Topic followed successfully
Go to BHkuWest Ham semakin hampir tersingkir daripada EPL
West Ham semakin hampir tersingkir daripada EPL
West Ham kekal dalam zon penyingkiran selepas tewas 0-1 kepada Arsenal
West Ham semakin hampir tersingkir daripada EPL
LONDON: Apabila isu mengenai gol West Ham United yang dibatalkan secara kontroversial ketika menentang Arsenal mula reda, hakikat pahit yang perlu diterima adalah mereka kini berkemungkinan besar akan tersingkir daripada Liga Perdana England (EPL).
Pakar data Opta memberikan West Ham hanya 12 peratus peluang untuk kekal dalam liga tersebut..
Kelab yang dikenali sebagai The Hammers menyangka mereka berjaya mengakhiri perlawanan dengan seri 1-1 di Stadium London pada 10 Mei, selepas Callum Wilson menjaringkan gol pada masa kecederaan.
Namun, selepas Video Pembantu Pengadil (VAR) disemak, gol tersebut dibatalkan kerana Pablo didapati mengasari penjaga gol Arsenal, David Raya.
Keputusan tersebut membangkitkan kemarahan West Ham kerana ini bermakna jaringan pemain tengah Arsenal, Leandro Trossard, pada minit ke-83 kekal sebagai gol kemenangan perlawanan.
Selain merapatkan jurang Arsenal untuk menjulang trofi EPL, skuad kendalian Mikel Arteta itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada musuh lama mereka, Tottenham Hotspur.
Spurs kini berpeluang mendahului dengan perbezaan empat mata, dengan baki dua perlawanan lagi, apabila mereka menentang Leeds United pada 11 Mei di padang sendiri.
Leeds kini boleh menarik nafas lega kerana buat masa ini, kelab mereka serta Nottingham Forest, selamat daripada penyingkiran.
“Ia akan menjadi sukar,” kata pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo, yang sebelum ini merupakan pengurus Forest.
“Ia bukan lagi dalam tangan kami. “Kami telah berjuang dan akan terus berjuang. Ini adalah tanggungjawab kami.
“Kami mewakili sebuah kelab besar dan menjadi kewajipan kami untuk memberi sebaik mungkin dalam dua perlawanan terakhir ini.”
Kali terakhir West Ham beraksi di luar liga utama adalah pada musim 2011-12.
Kini, West Ham berdepan kemungkinan tersingkir secara rasmi pada 17 Mei, dengan baki seminggu sebelum musim EPL berakhir.
Senario itu akan berlaku sekiranya Spurs menewaskan Leeds pada 11 Mei dan The Hammers tewas di tangan Newcastle United pada 17 Mei.
Spurs, yang kini mendahului West Ham dengan kelebihan satu mata, akan mengesahkan keselamatan mereka daripada penyingkiran jika berjaya memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir.
Selepas menentang Leeds, mereka akan berkunjung ke padang lawan menentang Chelsea, sebelum menamatkan musim menentang Everton di padang sendiri.
West Ham, yang bakal menentang Leeds di Stadium London pada hari terakhir liga, perlu memungut sekurang-kurangnya dua mata lebih daripada Spurs memandangkan mereka memiliki perbezaan gol jauh lebih rendah.
Sementara itu, penyingkiran Wolves dan Burnley daripada EPL telah pun disahkan.
“Kami bermain dengan baik,” kata Nuno selepas kekalahan kepada Arsenal.
“Kekuatan karakter pemain dan sokongan padu penyokong di stadium cukup luar biasa.
“Kami sedar situasi semasa kami dan para pemain telah memberikan tentangan hebat.
“Inilah yang akan kami cuba lakukan sehingga minit terakhir musim ini.
“Berbaki dua perlawanan, tugas kami adalah untuk bangkit melawan dan sedar bahawa apa jua kemungkinan masih boleh berlaku.”
Buat masa ini, West Ham telah mengumpul 36 mata dengan baki dua perlawanan, dan sekiranya mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan tersebut, jumlah mata itu akan menjadi pungutan mata tertinggi bagi pasukan yang tersingkir dalam tempoh sedekad.
Newcastle pernah tersingkir dengan 37 mata pada musim 2015-16.
Namun, dalam dua musim sebelum ini, tiada pasukan yang tersingkir berjaya mengutip 30 mata atau lebih.
Malah, dua tahun lalu, pada 2024, Forest berjaya kekal dalam EPL dengan hanya 32 mata.
Sejak EPL diperkenalkan dengan format 20 pasukan pada musim 1995-1996, secara purata, 36 mata sudah mencukupi untuk mengesahkan keselamatan sesebuah pasukan.
Malangnya bagi Nuno dan West Ham, pasukan di atas mereka mula mengutip mata pada fasa paling kritikal musim ini.
Prestasi West Ham sendiri sebenarnya tidaklah begitu teruk, mereka berada di kedudukan ke-11 dalam carta prestasi berdasarkan enam perlawanan terakhir.
Namun, Forest yang belum tewas dalam lapan perlawanan kini menerajui carta tersebut, manakala Leeds pula berada di tangga kelima meskipun hanya bermain lima perlawanan dalam tempoh tersebut.
Mereka juga mencatatkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.
Kapten The Hammers, Jarrod Bowen berkata: “Ia akan menjadi sukar.
“Kami tidak pernah berputus asa di kelab ini.
“Kami mempunyai dua perlawanan lagi.
“Kami telah melakukan banyak perkara baik pada 10 Mei. Kami mesti menang.” – Agensi berita.
