Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA KEMBOJA

'Wanita Singa' lebih yakin, lebih bersemangat

Pasukan bola sepak wanita Singapura kembali beraksi dalam Sukan SEA 2023 untuk dua edisi berturut-turut. Edisi lalu pada Mei 2022 adalah penampilan pertama mereka sejak 2003. Dirangsang oleh ketibaan jurulatih baru Karim Bencherifa, skuad Wanita Singa berkongsi persiapan mereka untuk mencatat lebih banyak kejayaan dalam temasya sukan itu. Kini bukan hanya berkubu tepis serangan tapi mampu serang balas
Apr 30, 2023 | 05:30 AM



SETAHUN selepas mencatat kemenangan bersejarah dalam penampilan Sukan SEA sulung mereka sejak 2003, pasukan wanita Singa kembali dengan keyakinan baru untuk mencipta lebih keajaiban.



Pada Mei 2022, penyerang Izzati Rosni menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat terakhir perlawanan untuk membantu Singapura meraih kemenangan pertama mereka sejak Sukan SEA 1985.



Singapura menang 1-0 ke atas Laos.



Kenangan indah itu - yang menyaksikan semua pemain berlari ke dalam padang dan berpeluk untuk meraikan kemenangan - masih lagi terbayang-bayang sehingga hari ini, kata Izzati, 23 tahun.



"Saya mengimpikan sambutan sebegitu dan apabila ia betul-betul berlaku, ia seperti impian menjadi nyata," kata pemain Lion City Sailors itu.



Dirangsang dengan kepimpinan jurulatih baru Karim Bencherifa, yang dilantik pada 1 Mac, Izzati menambah Singapura kini bukan pasukan yang hanya mempertahankan benteng tetapi juga mampu menyerang balas.



"Gaya permainan kami sekarang lebih seimbang. Jika dahulu, kami jarang ada peluang untuk mengatur serangan.



"Tetapi, di bawah jurulatih baru dan dalam beberapa perlawanan baru-baru ini, kami dapat menyerang walaupun ia memenatkan kerana perlu juga mempertahankan gawang… Inilah yang kami cuba perlahan-lahan bina dalam pasukan," tambah penjaring gol terbanyak Liga Perdana Wanita 2022 itu.



Dalam kelayakan Asia bagi Sukan Olimpik 2024 pada awal April, Singapura tewas 0-6 kepada Thailand, sebelum menyekat Mongolia 2-2.



Kapten Singapura, Ernie Sulastri, juga melihat perubahan dalam tahap intensiti latihan pasukan.



"Setiap latihan, kami harus memberikan usaha 110 peratus secara mental dan fizikal," kata pemain pertahanan Sailors itu.



"Tetapi, ia adalah amalan yang baik kerana jadual perlawanan antarabangsa seringkali padat. Jadi, badan anda akan rasa penat dan anda memerlukan kekuatan mental yang bagus untuk terus beraksi sebaik yang mungkin," tambah beliau.



Dua pemain pertahanan muda negara, Umairah Hamdan dan Khairunnisa Anwar, juga menyaksikan diri mereka menggalas peranan baru sejak kebelakangan ini.



Kedua-dua pemain Sailors itu telah dilatih dalam posisi 'midfield'.



Umairah, 21 tahun, berkongsi bahawa beliau tidak pernah diturunkan di bahagain 'midfield' dan kini giat menonton video aksi 'maestro' midfield Croatia dan Real Madrid, Luka Modric, sebagai rujukannya.



"Saya masih menyesuaikan diri dan akan cuba sebaik mungkin bagi posisi baru ini," ujarnya.



"Pelan permainan sebagai pemain pertahanan dan midfield adalah berbeza. Jadi, saya ada bertanya pada rakan sepasukan untuk mendapatkan nasihat.



"Modric juga ialah pemain 'midfield' yang handal. Saya banyak menonton video mengenainya."



Bagi Khairunnisa, 20 tahun, pula, beliau meraih inspirasi daripada pemain midfield Perancis dan Chelsea, N'golo Kante.



"Saiz tubuh Kante kecil bagi seorang pemain 'midfield', sama seperti saya," ujar beliau yang ada sedikit pengalaman dalam 'midfield' semasa beraksi di kelabnya.



Walaupun posisi baru ini datang tanpa diduga, Khairunnisa terbuka hati untuk mencubanya.



"Tetapi, untuk bermain posisi midfield dalam pasukan nasional lebih mencabar berbanding dalam liga setempat... Mempelajari posisi baru dapat membentuk pengalaman saya dan menjadi pemain yang serba boleh," katanya lagi.



Singapura akan membuka kempen Sukan SEA 2023 mereka menentang Thailand pada 3 Mei, sebelum berdepan pasukan tuan rumah Kemboja pada 6 Mei dan Laos tiga hari kemudian.



Kali terakhir Singapura berjaya meraih pingat Sukan SEA adalah perak pada 1985, yang mana edisi itu disertai tiga pasukan.



Pemain 'midfield' Tampines Rovers, Farhanah Ruhaizat, 25 tahun, menambah: "Sekarang, kami tahu apa untuk dijangka di Sukan SEA... Dan tahu kami berpeluang memberi saingan sengit kepada pasukan lawan kali ini, kami bersedia untuk menang perlawanan."




KENALI PEMAIN WANITA SINGA



ERNIE SULASTRI

usia: 34 tahun



Kapten dan pemain pertahanan.



Kelab: Lion City Sailors



Penampilan untuk negara: 56



Rutin sebelum permainan: Kopi itu mesti.



Prinsip hidup: Berani bermimpi dan percaya pada diri sendiri.



FARHANAH RUHAIZAT

usia: 24 tahun



Pemain ‘midfield’



Kelab: Tampines Rovers



Penampilan untuk negara: 32



Rutin sebelum bertanding: Saya bermain permainan video Fifa dan mendengar lagu reggae.



Prinsip hidup: Setiap hari anda akan belajar sesuatu. Jadi, sentiasa bersikap terbuka. Dan juga tahu bahawa impian anda tiada batasan. Capai sebanyak impian yang anda boleh.



IZZATI ROSNI

usia: 23 tahun



Penyerang



Kelab: Lion City Sailors



Penampilan untuk negara: 27



Rutin sebelum bertanding: Saya akan berbasikal di gimnasium dan meregangkan otot. Saya juga akan mendengar beberapa lagu Sepanyol.



Prinsip hidup: Tidak mengapa untuk bermimpi besar. Apabila ada bermimpi besar, atau mempunyai matlamat dalam hidup, tanpa anda menyedarinya, anda secara automatik akan berusaha gigih untuk mencapainya.



UMAIRAH HAMDAN

usia: 21 tahun



Pemain pertahanan/ ‘midfield’



Kelab: Lion City Sailors



Penampilan untuk negara: 23



Rutin sebelum bertanding: Malam sebelumnya, saya akan melapangkan hari saya dan meregangkan otot. Saya juga mendengar lagu Latin, antaranya ‘Pepas’ nyanyian Farruko.



Prinsip hidup: Merebut setiap peluang, sentias bersyukur dan bersikap rendah diri.



KHAIRUNNISA ANWAR

usia: 20 tahun



Pemain pertahanan/ ‘midfield’



Kelab: Lion City Sailors



Penampilan untuk negara: 6



Rutin sebelum bertanding: Saya mendengar lagu rancak dan kemudian lagu sedih. Sebelum masuk ke padang, saya akan membaca doa.



Prinsip hidup: Menerima setiap peluang yang datang




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >