Topik diikuti
Pergi ke BHkuZverev muncul juara Grand Slam
Zverev muncul juara Grand Slam
Zverev muncul juara Grand Slam
PARIS: Selepas kekalahan, kecederaan dan penantian buat bertahun lamanya, Alexander Zverev muncul di gelanggang Philippe Chatrier di Paris, Perancis, sebagai juara Grand Slam pada 7 Jun.
Pemain tenis warga Jerman berusia 29 tahun itu menewaskan Flavio Cobolli dari Itali di perlawanan akhir kategori perseorangan kejuaraan Terbuka Perancis.
Berkongsi semasa majlis penyampaian trofi, beliau berkata:
“Kami (sepasukan) telah melalui pelbagai kecederaan, patah hati dan kekalahan.
“Kami pernah merasakan kalah buat sekian lama, tetapi kini kami jadi juara Grand Slam. Itulah yang penting.”
Zverev mengatasi Cobolli 6-1, 4-6, 6-4, 6-7(5), 6-1 bagi melengkapkan salah satu perjalanan paling sukar dalam tenis untuk meraih gelaran Grand Slam.
Beliau pernah meninggalkan perlawanan dalam kejuaraan Roland Garros pada 2022 di atas kerusi roda dengan tujuh tulang kakinya patah.
Selain itu, beliau melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Perancis kali ini dengan parut kekalahan pada 2024 di tangan Carlos Alcaraz masih menghantuinya.
Namun, penantian dan jerit payah itu katanya berbaloi, dengan beliau memberi penghargaan kepada pasukan yang kekal di sisinya.
Ini termasuk bapa dan abangnya, yang telah melatih beliau sepanjang kerjayanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada jurulatih fizikalnya, yang telah bekerja dengannya sejak 2014.
Zverev juga memberikan kata-kata perangsang Cobolli, setelah seterunya hampir mengekalkan rentak kemenangan dan mendapat Grand Slam pertama yang diimpikan.
“Dari lubuk hati saya, saya harap anda akan mengangkat trofi ini tidak lama lagi.
“Anda adalah salah seorang pemain terbaik dalam kejohanan ini,” kata beliau kepada Cobolli.
Cobolli juga memuji Zverev, dan menyifatkan kemenangan seterunya itu satu “impian yang menjadi kenyataan”.
Kali terakhir pemain tenis Itali memenangi Roland Garros adalah pada 1976, yang dimenangi oleh Adriano Panatta.
Cobolli berkata: “Ia merupakan minggu terbaik dalam kehidupan saya.
“Saya selalu menonton Roland Garros di televisyen, (saya tidak menonton televisyen disebabkan) Adriano, saya belum lagi dilahirkan.
“Tetapi ia satu keistimewaan dan penghormatan anda berada di sini.
“Saya merasakan sedikit tekanan (dan) ianya sentiasa sukar untuk bermain di hadapan anda.”
Memberikan penghargaan kepada penyokongnya, Cobolli menambah bahawa beliau tidak dapat menahan titisan air mata melihat mereka, yang berseragam biru.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dinding biru di belakang saya. Saya tidak boleh melihat kerana saya akan menangis,” ujar beliau. – Reuters.
