LONDON: Musim ini memang cukup menguji kesabaran penyokong Tottenham Hotspur.

Namun selepas menyaksikan pasukan mereka dibolosi gol penyamaan pada saat-saat akhir ketika menentang Brighton di stadium sendiri, sekurang-kurangnya mereka boleh menarik nafas lega apabila West Ham gagal memanfaatkan peluang sepenuhnya ketika beraksi menentang Crystal Palace.

Keputusan seri West Ham di padang Selhurst Park bermakna kedudukan tidak banyak berubah – Spurs masih ketinggalan dua mata daripada zon selamat dalam usaha mengelak penyingkiran pertama daripada liga utama sejak 1977.

Keputusan seri 0-0 pula mengesahkan penyingkiran Wolves daripada Liga Perdana England (EPL).

“Saingan ini akan berlanjutan hingga ke penghujung, bukan sahaja di kelompok bawahan tetapi juga di puncak,” kata pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo, selepas perlawanan.

“Musim ini sangat sengit. Kami bukan sekadar mengutip mata, kami berdepan setiap perlawanan dengan misi tersendiri dan akan terus berjuang.”

Leeds United dan Nottingham Forest muncul sebagai dua pemenang terbesar dalam pusingan perlawanan terkini selepas masing-masing mencatat kemenangan di stadium sendiri, sekali gus melebarkan jurang masing-masing kepada lapan dan lima mata dari zon penyingkiran.

Bagi pengurus Leeds, Daniel Farke, kelebihan itu mungkin sudah mencukupi, dan mereka pastinya berharap tidak lagi terheret dalam perbincangan mengenai penyingkiran.

Namun dengan Wolves tersingkir dan Burnley pula dijangka menyusul, empat lagi pasukan masih perlu bertarung untuk beberapa minggu mendatang.

Pengurus Spurs, Roberto De Zerbi, kekal optimistik selepas keputusan seri menentang Brighton, malah percaya pasukannya mampu “memenangi lima perlawanan berturut-turut” untuk menamatkan musim ini.

Namun keyakinan itu tidak selari dengan prestasi semasa.

Spurs kini tanpa kemenangan dalam 15 perlawanan EPL terakhir, dan ini bermakna mereka masih belum menang dalam EPL sepanjang 2026 dan hanya mencatat dua kemenangan sejak 26 Oktober 2025.

Mereka perlu menewaskan Wolves yang berada di tangga terbawah untuk mengelakkan menyamai rekod terburuk kelab tanpa kemenangan dalam EPL – yang berlaku kira-kira 91 tahun lalu antara 1934/1935.

Sebaliknya, prestasi pencabar lain dalam perebutan mengelak penyingkiran semakin meningkat.

Leeds mencatat dua kemenangan berturut-turut dan kini hampir selamat, Forest meraih dua kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir serta tidak tewas dalam lima aksi, manakala West Ham pula menang dua daripada lima perlawanan terkini.

West Ham mengutip 19 mata daripada 12 perlawanan terakhir; Forest 18 mata daripada 13 perlawanan, dan Leeds juga 18 mata daripada 14 perlawanan.

Sejak menewaskan Palace pada 28 Disember, Spurs hanya mengumpul enam mata daripada 15 perlawanan.

Dengan baki lima perlawanan, Spurs mungkin lihat jadual mereka sebagai peluang terbaik untuk kekal di EPL.

Mereka akan ke Wolves, yang sudah pun tersingkir.

Perlawanan di laman sendiri menentang Leeds pada 11 Mei juga boleh dianggap peluang baik, terutamanya jika Leeds sudah memastikan keselamatan mereka lebih awal.

Perlawanan sukar di tempat lawan menentang Aston Villa pada 3 Mei pula mungkin hadir pada waktu yang sesuai, kerana ia berlangsung di antara dua aksi separuh akhir Liga Europa bagi pasukan kendalian Unai Emery.

Namun penutup musim tidak mudah, perlawanan menentang Chelsea diikuti perlawanan menentang Everton pada hari terakhir, dengan kededua pasukan dijangka masih memburu tempat ke pentas Eropah. – Agensi berita.