gantian kelab itu, ketika beliau berusia 19 tahun.
Beliau kemudian menyertai pasukan Switzerland, Lausanne-Sport secara pinjaman, untuk mendapat lebih masa beraksi dan kemudian menyertai pasukan Perancis, Nantes secara pinjaman untuk semusim juga.
Guessand mula mendapatkan lebih masa bermain untuk Nice bermula dari kempen 2023-24.
Beliau membuat penampilan pertama untuk Ivory Coast pada Jun 2024 dan sudah peroleh sembilan penampilan untuk negara.
Sebelum itu, beliau mewakili Perancis di peringkat belia tetapi memutuskan untuk bermain untuk Ivory Coast pada 2023.
Villa mengakhiri saingan Liga Perdana England (EPL) di tempat keenam musim lepas, sekali gus melayakkan mereka ke Liga Europa musim ini.
Mereka akan memulakan kempen EPL musim akan datang menentang Newcastle United di stadium sendiri pada 16 Ogos. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg