Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piala Dunia Kelab: Paris St Germain mara ke peringkat akhir selepas belasah Real Madrid

Jul 10, 2025 | 4:30 PM
Piala Dunia Kelab, Fabian Ruiz, PSG, Real Madrid
Pemain PSG, Fabian Ruiz (depan), meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga pasukannya, Beliau bersama pemain pertahanan dari Maghribi, Achraf Hakimi, semasa perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab pada 9 Julai - Foto AFP

EAST RUTHERFORD (Amerika Syarikat): Jurulatih Paris St Germain (PSG), Luis Enrique, menikmati kejayaan besar pasukannya setelah membelasah pasukan Real Madrid pada 9 Julai untuk mara ke pusingan terakhir Piala Dunia Kelab.

Beliau malahan menggalak pasukannya menambah prestasi cemerlang dengan menjulang satu lagi piala sebelum menutup musim bersejarah.

Dua jaringan gol oleh pemain, Fabian Ruiz, serta satu lagi jaringan oleh Ousmane Dembele, di samping gol yang disumbangkan lewat dalam permainan oleh pemain gantian, Goncalo Ramos, memberi PSG kemenangan manis 4-0 di peringkat separuh akhir menentang kelab dari Sepanyol itu, yang baru sahaja diambil alih oleh jurulatih baru, Xabi Alonso.

“Kemenangan ini sangat indah dan kami besar hati dapat mara ke pusingan akhir,” kata Enrique.

PSG menyertai Piala Dunia Kelab setelah memenangi liga domestik (Ligue 1) dan Piala Perancis.

PSG juga membelasah teruk Inter Milan 5-0 untuk membawa pulang Liga Juara-Juara yang pertama dalam sejarah PSG pada Jun.

PSG dianggap meraih kejayaan besar jika memenangi setiap persaingan yang disertai pada musim ini, seandainya ia berjaya menumpaskan Chelsea di pusingan akhir, pada 14 Julai, di Stadium MetLife di New Jersey.

“Itulah matlamat kami sejak awal walaupun ia sukar dicapai – hanya segilintir pasukan mampu melakukan apa yang kami cuba capai.

“Kami hanya ada satu perlawanan lagi untuk menguasai setiap perlawanan yang disertai dan mencipta sejarah untuk kelab ini dan Paris. Itu kelak menjadi pencapaian yang bermakna untuk kami dan para penyokong,” tambah Enrique.

Pada 2025, PSG bertindak seperti jentera cekap baru-baru ini di bawah bimbingan Enrique, manakala Alonso yang baru saja mengambil alih Real Madrid sebelum persaingan ini bermula di Amerika Syarikat, bergelut dengan bermacam ketidaktentuan.

“Beliau (Alonso) baru saja mengendalikan pasukannya, manakala saya sudah bekerjasama dengan pasukan saya selama dua tahun. Beliau perlukan masa dan tidak sepatutnya dinilai sebegitu saja. Kami berdua dalam situasi yang berbeza dan tidak patut dibandingkan,” kata Enrique yang dilantik sebagai jurulatih PSG pada Julai 2023.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol itu berkata pemain kelabnya, Dembele, telah membuktikan bakat untuk menjadi calon yang serius dipertimbangkan buat Kejohanan Ballon d’Or – anugerah bagi pemain bola sepak terbaik di dunia – setelah memainkan peranan penting dalam kejayaan PSG selama musim ini.

Dembele cedera pada Jun lalu sewaktu bermain dalam perlawanan negara untuk Perancis dan baru saja kembali untuk PSG bagi perlawanan ini.

Bagaimanapun, beliau berjaya menjaringkan gol penting untuk mengecewakan Real Madrid.

Ini adalah gol ke-35 beliau untuk PSG dalam 52 perlawanan yang dipertandingkan sejak Ogos 2024.

“Bagi Kejohanan Ballon d’Or, saya rasa para pemain tidak boleh menjaringkan gol sahaja tetapi perlu bantu pasukan masing-masing menang piala.

“Ousmane Dembele berjaya melakukannya lebih baik daripada pemain lain,” kata Enrique.

Pemain bola Perancis, Ousmane Dembele, berjaya menyumbat satu gol untuk PSG untuk menentang Real Madrid 4-0 pada 9 Julai di Piala Dunia Kelab. Beliau, yang berusia 28 tahun, kini berjaya menjaringkan sebanyak 35 gol dalam 52 perlawanan dalam semua persaingan sejak Ogos lalu.
Pemain bola Perancis, Ousmane Dembele, berjaya menyumbat satu gol untuk PSG untuk menentang Real Madrid 4-0 pada 9 Julai di Piala Dunia Kelab. Beliau, yang berusia 28 tahun, kini berjaya menjaringkan sebanyak 35 gol dalam 52 perlawanan dalam semua persaingan sejak Ogos lalu. - Foto REUTERS

Real Madrid pula perlu pulang ke pangkal jalan buat permulaan musim baru, setelah Alonso berkata perubahan taktik beliau gagal membuahkan hasil.

Taktik asal merangkumi lima pemain pertahanan sebenarnya efektif pada awal Piala Dunia Kelab. Namun, Alonso terpaksa menggunakan empat pemain pertahanan akibat Dean Huijsen digantung dan Trent alexander-Arnold yang cedera.

Perubahan taktikal ini menyaksikan bintang kejohanan Gonzola Garcia memulakan perlawanan bersama penyerang utama Kylian Mbappe, yang akhirnya kembali cergas. Mbappe terlepas sebahagian besar Piala Dunia Kelab kerana kurang sihat. Namun, usaha ini tidak berhasil.

PSG dengan segera memanfaatkan kelemahan taktik Real Madrid, dengan menjaringkan dua gol secara awal dalam sembilan minit.

“Kami ketinggalan dua gol dan gagal mencari rentak.

“Ia merupakan kekalahan yang pahit dan kami mengakui tahap permainan kami sangat lemah kali ini,” kata Alonso.

Alonso menambah: “Kami menghadapi beberapa halangan tetapi bagus untuk lihat kembali kesalahan kami dan untuk masa depan. Setelah rehat, kami mulakan era baru dengan fikiran segar.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg