LONDON: Kelab Liga Perdana England West Ham didenda £30,000 (sekitar $62,000) kerana gagal mengawal pemainnya dalam perlawanan dengan Southampton awal bulan ini.
Persatuan Bola Sepak (FA) England berkata , denda itu dikenakan kerana West Ham gagal mengawal pemainnya dalam perlawanan pada 11 Februari yang berakhir dengan keputusan seri itu.
Pemain West Ham mengerumuni pengadil selepas beliau melayangkan kad merah kepada penjaga gawang Adrian kerana kesalahan menyentuh bola dengan tangan di luar kawasan penalti.
Kad merah yang diiringi penggantungan satu perlawanan itu ditarik balik FA selepas mendengar rayuan kelab.
Namun FA kini menuduh West Ham gagal memastikan pemainnya berkelakuan tenang dan mengikut undang-undang semasa perlawanan.
"Berdasarkan siasatan Suruhanjaya Kawal Selia Bebas (IRC), West Ham United telah didenda £30,000 selepas kelab itu mengaku bersalah atas tuduhan FA..." kata FA dalam satu kenyataan di laman web thefa.com.
West Ham berada di tempat kelapan dalam liga dan bertemu seteru London Tottenham Hotspur Ahad (22 Februari). - AFP, Reuters