Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yip Pin Xiu raih emas kedua kerana ‘kurang tertekan’, ubah strategi

Sep 1, 2024 | 3:38 PM
Perenang paralimpik Singapura, Yip Pin Xiu, berjaya mempertahankan kejuaraannya dalam  acara 50 meter kuak lentang peringkat akhir wanita di Sukan Paralimpik Paris 2024. 
Perenang paralimpik Singapura, Yip Pin Xiu, berjaya mempertahankan kejuaraannya dalam acara 50 meter kuak lentang peringkat akhir wanita di Sukan Paralimpik Paris 2024.  - Foto REUTERS

Atlit renang paralimpik Singapura Yip Pin Xiu meraih pingat emas – sekali gus mempertahankan kejuaraannya – dengan mencatat masa 1 minit 5.99 saat dalam acara 50 meter kuak lentang peringkat akhir wanita di Sukan Paralimpik Paris 2024. Ia pingat emas keduanya di temasya sukan itu.

Perenang Mexico, Haidee Aceves, memenangi pingat perak (1 minit 8.96 saat) manakala Teresa Perales dari Sepanyol (1 minit 10.95 saat) meraih pingat gangsa pada perlumbaan di Di Arena La Defense itu, lapor The Straits Times.

Yip, 32 tahun, telah memenangi pingat emas pertamanya di Paris pada 29 Ogos dalam acara 100 meter kuak lentang S2 wanita, dengan Aceves memenangi perak manakala Angela Procida dari Italy menang gangsa.

Pingat terbaru Yip itu bermakna beliau memenangi pingat emas bagi kedua-dua acara 50 meter dan 100 meter kuak lentang S2 dalam tiga Sukan Paralimpik berturut-turut, di Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Yip kini mempunyai tujuh pingat emas dan sebutir perak daripada lima edisi Sukan Paralimpik dan kekal sebagai satu-satunya warga Singapura yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik.

Kelihatan tenang selepas menerima pingatnya, Yip berkata: “Saya rasa tujuh adalah nombor yang cantik, saya dan pasukan saya telah bekerja keras untuk berada di sini seperti sekarang. Memang ada rasa tekanan sebelum saya ke acara ini tetapi saya mendapat sokongan daripada pasukan saya dan juga semua orang di Singapura.”

Emas berganda Yip daripada Paris 2024 Paris akan menyaksikan beliau mendapat sejumlah $1 juta sebagai sebahagian daripada skim Anugerah Pencapaian Atlet Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC).

Ketika menganalisis dua perlumbaannya itu, Yip mengakui beliau menghadapi “kurang tekanan” menjelang perlumbaan 50 meter itu, tetapi juga mengaitkan kemenangannya dengan pertukaran strategi.

Haidee Aceves (kiri) dari Mexico merangkul pingat perak (1 minit 8.96 saat) manakala Teresa Perales dari Sepanyol (1 minit 10.95 saat) meraih pingat gangsa.
Haidee Aceves (kiri) dari Mexico merangkul pingat perak (1 minit 8.96 saat) manakala Teresa Perales dari Sepanyol (1 minit 10.95 saat) meraih pingat gangsa. - Foto REUTERS

Memberikan analisis berkaitan persembahannya dalam dua acara tersebut, Yip akur beliau kurang ‘tertekan’ sebelum acara 50 meter, namun turut mengaitkan kemenangannya dengan strategi berbeza.

“Kali ini, dengan putaran (latihan) tiga tahun dan bukan empat tahun, strategi latihan kami agak berbeza, jadi mungkin itu sebabnya saya berjaya memenangi 50 meter dengan margin yang lebih besar.

“Tekanan yang saya rasakan untuk (memenangi) acara 50 meter itu kurang, saya masuk bukan dengan pemikiran “saya perlu menang” tetapi lebih kepada apa sahaja yang berlaku, akan berlaku. Sekarang saya dapat mencapai dua kemenangan ini dan tiada apa lagi yang boleh saya minta,” katanya.

Walaupun Yip masih belum membuat keputusan sama ada beliau akan bersaing dalam Sukan Paralimpik seterusnya empat tahun kemudian, beliau berharap untuk bertanding di Kejohanan Renang Dunia Para pada tahun depan.

Tambah Yip: “Saya rasa ramai orang percaya saya boleh melakukannya, lebih daripada saya percaya pada diri sendiri dan saya amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan dan juga menghargai peluang untuk melakukan semua ini untuk Singapura.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg