Topik diikuti
Pergi ke BHkuYip Pin Xiu dianugerah ijazah kehormat Universiti Glasgow atas sumbangan, kecemerlangan sukan
Yip Pin Xiu dianugerah ijazah kehormat Universiti Glasgow atas sumbangan, kecemerlangan sukan
Pemenang tujuh pingat emas Paralimpik ini manfaatkan kejayaannya untuk perjuangkan inklusiviti, galak penyertaan lebih besar individu kurang upaya bersukan
Yip Pin Xiu dianugerah ijazah kehormat Universiti Glasgow atas sumbangan, kecemerlangan sukan
Atlet Paralimpik Singapura yang paling berjaya, Yip Pin Xiu, telah dianugerahkan ijazah kehormat daripada Universiti Glasgow.
Pemenang pingat emas Paralimpik sebanyak tujuh kali itu diiktiraf atas pencapaian sukan beliau yang luar biasa serta sumbangannya dalam memajukan inklusiviti dan peluang bagi golongan individu kurang upaya dalam satu majlis sambutan khas sempena ulang tahun ke-575 Universiti Glasgow di Singapura.
Pengiktirafan ini memberi penghormatan kepada pencapaian Yip di kolam renang serta usaha beliau dalam meningkatkan kesedaran mengenai halangan yang dihadapi golongan kurang upaya dan memperjuangkan peluang yang lebih banyak untuk mereka menyertai sukan.
Yip mencipta sejarah di Sukan Paralimpik Beijing 2008 apabila beliau menjadi pemenang pingat emas temasya Paralimpik pertama Singapura.
Sejak itu, beliau telah memenangi enam lagi pingat emas Paralimpik dan lapan gelaran kejohanan dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang perenang Paralimpik terkemuka di dunia.
Didiagnosis dengan penyakit Charcot-Marie-Tooth – menyebabkan otot semakin lemah secara progresif – Yip tidak pernah jemu berjuang untuk mengatasi segala halangan termasuk keraguan pihak luar.
Menurutnya, beliau berjaya belajar untuk “memisahkan batasan yang wujud di dunia daripada batasan yang hanya wujud dalam fikiran orang lain”.
Ketabahan dan disiplin diri yang tinggi membolehkannya mengatasi cabaran fizikal yang kian merosot.
Di samping kejayaan sukannya, Yip telah menggunakan kejayaannya untuk memperjuangkan inklusiviti dan menggalakkan penyertaan lebih besar dalam sukan di kalangan golongan individu kurang upaya.
Beliau memperjuangkan inklusiviti golongan kurang upaya melalui peranan beliau sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang mendesak integrasi atlet para ke dalam persatuan sukan arus perdana.
Selain itu, beliau memimpin gerakan sosial sebagai Naib Pengerusi The Purple Parade untuk meraikan keupayaan golongan kurang upaya di Singapura.
Beliau aktif mengendalikan sekolah renangnya sendiri dan bekerjasama dengan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) untuk membuka peluang sukan di peringkat akar umbi.
Akhir sekali, Yip lantang menyuarakan kesedaran awam di pelbagai platform untuk menghapuskan stigma masyarakat terhadap golongan kurang upaya.
Beliau melahirkan rasa besar hati menerima pengiktirafan daripada sebuah institusi yang mempunyai sejarah yang panjang dan reputasi antarabangsa yang cemerlang.
“Saya amat berbesar hati menerima ijazah kehormat daripada Universiti Glasgow, sebuah institusi dengan sejarah selama 575 tahun dan reputasi mencapai kecemerlangan antarabangsa.
Menjadi salah seorang daripada segelintir rakyat Singapura yang diiktiraf merupakan satu keistimewaan yang amat bermakna,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen universiti berkenaan dalam membuka pintu kepada individu daripada pelbagai latar belakang dan menjalankan penyelidikan yang membawa perubahan bermakna.
“Pendidikan mengubah kehidupan dan mencipta peluang. Masyarakat ini telah membentuk ramai ejen perubahan luar biasa dan ia sangat bermakna bagi saya. Saya terhutang budi kepada pihak universiti atas pengiktirafan ini,” tambahnya.
Pengetua dan Naib Canselor Universiti Glasgow, Profesor Andy Schofield, berkata pencapaian Yip serta komitmennya terhadap inklusiviti menjadikan beliau seorang lagi yang memberi inspirasi kepada komuniti global universiti itu, yang dikenali sebagai Team UofG.
“Yip telah membuktikan apa yang boleh dicapai melalui bakat dan dedikasi, sambil memperjuangkan peluang untuk orang lain.
“Ia merupakan satu penghormatan untuk mengiktiraf sumbangan tersebut tatkala kita meraikan insan-insan dan hubungan yang menjadikan Glasgow sebuah universiti yang benar-benar bersifat global,” katanya.