Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND - WOLVES LWN MAN UNITED

Wolves kian tertekan elak kekalahan ketiga bila berdepan Man U

Aug 29, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Seperti ramai penyokong lain, penyokong setia Wolverhampton Wanderers, Steve Haveland, telah menjangkakan masa-masa sukar dalam minggu-minggu pertama musim ini sedang pasukan kesayangannnya itu menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa pengurus mereka, Nuno Espirito Santo.



Namun, dua kekalahan berturut-turut telah membuat beliau bimbang, dan malam ini Wolves berdepan dengan kemungkinan satu lagi kekalahan apabila Manchester United datang bertandang ke Molineux.



"Kami sudah menjangkakan beberapa minggu yang mencabar, tapi kalau kami mengalami tiga kekalahan berturut-turut, ia agak sukar diterima," ujar beliau.



Bekas kapten Liverpool yang kini bertugas sebagai pengamat, Jamie Carragher, berkata Wolves memerlukan persembahan positif untuk memberi keyakinan terhadap pengurus baru mereka, Bruno Lage, yang menggantikan Nuno yang kini menerajui Tottenham Hotspur.



"Satu lagi kekalahan, saya bimbang ia akan menjadikan tugas Lage semakin sukar. Liga Perdana (England) ini tidak memberi anda banyak peluang untuk menyesuaikan diri. Anda perlu cipta peluang itu sendiri," ujar Carragher.



Lage bagaimanapun menekankan pasukannya tidak akan 'menekankan butang panik' tidak kira apa jua yang berlaku dalam perlawanan malam ini (11.30 malam waktu Singapura).



Menurutnya, anak didiknya agak tidak bernasib baik untuk tewas dalam dua perlawanan pembukaan menentang Spurs dan Leicester City, kededuanya dengan keputusan 1-0.



"Nasib tidak menyebelahi kami," tegas Lage, yang menyertai Wolves musim ini dari kelab Portugal, Benfica.



"Tapi saya berpuas hati dengan persembahan para pemain, Ya, ia belum sampai ke tahap yang kita mahukan tapi terdapat banyak aspek positif yang menunjukkan kami hampir capai ke tahap itu. Jadi saya yakin keputusan positif akan juga menyusul," tambah beliau.



Mengenai perlawanan dengan Manchester United, Lage berkata anak buahnya teruja untuk berdepan antara pasukan pencabar kejuaraan liga musim ini.



"United telah membentuk sebuah pasukan yang hebat musim ini. Seperti kami, mereka juga belum sampai pada tahap 100 peratus. Kami harap Ahad ini, Wolves akan tampil sebagai pasukan yang lebih dekat pada tahap 100 peratus itu daripada Manchester United," ujar beliau lagi.



Carragher bagaimanapun tidak melihat bagaimana Wolves dapat menggugat United, yang menurut beliau, nampak mantap meskipun masih ada beberapa kekurangan.



"Adakah mereka pasukan yang cukup kuat untuk mencabar kejuaraan liga, sudah tentu. Adakah United akan memenangi liga, saya tidak rasa tidak. Tapi paling penting ialah saya rasa mereka terlalu kuat untuk Wolves pada saat ini," katanya.



Bekas pengurus Ireland, yang juga pernah memimpin Wolves, Mick McCarthy, bagaimanapun berkata United tidak harus mengambil mudah lawannya itu lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong di Molineux.



Menurutnya, pasukan pimpinan Ole Gunnar Solskjaer itu mempunyai rekod perlawanan di padang lawan yang menakjubkan, dengan memegang rekod 27 perlawanan di padang lawan tanpa kalah setelah seri 1-1 dengan Southampton minggu lalu.



"Tapi dengan penyokong kembali memenuhi stadium, saya rasa di sinilah rekod United akan diuji sepenuhnya.



"Wolves harus bijak dalam perlawanan ini. United paling berbahaya apabila pasukan lawan juga bermain secara terbuka, dengan kecenderungan untuk menyerang. Malangnya, jika Wolves bermain dengan rentak sedemikian, mereka akan mengundang padah. Jadi mereka harus bermain secara lebih defensif, lebih mantap dan tidak terlalu terbuka," ujarnya.



Solsjkaer, dalam pada itu, menekankan rekod tanpa kalah di padang lawan itu bukan menjadi obsesi beliau dan para pemain kerana hakikatnya mereka melangkah ke setiap perlawanan - di tempat sendiri atau di padang lawan - dengan matlamat untuk menang.



"Kami mendekati setiap perlawanan dengan cara yang sama. Kami lebih fokus kepada pasukan kami, meskipun pada masa yang sama kami menghormati kekuatan lawan.



"Wolves mempunyai barisan pemain yang hebat dan pengurus yang dahagakan kejayaan dalam liga paling menarik di dunia. Saya tidak teragak-agak menyatakan mereka akan menjadi pasukan yang sukar ditewaskan musim ini.



"Namun, kami akan fokus kepada pasukan sendiri. Lain-lain faktor tidak begitu penting sekiranya Manchester United bermain mengikut keupayaan kami," ujar pengurus asal Norway itu.



Bekas pemain Spurs, Jamie O'Hara, pula berkata Solsjkaer perlu berhenti menukar barisan pemainnya dalam setiap perlawanan serta mengkritik kesetiaan pengurus itu kepada penyerang Perancis, Anthony Martial.



O'Hara, yang kini bertugas sebagai pengulas, memberi contoh keputusan seri 1-1 dengan Southampton apabila Solsjkaer menurunkan Martial bagi menggantikan Daniel James.



"Dalam perlawanan sebelum itu, mereka begitu hebat dengan mengalahkan Leeds (5-1). Tapi Solsjkaer rasa perlu untuk buat perubahan, dan meletakkan Martial dalam kesebelasan utama.



"Martial amat mengecewakan dalam perlawanan menentang Southampton. Solsjkaer harus sedar penggantungannya kepada Martial akan menjadi sebab kegagalan United," tegas beliau. - Agensi berita.




PEMAIN YANG PERLU DIBERI PERHATIAN



ADAMA TRAORE



Pemain asal Sepanyol berusia 25 tahun itu akhirnya menunjukkan kebolehan beliau di bawah kepimpinan bekas pengurus Wolves Nuno Espirito Santo. Malah, pemain sayap itu kini menjadi buruan Nuno, untuk menyertainya di Spurs. Wolves telah pun menolak tawaran Spurs berjumlah £5 juta ($9.27 juta) dalam yuran pinjaman dengan pilihan untuk membeli Traore pada akhir musim ini. Digeruni lawan dek kepantasan dan kekuatannya, Traore sukar dibendung jika beliau bermain dengan baik. Malangnya, pemain itu tidak konsisten. Perlawanan menentang Manchester United adalah pentas terbaik bagi beliau menunjukkan kehebatannya.



JADON SANCHO



Setelah beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan pembukaan liga, Ole Gunnar Solsjkaer dikatakan sudah bersedia menurunkan Jadon Sancho dalam kesebelasan utama dalam perlawanan malam ini. Sancho, yang berpindah dari kelab Jerman, Borussia Dortmund, dengan harga £73 juta ($135.3 juta) akan memberi suntikan kreativiti kepada barisan depan United. Dengan Paul Pogba memulakan musim dengan begitu baik, ramai penyokong United yang teruja untuk melihat gandingan dua pemain ini. Kebolehan pemain sayap itu juga penting dalam perlawanan sengit dan di mana pasukan lawan dijangka memberi fokus kepada memperkukuh benteng pertahanan, strategi yang dijangka dilakukan Wolves malam ini.




"Satu lagi kekalahan, saya bimbang ia akan menjadikan tugas Lage semakin sukar. Liga Perdana (England) ini tidak memberi anda banyak peluang untuk menyesuaikan diri. Anda perlu cipta peluang itu sendiri... "Adakah mereka pasukan yang cukup kuat untuk mencabar kejuaraan liga, sudah tentu. Adakah United akan memenangi liga, saya tidak rasa tidak. Tapi paling penting ialah saya rasa mereka terlalu kuat untuk Wolves pada saat ini."
- Bekas kapten Liverpool yang kini bertugas sebagai pengamat, Jamie Carragher.




"Dalam perlawanan sebelum itu, mereka begitu hebat dengan mengalahkan Leeds (5-1). Tapi Solsjkaer rasa perlu untuk buat perubahan, dan meletakkan Martial dalam kesebelasan utama... Martial amat mengecewakan dalam perlawanan menentang Southampton. Solsjkaer harus sedar penggantungannya kepada Martial akan menjadi sebab kegagalan United."
- Bekas pemain Spurs yang juga kini seorang pengamat, Jamie O'Hara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >