Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wayne Rooney dilantik sebagai pengurus baru Birmingham City

Oct 12, 2023 | 3:00 PM
TUGAS BARU: Ini merupakan tugas ketiga bekas penyerang Everton dan Manchester United, Wayne Rooney sebagai seorang pengurus, dan beliau berhasrat memupuk budaya menang di Birmingham City.
TUGAS BARU: Ini merupakan tugas ketiga bekas penyerang Everton dan Manchester United, Wayne Rooney sebagai seorang pengurus, dan beliau berhasrat memupuk budaya menang di Birmingham City. - Foto AFP

BIRMINGHAM: Birmingham City telah melantik Wayne Rooney sebagai pengurus baharu mereka.

Bekas kapten England berusia 37 tahun itu telah menyertai kelab Liga Kejohanan England dengan tempoh perjanjian tiga setengah tahun.

Rooney, bekas penyerang Everton dan Manchester United, menggantikan bekas ketua jurulatih Birmingham City, John Eustace, yang dipecat pada 16 Oktober selepas 15 bulan di kelab tersebut.

Pelantikan Rooney itu merupakan perubahan pengurus pertama yang dibuat oleh pemilik baharu Birmingham City dari Amerika, Shelby Companies Limited, sejak mereka mengambil alih pada Julai.

Rooney akan disokong bekas rakan sepasukannya dan penolong jurulatih pasukan England bawah umur 21, Ashley Cole, dan rakan sepasukan lamanya di Manchester United, John O’Shea, yang juga merupakan penolong jurulatih pasukan kebangsaan Republik Ireland.

Carl Robinson dan Pete Shuttleworth juga akan menjadi sebahagian daripada kakitangan Rooney selepas kedua-duanya membantunya di DC United, sebuah kelab bola sepak liga utama.

Ini merupakan tugas ketiga Rooney sebagai pengurus selepas mengendali DC United dan Derby County.

Perlawanan pertamanya akan berlangsung di Middlesbrough pada 21 Oktober.

“Wayne merupakan pemenang semula jadi,” kata pemilik bersama Birmingham City, Tom Wagner.

“Kami percaya, dengan sokongan kakitangan jurulatihnya, kelab dan penyokong kami, beliau akan memajukan Birmingham City kepada peringkat seterusnya dalam perjalanan kami,” tambah beliau.

Rooney berkata jangkaan kelab dan dirinya adalah selari dan menambah bahawa persekitaran yang mencabar telah membuatkan beliau bersiap sedia untuk tugas itu.

“Saya ada cara yang jelas yang saya mahukan pada pasukan. Saya dan kakitangan jurulatih saya akan bekerja keras untuk melaksanakannya.

“Kami akan mewujudkan budaya menang di sini, dengan identiti yang akan membuat peminat Birmingham City teruja,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg