Melekat di dinding bilik tidur Jared Gallagher ialah sekeping nota tulisan tangan dari awal 2025 yang menyenaraikan tiga matlamat: kembali ke pasukan nasional, mengingatkan semua orang beliau ialah pemain nombor enam, dan mengekalkan purata nilai gred (GPA) 4.0 daripada 5 dalam pengajian ijazahnya.
Menjelang akhir 2025, ketiga-tiga matlamat itu tercapai. Namun, pemain berusia 23 tahun itu masih belum berpuas hati.
Walaupun beliau dipanggil oleh Lions pada September 2025 bagi perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar, Gallagher masih belum meraih penampilan sulung bersama pasukan nasional.
Menghadapi 2026 dengan sasaran bermain untuk negara buat kali pertama, Gallagher kini bersedia melangkah keluar daripada zon selesa.
Pemain tengah itu, yang membuat sembilan penampilan bersama Albirex Niigata dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini, telah menandatangani kontrak sehingga akhir musim bersama kelab Liga Thailand 1, Nakhon Ratchasima FC, yang berpangkalan di timur laut Thailand.
Ia merupakan pengalaman profesional pertamanya di luar negara, dan beliau menjadi pemain Singapura kedua di kelab tersebut selepas bekas rakan sepasukan bawah 23 tahun, Bill Mamadou.
Gallagher sebelum ini berada dalam skuad 26 pemain Singapura bagi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong pada November lalu, yang dimenangi Lions 2-1 untuk layak ke kejohanan utama Asia buat kali pertama.
Namun, beliau tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain pada hari perlawanan.
“Ia pencapaian besar buat Singapura, namun saya kecewa kerana tidak beraksi,” katanya kepada The Straits Times (ST).
“Ini mendorong saya membuktikan kemampuan saya.”
Melihat rakan-rakan rapatnya berhijrah ke luar negara dan berkembang sebagai pemain turut menjadi pendorong buat Gallagher untuk turut mengambil risiko sama.
“Mencabar diri di luar zon selesa membantu saya berkembang,” katanya sambil berharap ia dapat membantunya untuk mewakili pasukan nasional.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Albirex kerana membenarkannya pergi walaupun masih terikat kontrak, sambil menjelaskan minat Nakhon Ratchasima dimaklumkan kepadanya pada Disember, sejurus selepas menamatkan pengajian ijazah sains sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Gallagher menyertai pasukan yang sedang bergelut mengelak penyingkiran, berada di tangga terbawah liga 16 pasukan dan ketinggalan enam mata daripada zon selamat.
Namun, Gallagher optimis dapat menyumbang dan melihat tekanan mengelak penyingkiran sebagai pemangkin prestasi terbaiknya.
Namun, beliau melihat tekanan itu sebagai peluang.
“Saya mahu buktikan saya boleh beraksi di tahap lebih tinggi, menyumbang kepada pasukan dan terus berkembang,” katanya.
Gallagher menjadi pemain Singapura kesembilan beraksi dalam Liga Thai musim ini, menyertai Harhys Stewart (Uthai Thani), Irfan Fandi (Port FC), Ilhan Fandi (Buriram United), serta Ryhan Stewart dan M. Anumanthan (Kanchanaburi Power).
Kyoga Nakamura kini menyertai Lion City Sailors selepas beraksi bersama Bangkok United.
Ketua jurulatih kebangsaan, Gavin Lee, memuji langkah itu, sambil menegaskan keluar daripada zon selesa membuka ruang peningkatan buat pasukan kebangsaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg