Tanpa diduga, cadangan untuk mengadakan persembahan tarian di sebuah acara sekolah 16 tahun lalu telah mencetuskan minat mendalam Aaron Tan terhadap tarian.

Mendapat inspirasi daripada kumpulan K-pop popular, Super Junior, Tan dan rakannya mempersembahkan rutin tarian jalanan (street dance) yang menjadi titik permulaan penglibatannya dalam seni persembahan ini.

Sejak itu, beliau mula mengambil kelas tarian dan menonton video di YouTube untuk memperbaiki persembahannya. 

Selama ini, Tan tidak pernah membayangkan hobi tersebut bakal membawanya ke pentas dunia.

Pengurus kekayaan kewangan berusia 31 tahun itu akan mewakili Singapura ke Final Dunia ‘Red Bull Dance Your Style’ pada Oktober ini, selepas menjuarai pusingan kelayakan serantau di Singapura pada 25 April.

Mengulas tentang perjalanan beliau dalam arena tarian, Tan berkata: 

“Saya sering teringat saat mula menari dahulu; ia bukanlah sesuatu yang lazim di Singapura di mana anda diterbangkan ke luar negara dengan segala kos penerbangan dan penginapan ditanggung sepenuhnya.

“Jika anda tanya saya bertahun-tahun dahulu sama ada perkara ini mungkin terjadi, saya tidak akan terfikir yang saya mampu mencapainya.”

Di *Scape The Ground Theatre, Tan – yang sebelum ini memenangi pusingan kelayakan kebangsaan pada 18 April bersama rakan penari Jason Chong – berjaya muncul sebagai penari terbaik, menewaskan lebih 200 peserta dari seluruh Asia Tenggara.

Pada pusingan akhir, Tan menewaskan penari Vietnam, Nguyen Tuan Bao yang lebih dikenali sebagai Mikey B, di depan 1,000 penonton yang mengundi bagi penari kegemaran mereka menggunakan gelang cahaya berwarna merah dan biru.

Kejayaan ini sekali gus mengesahkan tempatnya ke Final Dunia di Zurich, Switzerland. 

Tan sebelum ini pernah bertanding dalam acara sama pada 2025, namun tersingkir di pusingan lapan terakhir.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, Tan mengakui beliau pernah meletakkan tekanan terlalu tinggi pada dirinya untuk menang. 

Namun kali ini, beliau tampil ke pertandingan dengan pendekatan berbeza, iaitu dengan kekal setia kepada gaya tariannya sendiri.

“Saya datang dengan fikiran untuk jadi diri sendiri, kerana pada akhirnya tiada siapa yang boleh membawakan gaya saya lebih baik daripada saya sendiri,” kata Tan. 

Beliau menyifatkan gaya tarian popping sebagai identiti utamanya, meskipun turut menggabungkan elemen hip-hop, locking dan b-boy ke dalam persembahannya.

“Terdapat begitu ramai penari dan pelbagai gaya untuk dipilih oleh juri. Jadi, saya fikir lebih baik saya tunjukkan gaya sendiri tanpa menghiraukan apa yang orang lain fikir atau sama ada saya akan berjaya atau tidak. Itu banyak membantu mengurangkan tekanan,” kongsinya.

Pendekatan yang diambil Tan terhadap pertandingan juga telah banyak berubah sejak beliau mula bertanding sekitar 12 tahun lalu. 

Jika dahulu beliau hanya beri tumpuan untuk menang demi mencipta peluang untuk bertanding ke luar negara seperti Taiwan, Malaysia, dan Indonesia, kini tumpuannya telah beralih untuk menjadi versi terbaik dirinya.

Perubahan ini ternyata membuahkan hasil.

“Dalam acara Red Bull tahun lepas (2025), saya terlalu mengejar kemenangan sehingga ia memakan diri – saya letakkan terlalu banyak tekanan sehingga membataskan (keupayaan) saya untuk menari mengikut gaya yang saya nikmati dan ingin tonjolkan.”

“Saya berjanji pada diri sendiri, selepas ini dalam mana-mana pertandingan, saya akan buat yang terbaik. Walaupun kalah, sekurang-kurangnya saya buat apa yang saya suka, bukannya melakukan sesuatu yang dipaksa atau tidak selesa,” katanya lagi.

Sejak kemenangannya, Tan menerima sokongan luar biasa, termasuk ucapan tahniah daripada rakan mahupun orang tidak dikenali yang mula mengikutinya di media sosial.

Melangkah ke hadapan, Tan berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan masyarakat tarian di Singapura.

“Ia lebih kepada usaha untuk membantu masyarakat – selepas sekian lama, anda akan faham bagaimana ia berfungsi dan adalah penting untuk menurunkan ilmu kepada generasi seterusnya.

“Begitulah cara penari baru dan setiap masyarakat di mana-mana negara bertambah baik – iaitu apabila anda melahirkan penari yang mampu mencari jalan untuk menyerlah,” rumusnya.