Topik diikuti
Pergi ke BHkuWira 'halimunan’ Sepanyol, Oyarzabal pacu kemenangan tewaskan Austria 3-0
Wira 'halimunan’ Sepanyol, Oyarzabal pacu kemenangan tewaskan Austria 3-0
Jaringkan dua gol, bantu pasukan mara ke pusingan 16 terakhir
Wira 'halimunan’ Sepanyol, Oyarzabal pacu kemenangan tewaskan Austria 3-0
LOS ANGELES: Dalam setiap perlawanan Sepanyol pada Piala Dunia 2026, nama Lamine Yamal sering kelihatan terpapar di belakang jersi yang dipakai penyokong.
Beliau turut menjadi tumpuan di Stadium Los Angeles, Amerika Syarikat, ketika tiba bagi aksi pusingan 32 terakhir menentang Austria pada 2 Julai, dan sekali lagi menjadi tumpuan utama apabila pemain masuk ke padang.
Namun, pemain yang paling menyerlah setakat ini ialah Mikel Oyarzabal, meskipun beliau mungkin bukan nama terbesar dalam skuad Sepanyol.
Penyerang Real Sociedad berusia 29 tahun itu menjaringkan dua gol pada pada akhir separuh masa pertama dan kedua dalam perlawanan itu untuk membantu skuad juara Euro 2024 tersebut mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Austria.
Satu lagi gol dijaringkan oleh pemain pertahanan, Pedro Porro, pada minit ke-66 perlawanan.
Hasilnya, Sepanyol melakar kemenangan pertama dalam pusingan kalah mati sejak 16 tahun lalu sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir.
“Sangat jelas bahawa (Yamal) merupakan tonggak utama pasukan, dan segala yang dilakukan oleh pemain lain mempunyai kaitan dengannya.
“Mikel Oyarzabal pula seperti ‘halimunan’, namun beliau menjaringkan gol dalam setiap final yang pernah disertai.
“Beliau merupakan antara pemain paling bijak yang kami miliki dan merupakan seorang lagi pemain yang mampu menjadi penentu kemenangan,” kata pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague.
Sepanjang tempoh kerjaya antarabangsa Oyarzabal yang bermula sedekad lalu pada usia 19 tahun, beliau jarang mendapat tumpuan.
Beliau tidak dapat menyertai Piala Dunia 2022 di Qatar akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya.
Namun, empat tahun kemudian – sebelum membuat penampilan sulung di Piala Dunia 2026 – beliau berada pada prestasi terbaik dengan menjaringkan 12 gol daripada 12 penampilan antarabangsa yang disertainya.
Dua gol menentang Austria itu melanjutkan rekod cemerlangnya kepada 17 gol dalam 16 perlawanan terakhirnya sebagai kesebelasan utama, termasuk empat gol pada kejohanan kali ini.
“Dua musim terakhirnya, sejak beliau pulih daripada kecederaan, adalah yang terbaik dalam kerjayanya,” tambah Balague.
“Empat gol di Piala Dunia – tiada ragu lagi, beliau merupakan pemain paling penting yang menentukan kemenangan kami.”
Sejak awal 2025, satu-satunya pemain Eropah yang menjaringkan lebih banyak gol antarabangsa berbanding Oyarzabal ialah penyerang Norway, Erling Haaland, dengan 22 gol.
Beliau juga menjadi pemain Sepanyol pertama yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan pusingan kalah mati Piala Dunia sejak Emilio Butragueno mencatatkan rekod tersebut ketika menentang Denmark dalam pusingan 16 terakhir pada kejohanan 1986.
Walaupun statistik tersebut amat mengagumkan, itu tidak bermakna beliau dibayangi oleh Yamal, memandangkan pemain berusia 18 tahun itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam membolehkan Oyarzabal menyerlah.
Kawalan bola dan kemahiran menggelecek luar biasa penyerang muda Barcelona itu jelas menggugat benteng pertahanan lawan, selain menarik perhatian pemain pertahanan Austria ke arahnya sekali gus membuka lebih banyak ruang buat Oyarzabal.
“Apabila pasukan anda mempunyai pemain seperti Yamal yang menarik begitu banyak tumpuan, anda tahu anda akan mendapat lebih banyak ruang.
“Oyarzabal memanfaatkan ruang tersebut, mendapatkan bola, dan menjaringkan gol,” kata bekas pemain tengah Jerman, Thomas Hitzlsperger.
Dengan prestasi semasa, tidak hairanlah Sepanyol dianggap sebagai pencabar utama untuk merangkul trofi Piala Dunia.
Skuad itu bakal menyamai rekod terbaik mereka iaitu 35 perlawanan tanpa kalah jika berjaya melangkah ke suku akhir.
Skuad itu juga telah menjaringkan lapan gol dalam empat perlawanan dan masih mengekalkan rekod tanpa bolos.
Cabaran seterusnya buat Sepanyol ialah pertemuan yang amat dinantikan, menentang Portugal. – Agensi berita.
Keputusan perlawanan 3 Julai (waktu S’pura):
– Spain 3-0 Austria
– Portugal 2-1 Croatia
– Switzerland 2-0 Algeria
