Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zulhilmi mahu tebus kecewa semasa temu pesilat Thai

Dec 13, 2025 | 6:06 PM
 Zulhilmi Zul’irfan, pesilat
Pesilat negara, Zulhilmi Zul’irfan (kanan), akan beraksi di temasya Sukan SEA 2025 buat julung-julung kalinya pada 14 Disember. Beliau akan beraksi dalam acara tanding Kelas E (65-70kg). - Foto BM oleh KHALID BABA

Oktober lalu, pesilat negara Zulhilmi Zul’irfan melalui tempoh yang paling perit dalam sukan pilihannya itu.

Atlet yang bercita-cita menjadi juara dunia di masa depan itu tewas kepada pesilat dari Indonesia di peringkat suku akhir dalam satu pertandingan menjelang Sukan SEA.

Zulhilmi, yang beraksi dalam acara tanding Kelas E (65-70kg), berkata peristiwa itu pada awalnya membuat beliau meragukan keupayaan sendiri.

Namun, bercakap dengan Berita Minggu (BM) menjelang perlawanan pertama di Sukan SEA pada 14 Disember, Zulhilmi berkata beliau tahu pengalaman itu telah memperkuat azam dan tekadnya untuk menang di Bangkok.

“Itu detik yang paling mengecewakan dalam persiapan saya bagi Sukan SEA, saya gagal membawa pulang pingat untuk negara... Ia menjatuhkan semangat saya.

“Saya tertanya-tanya sama ada semua usaha dan pengorbanan saya sejauh itu sudah mencukupi,” ujar beliau.

“Tapi saya tahu dan sentiasa mengingatkan diri saya sendiri bahawa peristiwa itu merupakan pengajaran yang akan membantu saya menjadi juara satu hari nanti.” ujar beliau, mata bersinar.

Laluan ke podium dan pingat emas di Bangkok untuk Zulhilmi dijangka berliku.

Beliau dijadual bersemuka dengan pesilat pasukan tuan rumah, Natdanai Keangkaew dalam perlawanan pembukaan di Dewan Impact Forum pada 14 Disember.

Kededua pesilat pernah bertarung sebelum ini – di Kejohanan Asia pada Julai 2025 – di mana Zulhilmi tewas kepada lawannya itu dan perlu berpuas hati dengan pingat gangsa.

Beliau berkongsi antara dorongan utamanya di Sukan SEA ini ialah untuk menebus kekecewaan itu dengan menewaskan Natdanai.

Menurut Zulhilmi, beliau juga tidak mahu pengorbanannya selama ini – berlatih tungkus-lumus dari kecil hingga ke zaman remaja – berkesudahan dengan beliau pulang dari Bangkok dengan tangan kosong.

Beliau mula berjinak-jinak dengan pencak silat di Perguruan Sendeng Belalang pada 2017 di mana beliau terus memperhalusi kemahiran sehingga dipilih menyertai pasukan nasional.

Buat masa ini, Zulhilmi, anak kedua dalam keluarga tiga adik-beradik, memburu diploma dalam jurusan psikologi dan pembangunan masyarakat di Politeknik Ngee Ann.

“Sering kali saya terpaksa menghabiskan tugas sekolah sehingga larut malam. Memang susah untuk mengimbang hidup sebagai atlet dan pelajar, tetapi inilah kehidupan yang saya pilih,” ujar Zulhilmi yang berkata sokongan dan kasih saya keluarga telah membantunya kekal dalam sukan tersebut.

“Saya tidak akan berhenti sehingga saya mencapai menara gading dalam sukan ini,” kata beliau penuh azam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg