LONDON: Pengurus West Ham United, Nuno Espirito Santo, begitu teruja ketika wisel penamat dibunyikan – tanda kemenangan Liga Perdana England (EPL) pertamanya sebagai pengurus kelab itu.
Beliau menyifatkan kemenangan ke atas Newcastle United pada 2 November itu begitu mengagumkan.
Dalam perlawanan tersebut, West Ham kelihatan bakal berdepan satu lagi petang yang mengecewakan apabila mereka bolos awal, namun bangkit semula dengan penuh semangat untuk meraih kemenangan 3-1.
Kemenangan tersebut adalah yang pertama di tempat sendiri dalam liga sejak Februari – membuatkan jurulatih Portugal itu, yang dilantik pada akhir September, berasa lega dan gembira.
“Para pemain menyedari setelah menang dalam Liga Perdana, kami perlu bekerja keras. Kami akan melakukannya sekali lagi,” kata bekas pengurus Nottingham Forest itu kepada BBC.
“Kami melihat sedikit peningkatan di padang.
“Ia sangat bermakna bagi kami sebagai sebuah kelab dan peminat kami.
“Kami dapat memberi para peminat kegembiraan. Sungguh hebat mendengar bunyi bising di Stadium London,” tambahnya.
West Ham mendapat bantuan daripada prestasi lemah Newcastle, yang masih belum menang di tempat sendiri musim ini dan hanya memberikan sedikit kejutan ketika menentang pasukan di tangga tiga terbawah liga.
Jurulatih Newcastle, Eddie Howe, berkata:
“Saya tidak dapat mempertahankan prestasi, ia sangat mengecewakan.
“Saya sangka kami mampu mengawal permainan, tetapi saya kecewa. Kami membenarkan West Ham mencipta peluang hasil beberapa kesilapan.
“Saya perlu menilai kekalahan ini. Kami tidak menunjukkan prestasi terbaik dan ini merupakan satu persembahan yang lemah, namun ia sudah berlaku.”
“Ia meninggalkan kami dengan jurang untuk dirapatkan, dan satu-satunya cara adalah melalui konsistensi – sesuatu yang kami gagal capai musim ini,” tambahnya dengan nada kecewa.
Nuno berasa amat lega dengan kemenangan pasukan yang dipimpinnya itu.
Nottingham Forest memecat Nuno pada 9 September, menjadikan beliau pengurus EPL pertama musim ini yang kehilangan jawatan.
“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Nuno atas sumbangannya sepanjang era yang sangat berjaya ini,” kata satu kenyataan kelab tersebut, yang dikeluarkan selepas tengah malam 9 September.
Nuno telah memimpin Forest selama 21 bulan di City Ground.
Namun dua minggu sebelum dipecat, beliau berkata hubungannya dengan pemilik kelab, jutawan Greece, Evangelos Marinakis, sudah retak. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg